Mahkamah arah pengasas MYAirline Goh Hwan Hua bayar balik RM67.56 juta kepada 206 pelabur | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mahkamah arah pengasas MYAirline Goh Hwan Hua bayar balik RM67.56 juta kepada 206 pelabur

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 29 Julai – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan pengasas bersama MYAirline, Goh Hwan Hua bersama entiti yang mempunyai kaitan dengannya supaya membayar balik RM67.56 juta kepada 206 pelabur selepas memutuskan skim pelaburan yang dikendalikan mereka merupakan skim pengambilan deposit secara haram dan berunsur skim Ponzi.

 

Firma guaman Zharif Nizamuddin yang mewakili plaintif berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Leong Wai Hong memberikan penghakiman ingkar pada 16 Julai lalu selepas defendan, walaupun telah diserahkan saman, gagal memasukkan kehadiran atau memfailkan pembelaan.

 

Mahkamah turut mengisytiharkan bahawa Goh dan syarikat-syarikat terbabit beroperasi sebagai satu "ekosistem skim" dan satu unit ekonomi, dengan Goh dikenal pasti sebagai individu yang mengawal keseluruhan operasi tersebut.

 

 

 

 

 

Mahkamah juga memutuskan bahawa semua perjanjian pelaburan yang ditandatangani oleh para pelabur adalah terbatal sejak awal, manakala produk yang dipasarkan kepada pelabur sebagai patuh syariah sebenarnya tidak memenuhi ciri tersebut.

 

Defendan turut didapati telah membuat kenyataan palsu atau mengelirukan para pelabur, menurut laporan FMT.

 

Goh dan semua entiti berkenaan diperintahkan secara bersama dan berasingan untuk membayar balik keseluruhan jumlah pelaburan yang dibuat oleh 206 pelabur berjumlah RM67,556,087, berserta faedah sebelum penghakiman berdasarkan kadar deposit tetap serta faedah selepas penghakiman sebanyak 5% setahun.

 

Mahkamah arah serah butiran akaun bank

Mahkamah turut mengarahkan mereka menyerahkan butiran penuh akaun bank serta semua urusan kewangan bagi membolehkan peguam yang mewakili pelabur mengesan dan mendapatkan semula wang berkenaan.

 

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan defendan membayar kos sebanyak RM80,000 kepada para pelabur.

 

Para pelabur memfailkan saman selepas didakwa dipujuk antara tahun 2018 hingga 2023 untuk melaburkan dana mereka menerusi pelbagai instrumen, termasuk surat penyertaan, perjanjian pembiayaan rakan kongsi dan perjanjian langganan saham bagi saham keutamaan boleh tebus.

 

Mereka mendakwa telah dijanjikan pulangan bulanan yang terjamin.

 

 

 

 

 

Pada 28 Februari 2025, seramai 206 pelabur memfailkan saman baharu dengan menamakan Goh serta 30 pihak lain sebagai defendan, termasuk individu, syarikat, sebuah firma guaman dan sebuah firma perunding syariah.

 

Antara defendan yang dinamakan ialah I-Serve Technology and Vacations Sdn Bhd, I-Serve Travels & Tours Sdn Bhd, I-Serve Online Mall Sdn Bhd, Tawafuq Consultancy Sdn Bhd, Bright Moon Venture PLT, MM2217 PLT dan QA Smart Partnership PLT. - DagangNews.com