Analisis Sin Chew Jit Poh terhadap pelawaan Anwar kepada Pas | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 23 October 2023

ANALISIS SIN CHEW JIT POH TERHADAP PELAWAAN ANWAR KEPADA PAS

Sin Chew Jit Poh 20-22 Oktober 2023

 

 

PELAWAAN terbuka Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Pas untuk menyertai semula kerajaan, bagi pandangan ahli politik kanan berpengalaman khususnya Perikatan Nasional (PN), ia adalah muslihat politik yang bermaksud mencetuskan perpecahan.

 

Tetapi bagi mereka yang berkuasa, muslihat yang digambarkan boleh ditutup dengan bercakap tentang keadilan tanpa perlu rasa bersalah atau malu.

 

Kerajaan Perpaduan dalam keadaan kukuh

Dalam konteks sejarah politik Malaysia, tindakan Anwar sebenarnya tidak mengejutkan sama sekali. Perkara ini boleh dilihat daripada pandangan peribadinya berkaitan agama dan pengalaman interaktif dengan PKR, DAP, Amanah, Barisan Nasional, parti politik Malaysia Timur dan Pas.

 

Rejim Anwar kini merupakan sebuah kerajaan yang kuat dengan dua pertiga kerusi Parlimen – 147 +1 kerusi, mereka boleh saja duduk tenang melihat onar yang dibuat oleh PN. Walaupun tiada serangan besar dilakukan, tetapi bunyi bising yang berterusan sudah cukup menjengkelkan.

 

Lantaran itu, Anwar mempelawa mereka menyertai kerajaan. Selagi musuh politik tidak dapat melihat dengan jelas masa hadapan atau melihat ada jalan lain selain rampasan kuasa, mereka mungkin akan terjerat. Lagipun ia adalah berkaitan dengan mengambil bahagian dalam urusan negara.

 

Adakah PN terima pelawaan PMX?

Adakah PN akan menyertai Kerajaan Perpaduan dan membentuk kerajaan? Atau menumbangkan Kerajaan Perpaduan kemudian membentuk kerajaan sendiri nanti? Selagi masih ada keraguan, lama-kelamaan pastinya akan lalai.

 

Pada masa ini, serangan PN akan menjadi lemah dan Kerajaan Perpaduan akan lebih tenang. Boleh memberi lebih banyak tumpuan untuk membawa kemakmuran kepada Malaysia.

 

Dalam hal ini, pemimpin Pas memberi maklum balas secara lembut dan belum ada kedengaran kritikan yang hebat. 

 

Menurut Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu belum menerima jemputan rasmi Anwar dan sekiranya ada, Pas tidak akan menyertai. Bagaimanapun Pas tidak akan menghalang ahli berbahas mengenai perihal pelawaan menyertai Kerajaan Perpaduan dalam persidangan parti.

 

Tuan Ibrahim turut berkata Pas akan menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat tidak lama lagi. Selain memberitahu ada seorang pemimpin asing yang bertemu dengannya tidak lama dulu menyatakan bahawa masa depan Malaysia terletak di tangan Pas dan PN.

 

Kita tidak tahu siapa ‘pemimpin asing’ yang dimaksudkan oleh Tuan Ibrahim, tetapi kata-katanya masih tidak dapat lari daripada erti “menjatuhkan” kerajaan pusat. Jika tidak, bagaimana dia boleh mentadbir kerajaan pusat tanpa pilihan raya?

 

Bagaimanapun, kenyataan Naib Presiden Pas, Mohd Ammar bahawa beliau yakin boleh memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, memberi orang ramai rasa bahawa kem PN sudah bersedia.

 

PAS masih ragu-ragu

Pertamanya, hampir mustahil untuk PN membuat kebangkitan semula dalam tempoh lima tahun, memandangkan mereka perlu berdepan dengan Kerajaan Perpaduan yang memegang majoriti dua pertiga Parlimen. Jadi bagaimana mereka boleh berkata bahawa mereka akan menjadi ‘kerajaan pusat tidak lama lagi’?

 

Kedua, jika dikatakan bahawa ‘Pas belum menerima jemputan rasmi daripada Anwar dan jika ada pun tidak akan menyertainya’.

 

Jadi itu adalah pendirian dan keputusan muktamad parti, mengapa perlu bersusah payah membuka ruang untuk ahli membahas mengenai perkara tersebut? Mungkin mereka cuba untuk menguji kesediaan ahli parti untuk menjadi menteri.

 

Ketiga, suasana politik di Malaysia dan perubahannya tidak dapat difahami oleh mana-mana penganalisis politik dunia. Jika ada yang memahaminya pun tidak berani untuk berbicara mengenainya kerana politik Malaysia bercampur aduk dengan agama, kaum, kepentingan dan nepotisme yang tidak menentu.

 

Baru-baru ini, evolusi aliran ideologi dalam kalangan pengundi baru di era digital turut bertambah. Boleh dikatakan tiada parti politik atau ahli politik Malaysia yang berani bermegah kononnya mereka boleh mengawal aliran undi.

 

Penting capai keamanan dan kestabilan jangka panjang

Pelawaan Anwar kepada Pas untuk menyertai Kerajaan Perpaduan bukan sahaja sekadar mengukuhkan kuasa politik. Malah turut menimbulkan persoalan yang lebih penting, iaitu apakah jenis ahli yang harus dimiliki oleh pemerintah bagi memenuhi keperluan kepelbagaian etnik di negara ini, barulah dapat mencapai keamanan dan kestabilan jangka panjang.

 

Meskipun Kerajaan Perpaduan nampak kukuh, tetapi dalam negara yang politik perkauman masih berkuasa, tanggapan mengenai orang Cina sebagai pemerintah masih sukar untuk diterima.

 

Jadi penyertaan Pas boleh meredakan tanggapan yang tidak sepatutnya, iaitu orang Cina sebagai pemerintah, orang Melayu sebagai pembangkang. Sekurang-kurangnya ia dapat memberi manfaat kepada Kerajaan Perpaduan dan juga mengiktiraf status politik DAP dalam kerajaan.

 

Dalam keadaan penyusunan semua politik yang masih lagi dinamik, semua pihak tidak perlu melatah apabila cadangan ‘kerjasama’ muncul semula. Buat masa ini, pelawaan itu adalah gadaian yang dikemukakan oleh Kerajaan Perpaduan dan Pas telah pun menolaknya.

 

Jika melihat trend semasa, masih belum diketahui siapa yang akan memenangi PRU akan datang. Walaupun Pakatan Harapan (PH) berjaya mempertahankan wilayah dalam pilihan raya kecil sebelum ini, majoriti PN juga telah berkembang.

 

Jadi tiada siapa yang boleh meramal keadaan masa depan kerana terlalu banyak pembolehubah di dalamnya. - DagangNews.com

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh 20 - 22 Okt 2023, telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini.

 

parafrasa

 

Portfolio Tags