KUALA LUMPUR 13 Ogos - Syarikat Belanda, NXP Semiconductors NV yang tersenarai di Nasdaq memperluas operasi pemasangan dan pengujiannya di Malaysia menerusi kemudahan baharu berautomasi tinggi yang akan meningkatkan lebih dua kali ganda kapasiti pengeluarannya di negara ini.
Kemudahan baharu yang dikenali sebagai North Campus itu akan dikendalikan oleh unit tempatannya, NXP Malaysia dan dijangka siap menjelang suku pertama 2028, sebelum memulakan operasi komersial selepas itu.
Kemudahan tersebut akan menambah kira-kira 500,000 kaki persegi ruang pengeluaran, sekali gus meningkatkan keseluruhan ruang pengeluaran NXP Malaysia kepada kira-kira 900,000 kaki persegi.
“Pengembangan ini meningkatkan kapasiti pemasangan dan pengujian kami, di samping mempelbagaikan operasi bagi memperkukuh daya tahan rantaian bekalan serta fleksibiliti untuk pelanggan di seluruh dunia,” kata Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Operasi dan Pembuatan NXP, Andy Micallef pada majlis pecah tanah pada Rabu.
Bagaimanapun, Micallef tidak mendedahkan jumlah pengeluaran atau kapasiti semasa NXP Malaysia.
North Campus akan terletak kurang 500 meter dari South Campus sedia ada milik NXP Malaysia di Zon Perdagangan Bebas Sungai Way, Selangor.
Kemudahan baharu itu akan dilengkapi sistem pengendalian bahan automatik dan teknologi pengurusan kualiti termaju bagi meningkatkan kecekapan operasi serta menyokong pengeluaran berkualiti tinggi.
NXP Malaysia mengendalikan kemudahan pembuatan semikonduktor di Petaling Jaya yang khusus untuk pemasangan dan pengujian litar bersepadu. Pemasangan dan pengujian merupakan sebahagian daripada proses pembuatan semikonduktor bahagian belakang, iaitu peranti dibungkus dan diuji sebelum dibekalkan untuk digunakan dalam sistem elektronik.
Guna Kecerdasan Buatan
Majlis pecah tanah itu disempurnakan oleh Menteri Digital Gobind Singh Deo, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin, Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han, Duta Belanda ke Malaysia Jacques Werner serta Pengarah Urusan dan Naib Presiden NXP Malaysia Goon Ben Nee.
Gobind berkata, pelaburan itu akan menyokong penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang lebih meluas serta sasaran Malaysia untuk meningkatkan sumbangan ekonomi digital kepada KDNK kepada 30% menjelang 2030.
“Pengembangan NXP bukan sahaja menyumbang kepada asas pembuatan Malaysia, malah kepada asas teknologi ekonomi digital negara,” katanya.
“Kita mahukan pelaburan yang memperkenalkan sistem lebih maju ke dalam asas perindustrian negara, mewujudkan peranan teknikal bernilai lebih tinggi dan memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk bekerja dengan teknologi yang akan membentuk masa depan sektor pembuatan,” tambah Gobind. - DagangNews.com







