KUALA LUMPUR 11 Ogos - CapitaLand dinobatkan sebagai Syarikat Terbaik Tahunan bagi Penjagaan Komuniti dan Impak Lestari dalam kategori pusat beli-belah pada Anugerah Kelestarian & CSR Malaysia 2026.
Pengiktirafan itu adalah berikutan usaha syarikat berkenaan menyokong komuniti yang kurang mendapat perhatian di Malaysia menerusi pelbagai inisiatif sosial dan kemampanan.
Antara inisiatif utama yang menyumbang kepada pengiktirafan tersebut ialah #GivingBersama 5.0 yang menyalurkan bantuan bernilai kira-kira RM200,000 dalam bentuk barangan keperluan harian dan kelengkapan pendidikan kepada sekitar 2,250 penerima manfaat di seluruh negara.
Penerima bantuan termasuk kanak-kanak kurang bernasib baik, rumah anak yatim dan keluarga berpendapatan rendah.
Program yang dianjurkan menerusi CapitaLand Hope Foundation, cabang filantropi Kumpulan CapitaLand itu turut menghimpunkan rakan komuniti dan industri untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan, kesejahteraan serta bantuan keperluan asas kepada keluarga yang memerlukan.
Pengiktirafan tahun ini merupakan kali keempat berturut-turut CapitaLand menerima anugerah Syarikat Terbaik Tahunan pada Anugerah Kelestarian & CSR Malaysia.

Lebih RM2.8 juta disumbang sejak 2011
Pengarah Urusan, Runcit, CapitaLand Investment (Malaysia), Selina Ng berkata, pengiktirafan tersebut mencerminkan komitmen syarikat dalam menyokong komuniti serta sumbangan kakitangan, penyewa, rakan kongsi dan sukarelawan yang menjayakan pelbagai inisiatifnya.
“Kami berbesar hati menerima pengiktirafan ini pada Anugerah Kelestarian & CSR Malaysia 2026. Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen CapitaLand dalam menyokong komuniti yang kami santuni serta usaha bersama kakitangan, penyewa, rakan kongsi dan sukarelawan yang telah menjayakan pelbagai inisiatif komuniti kami sejak bertahun-tahun lalu.
“Menerusi #GivingBersama 5.0 serta kerjasama kami dengan organisasi yang berkongsi aspirasi yang sama, kami telah memperluaskan sokongan bukan sahaja dalam bentuk bantuan keperluan asas, malah merangkumi inisiatif penjagaan kesihatan, kesejahteraan dan pemerkasaan komuniti yang membantu meningkatkan kualiti hidup keluarga yang memerlukan.
“Kerjasama ini membolehkan kami memberi impak yang lebih bermakna serta menyokong kesejahteraan komuniti di seluruh Malaysia,” katanya.
CapitaLand telah menyokong pembangunan komuniti di Malaysia selama lebih sedekad. Sejak 2011, dengan sokongan CapitaLand Hope Foundation, syarikat itu menyumbang lebih RM2.8 juta kepada pelbagai inisiatif komuniti yang memberi manfaat kepada lebih 18,300 penerima di seluruh negara.
Sepanjang 2025 sahaja, lebih 210 sukarelawan dalam kalangan kakitangannya menyumbang hampir 1,740 jam khidmat sukarelawan menerusi pelbagai program komuniti di Malaysia.
Hampir 680 keluarga B40 dibantu
Program #GivingBersama 5.0 di Malaysia berlangsung dari 16 Oktober hingga 20 November 2025 dengan menggerakkan sukarelawan CapitaLand untuk membantu hampir 680 keluarga berpendapatan rendah dan 220 kanak-kanak daripada komuniti yang kurang mendapat perhatian.
Program itu dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Unit Mutiara Food Bank di Pulau Pinang serta pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat di Kuala Lumpur, Kuantan dan Johor.
Pada edisi 2025, CapitaLand turut memperluaskan program tersebut menerusi kerjasama dengan beberapa rakan industri.
Buat julung kalinya, Big Pharmacy menyertai #GivingBersama sebagai rakan strategik dengan menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma kepada keluarga B40 bagi meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan dan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan asas.
Adventist Hospital Penang turut menawarkan saringan kesihatan percuma, manakala NSK Grocer menyumbangkan barangan keperluan harian dan Little Scoop menyediakan aiskrim yogurt percuma kepada keluarga di Lembah Klang.
Penerima manfaat turut menyertai bazar komuniti CapitaLand yang diadakan di dewan komuniti sekitar Lembah Klang dan Kuantan serta di Gurney Plaza.

Lebih 17,000 sukarelawan di 14 negara
Bazar berkenaan memberi peluang kepada keluarga terlibat memilih sendiri pelbagai barangan keperluan runcit, hasil segar, snek berkhasiat dan kelengkapan pendidikan berdasarkan keperluan masing-masing.
#GivingBersama 5.0 merupakan sebahagian daripada kempen #GivingAsOne CapitaLand yang menghimpunkan kakitangan, penyewa, rakan perniagaan dan pelanggan di seluruh pasaran operasinya untuk membantu komuniti yang memerlukan.
Pada 2025, lebih 17,000 sukarelawan di 14 negara menyumbang lebih 100,000 jam khidmat sukarelawan menerusi kempen tersebut.
Program berkenaan memberi manfaat kepada lebih 130,000 individu di seluruh dunia.
Anugerah Kelestarian & CSR Malaysia 2026 pula mengiktiraf organisasi yang menunjukkan kepimpinan dalam bidang kemampanan dan tanggungjawab sosial korporat serta menghasilkan impak kepada komuniti.
CapitaLand berkata, pengiktirafan terbaharu itu mengukuhkan komitmennya untuk mengintegrasikan kemampanan dalam operasi syarikat dan mewujudkan impak sosial positif menerusi penglibatan komuniti. - DagangNews.com








