DPS Resources rancang pusat data 89MW di Bukit Rambai, Melaka | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DPS Resources rancang pusat data 89MW di Bukit Rambai, Melaka

Gambar hiasan
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Ogos – DPS Resources Bhd meneroka peluang menjadikan asetnya di Bukit Rambai, Melaka sebagai hab pusat data berkapasiti 89 megawatt (MW) dengan tumpuan awal untuk menarik syarikat dari China sebagai penyewa.

 

Menerusi anak syarikatnya, Shantawood Sdn Bhd (SSB), DPS Resources telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Hangyue Intelligent Electrical Co Ltd bagi meneroka penempatan bersama syarikat-syarikat China di kemudahan pusat data yang dicadangkan itu.

 

“Tempoh sewa yang dicadangkan ialah minimum 15 tahun dengan kadar sewa indikatif sekitar AS$130 hingga AS$230 bagi setiap kilowatt sebulan, bergantung kepada keperluan penyewa serta tertakluk kepada perjanjian muktamad,” katanya dalam satu kenyataan.

 

SSB merupakan pemilik tanah bagi pembangunan kampus pusat data tersebut yang akan menyediakan asas kepada kumpulan itu untuk meneroka potensi komersial aset berkenaan dalam sektor pusat data yang semakin berkembang.

 

Cadangan projek itu turut disokong oleh beberapa semakan awal berkaitan keperluan asas termasuk bekalan elektrik dan air yang memberi gambaran lebih jelas mengenai kesediaan tapak untuk pembangunan pusat data berkapasiti besar.

 

Bekalan Elektrik Dan Air 

DPS Resources berkata projek itu telah melalui rundingan dengan Tenaga Nasional Bhd pada Mac lalu, manakala SDT Engineering Sdn Bhd mengesahkan kapasiti bekalan elektrik sehingga 89.1MW mencukupi untuk menyokong cadangan pembangunan tersebut.

 

Selain tenaga, bekalan air bagi projek berkenaan turut disahkan mencukupi menerusi rundingan dengan Syarikat Air Melaka Bhd dan GNL Engineering Consultancy.

 

Langkah itu penting bagi memastikan keperluan asas sebuah pusat data berskala besar dapat dipenuhi sebelum projek bergerak ke peringkat seterusnya, khususnya dalam usaha mendapatkan kelulusan serta menarik bakal penyewa.

 

DPS Resources turut menerima surat sokongan daripada Ketua Menteri Melaka pada 30 Julai lalu dan telah mengemukakan dokumen permohonan berkaitan kepada Pasukan Petugas Pusat Data.

 

Walaupun MoU dengan Hangyue masih tidak mengikat pada peringkat ini, kerjasama itu membuka ruang kepada DPS Resources untuk memperluaskan rangkaian bakal pelanggan, khususnya syarikat China yang sedang mencari peluang pelaburan dan penempatan operasi digital di Malaysia.

 

Hangyue Hubungkan Syarikat China Dengan Peluang Di Malaysia

Di bawah MoU tersebut, Hangyue akan memanfaatkan rangkaiannya untuk menghubungkan syarikat-syarikat China dengan peluang pelaburan serta penempatan bersama di Malaysia, selain menyediakan penyelesaian tenaga digital dan perkhidmatan pemadanan perniagaan.

 

Pengerusi Kumpulan dan pengasas DPS Resources, Tan Sri Sow Chin Chuan berkata kerjasama itu berpotensi meningkatkan penggunaan serta nilai aset kumpulan di Bukit Rambai.

 

“Kapasiti bekalan elektrik, bekalan air yang disahkan mencukupi serta sokongan daripada Kerajaan Negeri Melaka memberikan asas yang menggalakkan untuk kami meneruskan perbincangan dengan bakal rakan kongsi dan penyewa,” katanya.

 

Dengan kapasiti sehingga 89MW, tempoh penyewaan minimum 15 tahun serta potensi menarik syarikat China, cadangan pusat data Bukit Rambai itu menjadi antara usaha DPS Resources untuk membuka nilai baharu daripada aset miliknya, meskipun projek berkenaan masih berada pada peringkat perancangan dan perbincangan dengan bakal rakan kongsi serta penyewa. - DagangNews.com