CIMB Research kekal positif sektor O&G, pelaburan PETRONAS terus jadi pemacu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CIMB Research kekal positif sektor O&G, pelaburan PETRONAS terus jadi pemacu

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Ogos – CIMB Research kekal positif terhadap sektor minyak dan gas (O&G) Malaysia dengan langkah PETRONAS menyusun semula pelaburannya dijangka terus menyokong aktiviti industri khususnya dalam projek gas dan gas asli cecair (LNG).

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan ‘Overweight’ terhadap sektor O&G berikutan pelaburan huluan yang kekal kukuh, trend perbelanjaan modal yang menggalakkan serta risiko geopolitik yang masih menyokong harga minyak.

 

CIMB Research berkata, PETRONAS sedang menyusun semula pelaburannya dalam tempoh beberapa tahun dengan memberi lebih tumpuan kepada projek yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi terutama gas dan LNG, selain bekerjasama dengan lebih banyak syarikat antarabangsa.

 

Kerjasama PETRONAS dengan Eni, TotalEnergies dan EnQuest dijangka memperluas penglibatan syarikat asing dalam industri O&G Malaysia serta membantu mengekalkan aktiviti huluan dalam tempoh sederhana.

 

Langkah itu tidak bermaksud PETRONAS mengurangkan pelaburan dalam sektor huluan, sebaliknya membolehkan syarikat menggunakan modal dengan lebih berkesan dan memfokuskan sumber kepada projek yang dianggap lebih penting.

 

Aktiviti O&G dijangka kekal rancak

CIMB Research berkata, penglibatan lebih banyak syarikat antarabangsa dalam sektor O&G akan memperluas aktiviti pelaburan di Malaysia, sekali gus menjadikan jumlah pelaburan keseluruhan industri lebih penting untuk menilai prospek sektor berkenaan berbanding hanya melihat perbelanjaan PETRONAS.

 

Firma itu berkata, perkara utama yang perlu diperhatikan ialah sama ada langkah PETRONAS tersebut menghasilkan lebih banyak kelulusan projek, aktiviti penggerudian, kerja penyelenggaraan aset sedia ada dan pemberian kontrak.

 

CIMB Research turut menjangkakan keputusan syarikat O&G bagi suku kedua tahun kewangan 2026 (2Q26) bercampur-campur berikutan kesan berbeza daripada harga tenaga yang lebih tinggi dan gangguan rantaian bekalan. 

 

“PETRONAS Chemicals Group Bhd berpeluang mendapat manfaat daripada harga petrokimia yang lebih kukuh, manakala MISC Bhd mendapat sokongan daripada kadar tambang kapal tangki yang lebih tinggi.

 

“Dayang Enterprise Holdings Bhd pula dijangka mencatat peningkatan prestasi berbanding suku sebelumnya apabila aktiviti penyelenggaraan luar pesisir kembali pulih selepas musim tengkujuh. 

 

“Sebaliknya, pendapatan Velesto Energy Bhd dijangka lebih rendah kerana beberapa pelantar ‘jack-up’ sedang melalui proses pertukaran kontrak,” kata CIMB Research dalam nota kajiannya.

 

Bagi PETRONAS Dagangan Bhd, perubahan kuota bahan api BUDI95 dan aturan bekerja dari rumah penjawat awam dijangka hanya memberi kesan terhad kepada prestasi syarikat.

 

Harga minyak, konflik Timur Tengah terus jadi perhatian

Bagi separuh kedua tahun kewangan 2026 (2H26), perhatian pelabur dijangka tertumpu kepada peningkatan aktiviti projek huluan, harga baja dan metanol yang lebih kukuh, potensi pemberian kontrak luar pesisir kepada MISC, perkembangan di Timur Tengah serta Belanjawan 2027, terutama berkaitan subsidi bahan api, cukai karbon dan komitmen dividen PETRONAS.

 

CIMB Research juga menjangka pengurangan inventori minyak global akan menghadkan bekalan di pasaran dan membantu mewujudkan paras sokongan harga minyak yang lebih tinggi walaupun gangguan geopolitik reda.

 

Firma itu mengekalkan anggaran harga minyak mentah Brent pada AS$85 setong bagi 2H26 dan AS$80 setong bagi 1H27. 

 

Harga itu boleh turun kepada AS$70 hingga AS$75 setong jika gencatan senjata berkekalan dan eksport dari rantau Teluk kembali normal, tetapi gangguan bekalan baharu boleh mendorong harga melebihi AS$100 setong.

 

CIMB Research berkata keadaan sekitar Selat Hormuz bertambah baik selepas Iran dan Oman berbincang mengenai rangka kerja perkapalan yang berpotensi memulihkan trafik kapal tanpa menunggu penyelesaian politik sepenuhnya. 

 

Namun, firma itu mengingatkan bahawa keadaan tersebut masih bersifat sementara dan risiko turut melibatkan laluan perkapalan lain, terminal eksport serta kemudahan tenaga.

 

Dalam situasi itu, CIMB Research kekal memilih Dayang Enterprise, MISC, Velesto Energy dan Dialog Group Bhd sebagai saham pilihan dalam sektor O&G. - DagangNews.com