Memahami Konsep dan Falsafah Wakaf Tunai | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 18 April 2023

MEMAHAMI KONSEP DAN FALSAFAH WAKAF TUNAI

 

 

 

DEWASA ini kita sering mendengar perkataan wakaf tunai. Penulis ingin berkongsi sedikit tentang wakaf tunai ini. Makna literal wakaf adalah “penahanan”, “untuk mencegah” atau “untuk menahan”.

 

Daripada sudut pengetahuan (fiqh), wakaf mempunyai empat elemen penting

(1) wakif – pemilik harta yang hendak diwakafkan;

(2) manquf – harta yang hendak diwakafkan;

(3) manquf alayh – penerima pendapatan/hasil daripada manquf;

(4) sighah – kontrak.

 

Pentadbir dipanggil nazir al-waqf atau mutawalli. Perkara (barangan) yang hendak diwakafkan secara umumnya boleh dikategorikan sebagai manqul (boleh alih) atau aqar (tidak boleh alih).

 

Oleh itu, wakaf adalah perbuatan yang terpuji dan soleh oleh seseorang dalam pengabdian harta dalam apa jua bentuk, yang didedikasikan secara kekal oleh seorang Muslim untuk sebarang aktiviti atau portfolio pelaburan pengurusan yang diiktiraf oleh Islam.

 

 

parafrasa

 

 

Ia bertujuan untuk amal atau keagamaan yang berkekalan, yang akan menjamin sebarang manfaat kepada manusia dan unsur materialnya akan tetap utuh.

 

Ringkasnya, wakaf adalah pemindahan tetap kepada Allah untuk keredhaan-Nya, yang tidak boleh ditarik balik sebahagian daripada harta seseorang (aset boleh alih atau tidak boleh alih). Maka harta tersebut menjadi milik Allah selamanya.

 

Terdapat dua jenis wakaf iaitu wakaf am dan wakaf khas. Wakaf Khas pula dibahagikan kepada dua iaitu wakaf ahli dan wakaf khusus.

 

Dari pembacaan penulis, Imam Zufar, Ulama Ḥanafi berpendapat bahawa wang tunai boleh diwakafkan berdasarkan amalan adat dan budaya setempat.

 

Syaikh Muḥammad Sharbini Khatib pula berpendapat bahawa wang tunai boleh diwakafkan jika ia berfungsi sebagai fungsi wang.

 

Oleh yang demikian pengurus wakaf boleh menggerakkan dana, dalam bentuk tunai, untuk digunakan untuk memperoleh "harta dengan mal". Tunai dalam konteks ini hanyalah medium yang digunakan untuk memperoleh "aset dengan nilai".

 

Wakaf tunai (wakaf ahli) mula diperkenalkan pada zaman Uthmaniyyah di Mesir.

 

Dana wakaf diberikan sebagai modal dan benih pelaburan kepada pihak ketiga untuk melakukan pelaburan di bawah kontrak-kontrak seperti kontrak jualan dengan harga untung (murabahah) atau pelaburan yang menggunakan kontrak kongsi keuntungan secara amanah (mudarabah).

 

 

parafrasa

 

 

Apabila matang tempoh pelaburan, modal dan keuntungan selepas ditolak caj pentadbiran dikembalikan kepada pentadbir wakaf.

 

Segala keuntungan yang diperoleh daripada aktiviti pelaburan tersebut diagihkan kepada orang ramai melalui pembayaran tunai untuk perkhidmatan yang diberikan atau subsidi pembayaran penyelenggaraan harta benda awam.

 

Dalam usaha promosi wakaf tunai ini, Profesor Mannan memasyarakatkan wakaf tunai di Bangladesh melalui Social Investment Bank Limited (SIBL). SIBL mengeluarkan Sijil Wakaf Tunai untuk mengutip dana daripada sektor awam dan korporat.

 

Dana tunai kumpulan dipelbagaikan dalam portfolio pelaburan SIBL dan hasil yang diperoleh daripada pelaburan tersebut diagihkan kepada orang awam.

 

SIBL mengenakan caj pentadbiran daripada hasil sebelum pengagihan. Di Malaysia, melalui Labuan IOFC terdapat juga wakaf tunai ini di mana Sijil Wakaf Tunai untuk membiayai aktiviti pembiayaan luar pesisir disediakan.

 

Pengumpulan dana (tunai) dari masyarakat yang ingin mewakafkan wang tunai untuk wakaf dilaksana dan membelanjakan hanya pendapatan yang dijana daripada pelaburan dana tunai tersebut untuk membiayai pelbagai projek dan program pembangunan komuniti yang menggalakkan pembangunan komuniti bersepadu dan berdikari.

 

Di Malaysia, sudah ada usaha untuk pengumpulan dana tunai ini untuk dicarum sebagai wakaf, dikumpulkan ke dalam akaun wakaf yang diuruskan oleh institusi yang dikawal selia.

 

Institusi ini akan menguruskan pentadbiran dan portfolio pelaburan, mengumpulkan hasil wakaf tunai dan agihkan kepada waris sebagaimana yang ditetapkan dalam undang-undang wakaf negara, dan penerima manfaat adalah ahli keluarga penyumbang/penderma atau para pelajar di institusi pengajian tinggi.

 

 

parafrasa

 

 

Modus operandi ini boleh dikenali sebagai Wakaf Tunai Keluarga / Pendidikan. Shariah telah meluluskan wakaf ahli sebegini, di mana hasil daripada hasil boleh untuk dua generasi.

 

Apabila tamat generasi kedua, wakaf tunai yang diwujudkan tersebut hendaklah ditukar kembali kepada wakaf am.

 

Kelebihan wakaf sebegini ialah orang ramai boleh membuat wakaf melalui pembayaran anuiti ke dalam akaun tabungan wakaf dan ahli keluarga serta para pelajar boleh mendapat manfaat daripada hasil pelaburan akaun tersebut.

 

Wakaf tunai ahli sebegini akan memberi peluang kepada golongan marhaien (orang biasa) untuk turut sama berwakaf. Oleh yang demikian, setiap ahli masyarakat, yang kaya dan miskin berpeluang untuk berwakaf.

 

Kepada yang kurang berupaya berwakaf harta secara persendirian, kini mampu bersama-sama rakan taulan yang lain untuk berwakaf dengan sumber kecil mereka dalam bentuk wang tunai ke dalam tabung dana.

 

Sedikit sedikit lama-lama jadi bukit di mana tabungan akan tersedia dengan jumlah yang munasabah untuk dilaburkan dan dapat memperoleh aset yang berbaloi untuk menjadi sumber pendapatan yang berterusan untuk menyediakan keperluan ahli masyarakat Islam yang kurang bernasib baik.

 

Untuk meredakan sungutan orang ramai tentang keabsahan wakaf tunai ini, resit, sijil dan/atau penyata Wakaf Tunai perlu dikeluarkan kepada penderma untuk memastikan mereka berasa selesa bahawa derma mereka tidak digunakan secara salah, dan juga untuk menyimpan rekod derma.

 

 

parafrasa

 

 

Marilah kita mula menggerakkan hati kita untuk berwakaf.

 

Di Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur, UTMKL ada menyediakan wakaf tunai pendidikan yang boleh disertai oleh orang ramai yang mahu mendapat pahala yang berkekalan selepas kematian. – DagangNews.com

 


Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
utm

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IKTISAD

Portfolio Tags