HeiTech Padu lantik Sandraruben Aneelamagham sebagai Timbalan Pengerusi dalam penyusunan syarikat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HeiTech Padu lantik Sandraruben Aneelamagham sebagai Timbalan Pengerusi dalam penyusunan syarikat

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 29 JulaiHeiTech Padu Berhad melantik Datuk Sandraruben Aneelamagham sebagai Timbalan Pengerusi dalam langkah yang dilihat mampu memperkukuhkan hala tuju strategik syarikat.

 

Pelantikan itu berkuat kuasa serta-merta mulai 29 Julai 2026, menerusi penstrukturan semula kepimpinan kumpulam penyedia rumusan teknologi tersebut berdepan kepesatan sektor pendigitalan negara.

 

Dalam kenyataannya, HeiTech Padu berkata, kedudukan beliau disusun semula daripada jawatan Pengarah Eksekutif kepada Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif dan turut memegang Timbalan Pengerusi.

 

Perubahan itu menyaksikan Sandraruben, 39, beralih daripada tanggungjawab operasi harian kepada peranan yang lebih tertumpu kepada kepimpinan strategik serta tadbir urus syarikat berkenaan.

 

Beliau merupakan antara pemimpin korporat termuda dalam kalangan syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia, dengan sepanjang kerjayanya membina reputasi dalam sektor korporat dan teknologi.

 

Selain itu, beliau memainkan peranan penting dalam beberapa inisiatif korporat HeiTech Padu bagi mengukuhkan kedudukan syarikat dalam segmen perkhidmatan kerajaan digital, dan teknologi industri.

 

Langkah penyusunan semula kepimpinan itu dilihat sejajar dengan usaha syarikat memperkukuh keupayaan pengurusan dan mempercepat pelaksanaan strategi pertumbuhan dalam sektor teknologi yang kompetitif.

 

Dengan pengalaman dalam pembangunan digital dan projek teknologi berskala besar, Sandraruben dijangka terus menyumbang kepada usaha perancangan strategik serta pertumbuhan jangka panjang kumpulan.

 

Pelantikan itu turut mencerminkan komitmen HeiTech Padu memperkukuh struktur kepimpinan bagi menyokong agenda peluang perniagaan dalam pasaran teknologi yang terus berkembang. - DagangNews.com