Kelemahan Akta Lompat Parti: Nanyang Siang Pao persoal moral kerajaan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 13 November 2023

KELEMAHAN AKTA LOMPAT PARTI: NANYANG SIANG PAO PERSOAL MORAL KERAJAAN

Nanyang Siang Pao 11 Oktober 2023

 

 

 

DALAM tempoh dua minggu lalu, empat ahli Parlimen pakatan pembangkang secara berturut-turut menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan.

 

Mereka adalah ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain, ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili, ahli Parlimen Gua Musang, Datuk Mohd Azizi dan ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik.

 

Keempat-empat ahli Parlimen ini terlalu ‘lapar’ sehingga terpaksa menyerah diri kepada Anwar.

 

Rakyat tertanya-tanya mengapa ahli Parlimen yang menang tidak mendapat peruntukan, sehingga memaksa ahli Parlimen ini terpaksa meminta belas kasihan daripada kerajaan Pusat agar diagihkan peruntukan.

 

 

parafrasa

 

 

Keberkesanan Akta Lompat Parti

Ini bukan sahaja mengundang kritikan daripada Perikatan Nasional (PN), malah sudah ada beberapa ahli Parlimen diambil tindakan oleh parti Bersatu. Perkara ini turut menimbulkan kemarahan dalam kalangan rakyat, menganggap mereka membelakangi pandangan rakyat dan mendesak supaya mereka meletakkan jawatan serta mengosongkan kerusi.

 

Oleh kerana mereka hanya menyatakan taat setia dan bukannya keluar parti, maka tindakan mereka sebenarnya tidak melanggar Akta Anti Lompat Parti yang diluluskan tahun lalu. Akta menetapkan ahli Parlimen tidak dibenarkan bertukar parti dengan kerusi mereka. Tetapi atas perlindungan Perlembagaan, undang-undang tidak boleh menghalang ahli daripada menyatakan sokongan kepada PM atau mana-mana ahli politik.

 

Jika parti politik memecat mereka, maka secara tidak langsung mereka tidak terikat lagi dengan Akta Lompat Parti dan boleh secara sah menyertai parti lain. Ini juga sebab mengapa Bersatu tidak dapat menghalang perkara ini daripada berlaku. 

 

Situasi ini bukanlah sesuatu yang baru, kerana perkara yang sama juga berlaku semasa awal proses penubuhan Kerajaan Perpaduan. Pada masa itu, jelas sekali sebilangan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) ada rasa ketidakpuasan hati.

 

parafrasa

 

Menyatakan taat setia sama seperti lompat parti

Walau bagaimanapun, BN telah melihat masalah yang mungkin ditimbulkan oleh kelemahan undang-undang ini. Jadi sebelum pilihann raya, BN menggesa calon yang berpotensi untuk menandatangani perjanjian iaitu melanggar prinsip parti sama ertinya meletakkan jawatan secara sukarela.

 

Tindakan ini adalah untuk mengelakkan berlaku situasi lompat parti, bukan sahaja BN malah perjanjian yang sama turut dipratikkan parti lain seperti DAP dan PAS.

 

Akta Lompat Parti diluluskan adalah untuk menghalang ahli Parlimen menyertai parti lain selepas dipilih, mengelak berulang kembali rampasan kuasa bukan demokrasi seperti ‘Langkah Sheraton’.

 

Kelulusan akta ini sedikit sebanyak memastikan kestabilan Kerajaan perpaduan pada tahun pertama memerintah. Anwar hanya perlu memastikan tiada pihak yang menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan, maka pada dasarnya kerajaan tidak akan tumbang.

 

Tanpa sokongan ahli Parlimen, adalah lebih sukar bagi PN untuk membentuk kerajaan. Malah di beberapa negeri yang mempunyai kelebihan pentadbiran yang lemah juga, tidak mungkin berlaku isu keruntuhan.

 

Legitimasi Akta Lompat Parti sebenarnya untuk mengelakkan ahli-ahli Parlimen yang telah dipilih membelakangi rakyat, sehingga menyebabkan nilai undi dan kepercayaan rakyat terhadap demokrasi terhakis.

 

Dari perspektif ini, walaupun mereka tidak keluar parti namun kenyataan beberapa ahli Parlimen tersebut sebenarnya telah bertentangan dengan pandangan rakyat. Menyatakan kepercayaan dan kesetiaan sebenarnya adalah satu tahap lompat parti. Meskipun undang-undang tidak akan menghukum ahli Parlimen seperti ini, amalan ini tidak boleh dirasionalkan dan bimbang akan menjadi trend. 

 

Walaupun Anwar menafikan telah menghubungi ahli Parlimen ini, beliau tetap mengalu-alukan kenyataan mereka. Bukan itu sahaja, ahli Parlimen Labuan turut mengesahkan bahawa selepas menyatakan sokongannya kepada Anwar, beliau telah menerima peruntukan kawasan daripada kerajaan.

 

Anwar sehingga hari ini masih acuh tak acuh dengan permintaan ahli Parlimen pembangkang berhubung peruntukan kawasan. Pendekatan ‘saling mempergunakan’ seolah-olah mewujudkan situasi menang-menang dan merasionalkan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan. Tetapi adakah ia dapat diterima oleh pengundi?

 

 

parafrasa

 

 

Moral kerajaan dipersoalkan

Sikap Anwar menyebabkan Kerajaan Perpaduan hilang landasan moral yang tinggi dan tidak selari dengan nilai demokrasi. Pada masa hadapan, jika ada ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan menyatakan sokongan kepada pakatan pembangkang. Adakah Anwar akan mengekalkan pendirian yang sama dan menyatakan sokongannya?

 

Tidak kira sama ada trend ini dapat dikawal atau tidak, sokongan yang diperolehi melalui kelemahan undang-undang akan lebih memudaratkan imej keseluruhan kerajaan dalam jangka masa panjang.

 

Dalam pilihan raya akan datang, BN dan PH tidak mempunyai alasan yang kukuh apabila berdepan dengan keraguan pengundi. Ini adalah perjanjian yang tidak berbaloi, tidak kira apa kata majoriti ahli Parlimen dari kem lawan.

 

Sokongan empat ahli Parlimen ini adalah berdasarkan kelemahan dalam Akta Lompat Parti. Jika Anwar mempunyai kebijasanaan politik dan berpandangan jauh, beliau harus bersikap lebih jelas dan seterusnya menggalakkan parti politik dan ahli Parlimen menandatangai perjanjiaan taat setia bagi mengelak perkara serupa berlaku. - DagangNews.com

 

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Nanyang Siang Pao 11 Okt 2023, telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

 

 

 

parafrasa

 

Portfolio Tags