KUALA LUMPUR 4 Sept – Farm Price Holdings Bhd akan memindahkan penyenaraiannya daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 9 September 2026.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, pemindahan tersebut melibatkan sebanyak 451.24 juta saham terbitan serta 224.9 juta waran.
Farm Price diklasifikasikan di bawah sektor produk dan perkhidmatan pengguna dan mempunyai jumlah modal saham terbitan sebanyak RM39.66 juta.
Syarikat itu berkata, pemindahan ke Pasaran Utama itu tidak akan melibatkan perubahan terhadap nama singkatan sahamnya.
Kod saham dan kod ISIN Farm Price juga akan kekal tidak berubah selepas pemindahan penyenaraian tersebut.
Sebelum ini, Pengarah Urusannya, Dr. Lawrence Tiong Lee Chian berkata, kelulusan tersebut merupakan satu pencapaian penting yang mencerminkan pertumbuhan berterusan kumpulan, kematangan operasi serta komitmennya terhadap ketelusan dan amalan tadbir urus korporat yang baik.
Menurut beliau, kejayaan itu juga selari dengan agenda keselamatan makanan negara memandangkan sayur-sayuran segar merupakan antara keperluan harian yang penting dan syarikat komited menjadi pembekal yang konsisten serta boleh dipercayai di Malaysia dan Singapura.
Farm Price mula mencipta sejarah apabila menjadi pengedar sayur-sayuran segar pertama disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada Mei 2024 yang meletakkan syarikat itu pada kedudukan yang unik dalam landskap korporat tempatan. - DagangNews.com








