Skip to main content

Ijazah kehormat kedoktoran Nihon University diterima PM adalah sah

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) menerima Ijazah Kehormat Kedoktoran daripada Presiden Universiti Nihon, Dr Naoto Kato pada Majlis Sempena Penganugerahan Ijazah Kehormat Kedoktoran Perubatan Oleh Universiti Nihon Tokyo, Selasa. Anugerah itu adalah sebagai mengiktiraf usaha dan sumbangan Ismail Sabri dalam memerangi pandemik COVID-19.

KUALA LUMPUR 26 Mei - Status Nihon University yang menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Perubatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu dipertikai kerana institusi itu merupakan universiti terkemuka di Jepun.

 

Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berkata, ijazah kehormat mempunyai nilai tersendiri yang dianugerahkan oleh universiti termasuk universiti terkemuka di dunia seperti di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Australia dan negara maju lain. 

 

"Dari segi amalan, ia merupakan penganugerahan berprestij kepada seseorang tokoh terpilih atas sumbangan besar dalam bidang tertentu, misalnya ahli akademik, pakar industri, aktivitis masyarakat serta pemimpin negara termasuk dari Malaysia.

 

"Perdana Menteri menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Perubatan daripada Nihon University sebagai mengiktiraf usaha dan sumbangannya dalam memerangi pandemik COVID-19, baru-baru ini,'' kata MQA dalam kenyataan di sini hari ini.

 

MQA melaksanakan proses pengesahan pengiktirafan kelayakan luar negara berasaskan status pengiktirafan negara asal bagi kelayakan yang tidak tersenarai dalam sistem kami.

 

Perkara ini seperti yang terkandung dalam Surat Pekeliling MQA Bil. 6/2019: Mekanisme Baharu Pengiktirafan Kelayakan Luar Negara yang boleh diakses pada pautan https://www.mqa.gov.my/pv4/recognition.cfm - DagangNews.com