KUALA LUMPUR 11 Ogos – Sembilan daripada 10 pemilik haiwan peliharaan di Malaysia menganggap kucing atau anjing mereka sebagai ahli keluarga, namun 63% masih belum ada dana kecemasan sendiri.
Tinjauan Paws & Pockets oleh Versa yang melibatkan 10,055 responden mendapati 66% pemiliknya pernah berdepan bil rawatan veterinar secara mengejut, tanpa persediaan simpanan khas termasuk insurans.
Malah ujarnya dalam kajian yang dilaksanakan firma ini antara Julai dan Ogos 2026 mendapati seorang daripada setiap 13 responden pernah membayar lebih RM2,000 bagi kes perubatan peliharaan mereka.
"Hanya 37% pemilik berkenaan mempunyai sebarang bentuk persediaan kewangan khusus, walhal 91% daripada mereka menganggap haiwan peliharaan sebagai sebahagian daripada keluarga," jelasnya.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Versa, Teoh Wei Xiang berkata, haiwan peliharaan cuma dianggap sebagai anggota keluarga yang tidak memerlukan sebarang kos persediaan kecemasan khusus.
Sebanyak 82% responden menggunakan simpanan peribadi untuk membayar bil veterinar, manakala hanya 15% mempunyai dana khas untuk haiwan itu dan 3% lagi bergantung kepada insurans haiwan peliharaan.

Tinjauan berkenaan jelas beliau, turut mendapati 65% pemilik terpaksa mengurangkan perbelanjaan peribadi bagi menampung kos haiwan peliharaan, terutama kos makanan, dandanan dan keperluan harian.
"Situasi tersebut sahaja menyebabkan ramai terpaksa membelanjakan lebih RM150 sebulan bagi seekor haiwan, dengan risiko kewangan juga meningkat apabila jumlah peliharaan bertambah," kata Wei Xiang.
Hampir tiga daripada 10 pemilik menjaga sekurang-kurangnya tiga haiwan, manakala kucing didapati lebih popular dengan jumlahnya adalah dua kali ganda berbanding anjing dalam isi rumah pemilik haiwan.
Wanita dilihat menanggung beban kewangan yang besar apabila hampir dua kali ganda atau 11% daripada mereka membayar lebih RM2,000 bagi satu bil kecemasan veterinar berbanding lelaki pula iaitu 6%.
Bagaimanapun, pemilik wanita kurang kemungkinan mempunyai dana khas, sekali gus menyebabkan mereka terdedah kepada tekanan kewangan apabila berdepan perbelanjaan perubatan yang tidak dijangka.
"Tinjauan dijalankan melalui aplikasi Versa dengan dapatan menunjukkan jurang ketara antara kasih sayang terhadap haiwan dan tahap persediaan kewangan untuk menjaga kebajikan mereka," tambahnya.
Syarikat teknologi kewangan tempatan itu dikawal selia Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), dengan lebih 400,000 pengguna dan mencatatkan transaksi lebih RM2.5 bilion sejak dilancarkan pada 2021. - DagangNews.com








