Press Metal berdepan kejatuhan harga aluminium susulan lambakan bekalan diunjur pada 2027 - HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Press Metal berdepan kejatuhan harga aluminium susulan lambakan bekalan diunjur pada 2027 - HLIB

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 10 OgosPress Metal Aluminium Holdings Berhad berdepan cabaran getir susulan harga aluminium global mula jatuh susulan jangkaan pasaran beralih kepada lebihan bekalan sepanjang 2027.

 

Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB), harga aluminium di Bursa Logam London (LME) sudah susut daripada paras puncak AS$3,800 (RM15,534) satu tan kepada kira-kira AS$3,200 (RM13,082) satu tan.

 

Kemerosotan itu berikutan perkembangan awal situasi di Timur Tengah meredakan kebimbangan terhadap gangguan bekalan, dengan pasaran aluminium dijangka menerima tambahan tiga juta tan bekalan baharu.

 

"Antaranya daripada Indonesia dan India pada 2027, yang berpotensi menekan harga aluminium apabila berlaku lambakan stok dan menjejaskan margin Press Metal sendiri," jelas firma penyelidikan itu.

 

Ujar HLIB, dasar Amerika Syarikat (AS) kekal cenderung kepada kadar faedah tinggi turut dilihat memberi tekanan kepada harga logam asas, serta menjadikan prospek harga aluminium lebih mencabar.

 

Bagaimanapun, ia masih menjangka kumpulan itu mencatatkan keuntungan teras suku tahunan tertinggi dalam sejarah antara RM750 juta bagi suku kedua 2026 (2Q26), meningkat 24% suku ke suku (QoQ).

 

Press Metal_DagangNews2026

 

Prestasi itu dijangka membawa keuntungan teras Press Metal bagi separuh pertama 2026 (1H26) kepada RM1.36 bilion, naik 45% tahun ke tahun (YoY), disokong harga purata aluminium LME lebih tinggi.

 

"Harga purata aluminium sepanjang tempoh 2Q26 mencecah AS$3,564 (RM14570) satu tan, berbanding AS$3,190 (RM13,042) pada 1Q26 dan hanya AS$2,446 (RM9,999) pada 2Q25," tambah nota firma berkenaan.

 

Walaupun harga penanda aras LME mula reda, premium di pasaran Jepun kekal sekitar AS$350 (RM1,430) satu tan pada 3Q26, paras tertinggi dalam tempoh lebih sedekad berikutan isu kekurangan bekalan.

 

HLIB berkata, masalah kekurangan bekalan dari Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyebabkan aluminium asal 'Good Western' masih sukar diperoleh, sekali gus menyokong premium yang tinggi.

 

Pada masa sama, harga alumina yang rendah terus menyokong margin peleburan Press Metal, walaupun firma itu berpandangan harga bahan mentah berkenaan semakin jatuh dan menghampiri paras lantai.

 

"Sehubungan itu, kami mengekalkan saranan 'pegang' tetapi menurunkan harga sasaran (TP) kepada RM8.34 daripada RM8.77 selepas mengurangkan unjuran pendapatan FY26, FY27 dan FY28," jelasnya.

 

Anggaran hasil tersebut masing-masing jatuh sebanyak 5%, 2% dan 3%, kerana risiko lebihan bekalan aluminium pada 2027 menjadikan profil risiko dan pulangan saham itu lebih seimbang. - DagangNews.com