Umat Islam seluruh dunia berdepan masalah harta pusaka | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 28 February 2024

UMAT ISLAM SELURUH DUNIA BERDEPAN MASALAH HARTA PUSAKA

 

 

 

KETIKA artikel ini ditulis, saya dalam perjalanan pulang ke Malaysia selepas 10 hari bermusafir ke Oman.

 

Sepanjang perjalanan 7 jam ini, saya tidak dapat melelapkan mata kerana fikiran saya aktif memikirkan input-input berkaitan harta pusaka yang saya terima dari pelbagai pihak sepanjang berada di sana.

 

Jadi masa yang ada di dalam kapal terbang, saya gunakan sepenuhnya untuk membuat kerja.

 

 

ariffin sabirin
Idea bercurahan sepanjang perjalanan pulang ke Malaydia dari Oman.

 

 

Saya berkesempatan bermesyuarat dengan bank, regulator dan peguam di sana. Semua input menjurus kepada kesimpulan yang sama iaitu umat Islam di Oman juga berdepan dengan cabaran di dalam urusan harta pusaka!

 

Kesimpulan ini juga saya temui di negara-negara Islam lain yang pernah saya lawati seperti Turkiye, Indonesia, Brunei dan Qatar.

 

Walaupun demikian, adat di sesebuah negara itu kadang-kadang membawa kepada mereka tidak membincangkan isu pewarisan ini secara terbuka. Ia masih dianggap ‘taboo’ dan isu yang sensitif.

 

Mereka beranggapan bahawa semua panduan telah pun tersedia di dalam Islam, maka tidak perlulah dibincangkan lagi. Ikut sahajalah. Namun hakikat dan realitinya, keadaan ‘ikut sahaja’ ini tidak berlaku.

 

Berulang kali saya tegaskan Islam memang telah menurunkan panduan yang lengkap berkaitan harta dan harta pusaka.

 

Selain hukum faraid, Islam juga telah memberi garis panduan tentang wasiat, hibah, amanah, wakalah dan pelbagai konsep yang lain.

 

Yang menjadi cabaran utama kepada isu harta pusaka bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia bukanlah kerana panduan di dalam Islam tidak lengkap tetapi sebaliknya ialah kerana ketidakfahaman tentang panduan itu dalam kalangan umat Islam sendiri.

 

Tambah memburukkan keadaan ialah apabila kita bersikap kita sudah tahu semuanya dan enggan menerima pandangan berbeza daripada pihak lain sedangkan di dalam Islam itu sendiri diraikan pandangan yang pelbagai seperti pegangan mazhab-mazhab yang pelbagai di dalam aliran Ahli Sunnah Wal-jamaah.    

 

 

wasiyyahshoppe

 

 

Kerana ketidakfahaman inilah juga ada pihak yang mendakwa bahawa hibah itu adalah bercanggah dengan hukum faraid, hujah yang sudah saya depani semenjak 26 tahun yang lepas.  

 

Adakah Hibah itu bukan sebahagian daripada panduan yang diberikan di dalam al-Quran, al-Hadis, Ijmak ulama’ dan pandangan ulama’ muktabar? Bukankah kita diminta supaya memandang Islam itu dalam sudut yang holistik dan bukan sekadar satu senario ‘snapshot’ sahaja?  

 

Selain daripada sistem perundangan yang kompleks dan unik bagi setiap negara, cabaran yang paling banyak saya temui di seluruh dunia ialah perbalahan di antara waris-waris akibat ketidakfahaman tentang hukum syarak berkaitan dan hak-hak mereka.

 

Inilah perkara yang saya sering laungkan kepada umat Islam semenjak 26 tahun yang lepas.

 

Apabila harta tidak dirancang ketika pemiliknya masih hidup, tiada sebarang dokumen yang patuh hukum syarak dan undang-undang semasa dibuat dan tidak juga dilantik pelaksana yang berpengalaman dan berpengetahuan untuk menguruskan harta pusaka selepas pemiliknya meninggal dunia, kita membuka ruang kepada perbalahan di antara waris-waris.

 

Perbalahan di antara waris ini pula menjurus kepada kes pusaka berlarutan lama tanpa sebarang penyelesaian.

 

Akibatnya, negara yang akan rugi kerana harta pusaka yang tidak boleh diturun milik kepada waris yang berhak tidak boleh digembleng potensi ekonominya.

 

Ia tidak boleh diagihkan, dilaburkan, tidak boleh dibangunkan (sekiranya ia hartanah) atau tidak boleh dibuat usahasama (joint venture).

 

 

wasiyyahshoppe

 

 

Pendek kata tiada apa-apa manfaat pun boleh diperoleh oleh mana-mana pihak sekiranya harta pusaka ini berada di dalam status ini. Malaysia rugi RM90 billion kerana isu ini.

 

Beberapa hari lepas seorang figura besar di dalam dunia politik tanahair meninggal dunia. Ketika di penghujung hidupnya telah pun berlaku pergeseran di antara isteri mudanya dengan anak-anaknya termasuk yang berkaitan tentang harta si ayah yang sudahpun uzur ketika itu.

 

Dari pengalaman dan pemerhatian, saya menjangkakan isu harta pusaka hamba Allah ini akan berlarutan lama dengan perbalahan pelbagai pihak (multi dimensional contests) bagi mendapatkan hak ke atas harta pusaka Allahyarham yang nilainya tidak sedikit. Ia akan menjadi satu kes pusaka yang epik!    

 

Di negara-negara Islam yang pernah saya lawati, isu perbalahan ini juga semakin kerap berlaku walaupun ada di antara masyarakat di dalam negara berkenaan tidak mahu bercakap tentangnya.

 

Saya istiqomah semenjak 26 tahun lepas mengatakan bahawa walaupun perancangan harta tidak akan secara total dan mutlak mengelakkan isu perbalahan waris daripada berlaku.

 

Namun dari pengalaman operasi Wasiyyah Shoppe Berhad semenjak 20 tahun lepas, kami tahu secara fakta bahawa apabila seseorang merancang harta mereka semasa hidup baik melalui hibah atau wasiat dan pelaksanaan dokumen itu dibuat pula oleh syarikat amanah berpengalaman seperti Wasiyyah Shoppe Berhad, maka risiko perbalahan itu dapat dikurangkan.   

 

Di dalam artikel ini saya mengambil kesempatan juga untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada sahabat saya Tuan Kemal Rizaldi Arbi, rakyat Malaysia yang telah bermastautin 12 tahun di Oman kerana telah bersungguh-sungguh menjemput saya ke sana bagi meneroka peluang memperkenalkan hibah di negara yang indah ini.  

 

 

ariffin sabirin
Bersama Kemal Rizaldi Arbi dan isteri, rakyat Malaysia di Oman.

 

 

Oman sebuah negara Islam progresif bermazhab Ibadhi. Walaupun negara ini bersistemkan monarki kesultanan, namun ia moden dan bergerak sangat laju ke hadapan.

 

Saya bersyukur kerana berkesempatan berkenalan dengan ramai diaspora Malaysia yang bekerja di dalam pelbagai industri di sini. Malah saya turut dijemput untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan pengurusan harta pusaka bersama mereka.

 

Untuk Wasiyyah Shoppe Berhad membantu rakyat Malaysia di Oman bagi menyediakan dokumen hibah mereka kini amat mudah melalui aplikasi Hibah Digital Document ( HDD ) kami.

 

Pemberi dan penerima hibah boleh melaksanakan akad hibah melalui telefon bimbit sahaja dan mereka boleh berada di mana-mana lokasi di seluruh dunia asalkan mereka mempunyai akses internet.   

 

 

wasiyyahshoppe
Majlis penerangan Wasiyyah Shoppe Berhad bersama rakyat Malaysia di Oman.

 

 

Oman juga sebuah negara dengan alam semulajadi yang sangat mengagumkan. Saya telah mengembara ke banyak negara dan saya boleh katakan bahawa Oman ialah antara negara paling cantik pernah saya lawati.

 

Saya berkesempatan berlari di padang pasir Wahiba Sands, menaiki bot berkejaran dengan ikan lumba-lumba di laut dan berjalan di laluan kampung tradisional di kawasan pergunungan Jabal Al Akdar yang pemandangannya seakan-akan Grand Canyon di Amerika Syarikat.

 

Sangat menakjubkan. Semoga Allah memberikan saya rezeki untuk memijakkan kaki sekali lagi ke bumi ini.  

 

 

 

ariffin sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah pengasas & CEO Wasiyyah Shoppe Berhad

 

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

dagangnews

 

 

Portfolio Tags