Apa kena buat bila saham dibeli dulu, kini diputuskan `tidak patuh syariah'? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 28 November 2023

APA KENA BUAT BILA SAHAM YANG DIBELI DAHULU KINI DIPUTUSKAN TIDAK PATUH SYARIAH?

 

 

 

SURUHANJAYA Sekuriti Malaysia (SC) telah mengeluarkan senarai saham patuh syariah yang terbaharu berkuatkuasa 24 November 2023. Senarai baharu ini menggantikan senarai lama yang berkuatkuasa dari 26 Mei 2023.

 

Terdapat 991 saham yang diapungkan di Bursa Malaysia berbanding dengan 980 saham pada 26 Mei 2023.

 

Daripada 991 saham ini, 82 peratus bersamaan dengan 808 saham yang diapungkan tersebut telah disenaraikan sebagai saham patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah SC.


 

iktisad

 

SC juga telah menyenaraikan 31 saham baharu yang patuh syariah.

 

Untuk tujuan perbandingan, pada 26 Mei 2023 lepas, SC menyenaraikan 27 saham baharu yang patuh syariah.

 
 

iktisad


 

Jika dibandingkan senarai 6 bulan yang lepas, pada 26 Mei 2023, terdapat 9 saham yang telah diklasifikasi sebagai saham tidak patuh syariah.

 

Namun, pada kali ini, senarai yang dikeluarkan telah menyenarai sebanyak 26 saham tidak patuh syariah.

 

 

iktisad

 


Sebagai pelabur setiap umat Islam semestinya perlu memastikan pegangan potfolio pelaburan saham mereka sentiasa bersih dari mana-mana saham yang tidak patuh syariah.

 

Maka, dengan itu penulis meyarankan semua pelabur lekas-lekas memastikan saham-saham dalam pegangan mereka tidak tergolong dalam 26 saham yang tersebut.

 

Sekiranya saham yang kita pegang telah bertukar status kepada saham tidak patuh Syariah dan tersenarai sebagai saham tidak patuh syariah, APA YANG KITA KENA BUAT?

 

Berikut sedikit panduan melalui contoh berikut sebagai prosidur yang boleh dilaksana oleh para pelabur:

 

Sebagai contoh, Johardy & Razli (JR) Brothers Berhad adalah syarikat yang patuh syariah dan tersenarai dalam senarai saham patuh syariah pada 26 Mei 2023.

 

Pengurus dana telah memegang saham syarikat ini. Pada 24 November 2023, SC telah nyahsenaraikan dari senarai saham patuh syariah. Maksudnya, saham syarikat telah bertukar status kepada saham tidak patuh Syariah. Kata lah, kos pembelian 100 lot saham JR Brothers Berhad adalah RM200,000. Ini bermakna harga 1 lot ialah RM2,000.

 

Pada hari pengumuman status saham oleh SC, 24 November 2023, harga 1 lot telah mencecah RM2,300. Seterusnya, pengurus dana telah berjaya melupuskan keseluruhan 100 lot sekuriti tersebut pada 30 November 2023 pada harga RM2,700 untuk 1 lot.

 

Oleh itu, jumlah keuntungan yang terhasil daripada perlupusan 100 lot saham JR Brothers Berhad pada 30 November 2023, adalah RM70,000, yakni RM270,000 – RM200,000. Namun, jumlah keuntungan yang terhasil jika perlupusan dibuat pada 24 November 2023, yakni, hari pengistiharan status dibuat, adalah RM30,000, (RM230,000 – RM200,000).

 

Menurut panduan Majlis Penasihat Syriah SC, pengurus dana hanya dibenar menyimpan RM30,000 keuntungan itu sahaja, manakala RM40,000 (RM70,000 – RM30,000) wajib disalurkan kepada Baitulmal atau mana-mana badan kebajikan yang diluluskan oleh penasihat syariah dana tersebut. Keuntungan yang boleh diambil adalah RM30,000 dan keuntungan yang tidak boleh diambil adalah RM40,000.


 

iktisad

 


Untuk makluman pembaca, RM40,000 ini adalah jumlah yang disebut sebagai wang syubhah. Wang syubhah juga dikenali sebagai wang tidak patuh syariah atau wang haram.

 

Wang syubhah ini seperlunya disalurkan kepada Baitulmal untuk dibersihkan dan kemudiannya dipulangkan kepada masyarakat atau kepada mana-mana badan kebajikan yang diluluskan oleh penasihat syariah.

 

Jika sekiranya harga lot saham tersebut jatuh kepada harga satu lot saham pada RM1,7000 (100 lot = RM170,000) pada tarikh pengumuman (24 November 2023), maka SC membenarkan pelabur untuk menyimpan saham tersebut SEHINGGA lah nilai 100 lot saham tersebut (termasuk dividen) bersamaan dengan harga kos saham tersebut dibeli dahulu, yakni, RM200,000, yakni, 1 lot bersamaan RM2,000.

 

Ini adalah bertujuan untuk memastikan pelabur tidak mengalami kerugian kerana pertukaran status saham tersebut di luar kuasa para pelabur.

 

Oleh yang demikian untuk menjaga harta dan mengelak kemudaratan kepada para pelabur, maka, syariah membenarkan saham tersebut disimpan. Ini bertepatan dengan prinsip Maqasid Syariah.

 

Namun begitu, penulis suka menyarankan agar pelabur melupuskan sahaja saham tersebut dan menggunakan dana hasil jualan untuk melabur dalam mana-mana 808 saham yang lain yang disenaraikan saham patuh syariah oleh SC.


 

iktisad

 


Penulis amat pasti, insya-Allah, dividen yang bakal diperoleh nanti dapat menampung kembali sedikit kerugian ketika melupuskan saham yang tidak patuh syariah tersebut.

 

Penulis selalu yakin yang keberkatan akan muncul dengan hikmah.- DagangNews.com

 

 


Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
utm

 

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IKTISAD

 

dagangnews

 

Portfolio Tags