Dasar Ekonomi Madani perlu ambil kira rakyat Malaysia secara keseluruhan, kata Nanyang Siang Pao | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 28 August 2023

Dasar Ekonomi Madani perlu ambil kira rakyat Malaysia secara keseluruhan, kata Nanyang Siang Pao

Nanyang Siang Pao 27 Ogos 2023

 

 

 

SEJAK beberapa dekad dan ratusan tahun yang lalu, pemikiran arus perdana pembangunan negara-negara di seluruh dunia tertumpu kepada bagaimana untuk menjadikan negara lebih kaya.

 

Konsepnya ialah rakyat akan mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi negara. Dan kerajaan harus memperuntukkan lebih banyak sumber untuk pertumbuhan ekonomi seterusnya meningkatkan tarah hidup masyarakat secara keseluruhan.

 

Dasar pembangunan tanpa wawasan

Namun begitu, tumpuan terhadap pertumbuhan ekonomi juga menimbulkan banyak masalah. Ini termasuklah dasar pembangunan mampan tanpa wawasan jangka panjang. Penerokaan demi pembangunan telah mengorbankan alam sekitar dan membawa kepada kemerosotan iklan dunia. 

 

Pemusatan kekayaan juga telah menimbulkan beberapa siri masalah. Golongan yang kaya akan terus bertambah kaya manakala yang miskin pula bertambah miskin.

 

Beberapa tahun yang lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mencadangkan 17 Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals atau SDGs) untuk menangani isu-isu ini. Dengan harapan dapat menjadi rujukan kepada Kerajaan semasa merangka pelan tindakan pembangunan.

 

Pertumbuhan ekonomi harus dilihat sebagai proses pembangunan. Manakala kemajuan sosial pula adalah matlamat pembangunan. Oleh itu, SDGs menyenaraikan kemiskinan, kebuluran, pendidikan, alam sekitar, dan lain-lain faktor yang perlu diambil kira oleh sesebuah negara semasa menggubal dasar.


 

apa

 


Mengurangkan ketidaksamaan dan jurang pendapatan

Dalam matlamat ke-10 adalah mengurangkan ketidaksamaan dalam dan antara negara. Mengurangkan jurang pendapatan merupakan satu dasar yang terkenal di negara kita.

 

Sejak tahun 1970-an, pelbagai masalah ekonomi, sosial dan juga politik telah dikaitkan dengan jurang pendapatan di negara kita dan ketidakseimbangan dalam pengagihan sumber sosial.

 

Pada masa itu, negara kita masih bergantung kepada pengeluaran produk mentah. Ini menyebabkan kira-kira 49% penduduk hidup dalam garis kemiskinan.

 

Oleh kerana kerajaan tidak mempunyai sumber yang mencukupi melakukan penambahbaikan yang menyeluruh. Maka Bumiputera yang menbentuk majoriti penduduk dan menyumbangkan sebahagian besar golongan miskin, telah menjadi titik permulaan.

 

DEB lahir untuk sokong Bumiputera

Oleh yang demikian, lahirlah Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang memberi tumpuan kepada menyokong Bumiputera, agar dapat segera mengurangkan kemiskinan dan jurang pendapatan. Sejak itu, konsep dan teras DEB terus kekal sehingga hari ini. DEB berjaya mengurangkan kemiskinan secara mendadak kepada 20% pada tahun 1980-an.

 

Bagaimanapun, data mengenai golongan miskin telah mendapat kritikan. Sebelum 2019, negara kita menggunakan piawaian Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) antarabangsa. Yang mana 1 orang memerlukan AS$1.9 sehari (PGK antarabangsa ini telah dinaikkan kepada AS$2.15 pada 2022).

 

Akibatnya, purata pendapatan yang kurang daripada RM980, bagi sebuah keluarga empat orang di negara kita telah diklasifikasi sebagai miskin.

 

Piawaian pendapatan ini adalah lebih rendah daripada piawaian gaji minimum di negara kita ketika itu. Dan secara umumnya dianggap sebagai memandang rendah masalah kemiskinan di negara kita.

 

Jadi, masyarakat menggesa kerajaan menggunakan piawaian pendapatan yang lebih tepat bagi menentukan golongan miskin. Seperti menggunakan piawaian PGK negara berpendapatan sederhana bukannya negara berpendapatan rendah.


 

apa

 


DOSM buat penambahbaikan

Pada tahun 2019, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah membuat penambahbaikan untuk menangani isu ini. Piawaian PGK telah dinaikkan kepada RM2,208 dan kemudiannya meningkat kepada RM2,589 pada tahun 2022.

 

Piawaian baharu ini boleh menjadi rujukan yang lebih praktikal. Nisbah isi rumah kategori miskin di negara kita menjadi 6.2% pada tahun 2022.

 

Pada masa yang sama, kerajaan juga menganggap dasar ini sebagai penggerak penting untuk memperbaiki jurang pendapatan di negara kita. Penunjuk yang biasa digunakan untuk mengukur jurang pendapatan ialah ‘Pekali Gini’.

 

0 mewakili semua orang dalam masyarakat berkongsi pendapatan yang sama, iaitu kesamarataan pendapatan. Manakala 1 mewakili seorang memonopoli semua pendapatan seluruh masyarakat, iaitu ketidaksamarataan pendapatan.

 

Dengan erti kata lain, Pekali Gini yang lebih rendah menunjukkan jurang pendapatan dalam masyarakat adalah lebih kecil atau lebih ideal. Pekali Gina negara pada tahun 1970 adalah 0.51, bertambah baik pada tahun 2022 dengan 0.40, peningkatan kira-kira 21%.

 

Jadi, menggabungkan penurunan dalam nisbah isi rumah miskin dan trend dalam penambahbaikan jurang pendapatan serta data terkini, memberi kesahihan dan rasional kepada dasar untuk terus menyokong Bumiputera.

 

Dengan mengambil contoh pendapatan pekerja dalam bidang formal yang dikeluarkan oleh DOSM pada awal Ogos, pendapatan Bumiputera adalah paling rendah dalam tiga kaum utama.

 

Laporan PGK yang dikeluarkan pada penghujung Julai tahun ini juga menunjukkan Bumiputera mempunyai kadar kemiskinan paling tinggi. Laporan pendapatan isi rumah 2022 juga merumuskan Bumiputera mempunyai pendapatan yang agak rendah.


 

apa

 


Jurang pendapatan tidak mengenal kaum

Namun jika kita menilat dari sudut lain, kita akan dapati situasi yang terabai. Mengambil contoh laporan kaji selidik pendapatan isi rumah 2019, walaupun Bumiputera adalah yang paling tinggi dalam keluarga berpendapatan rendah, begitu juga mempunyai perkadaran tertinggi dalam keluarga berpendapatan tinggi.

 

Ini bermakna, dalam kalangan Bumiputera juga menghadapi jurang pendapatan yang serius. Laporan 2022 menunjukkan bahawa orang Cina dan India menghadapi Pekali Gina yang lebih tinggi.

 

Apabila dasar hanya memberi tumpuan kepada menyokong Bumiputera sehingga melupakan jurang pendapatan dalam kalangan Bumiputera sendiri dan juga kaum yang lain. Keadaan ini mungkin membawa kepada fenomena di mana ‘yang kaya semakin kaya dan yang miskin semakin miskin’.

 

Sebagai contoh hanya membenarkan kontraktor Bumiputera untuk mendapatkan projek yang ditetapkan. Niat asal adalah untuk menggalakkan Bumiputera bekerjasama dengan kaum yang lain, menimba pengetahuan bagi membolehkan kedua-duanya mendapat peluang untuk membangun. 

 

Tetapi, kelemahan dalam dasar ini mungkin membawa kepada ‘rent seeking’, dan bukannnya pemindahan pengetahuan sebenar sehingga membawa kepada kegagalan niat asal.

 

Ini mungkin menjelaskan, walaupun kemiskinan dan ketidaksamaan pendapatan telah bertambah baik sejak tahun 1970-an, namun penambahbbaikan hanya tertumpu pada peringkat awal pelaksanaan dasar.

 

Sebagai contoh, Pekali Gini bertambah baik dengan purata 5 peratus pada tahun 1980-an. Tetapi pada tahun 90-an dan hari ini, peningkatan secara purata kurang daripada 0.1 peratus.


 

pmx

 


Kerajaan Perpaduan mahu dasar untuk semua rakyat

Mujurlah, kerajaan sedar akan masalah ini dan bersedia melakukan sesuatu untuk mengatasinya.  Dalam ucapan Ekonomi Madani baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa masalah kemiskinan Bumiputera tidak dapat dinafikan, tetapi kaum lain juga menghadapi masalah yang sama.

 

Justeru itu, titik permulaan dalam penggubalan dasar perlu mengambil kira rakyat Malaysia secara keseluruhan.

 

Nescaya dasar baharu yang bakal diumumkan dapat dilaksanakan seperti yang dijanjikan. Ini akan memberi kesan positif kepada struktur sosial dan pembangunan jangka panjang negara. – DagangNews.com

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Nanyang Siang Pao 27 Ogos 2023, dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini.

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

 

tnb
Portfolio Tags