Skip to main content

HSBC Amanah bangunkan Rangka Kerja TBL selaras dengan matlamat sebagai pengamal perantaraan berasaskan nilai

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Sept - HSBC Amanah Malaysia Berhad membangunkan Rangka Kerja Triple Bottom Line (TBL) bagi membantu bank itu meneruskan aspirasinya sebagai pengamal pengantaraan berasaskan nilai (VBI).

 

Rangka Kerja TBL itu akan membantu HSBC Amanah HSBC Amanah mengklasifikasikan pembiayaannya dan mengukur impaknya berkenaan melalui 3P iaitu  Planet, Rakyat (People) dan Kemakmuran (Prosperity) – selaras dengan panduan VBI yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia.

 

Pada asas tahunan, pengesahan bebas akan dijalankan untuk memastikan klasifikasi aset pembiayaan yang berkaitan sebagai Aset TBL adalah mengikut Rangka Kerja TBL.

 

Rangka Kerja TBL juga telah disemak oleh United Nations Global Compact Network Malaysia dan Brunei sebagai penyedia Pendapat Pihak Kedua.

 

Pengarah Eksekutif United Nations Global Compact Malaysia and Brunei, Faroze Nadar berkata, rangka kerja itu merupakan pendekatan yang terperinci dan boleh disahkan yang sejajar dengan pencapaian matlamat pembangunan mampan (SDG) yang disasarkan.

 

"Kami yakin dan bersetuju bahawa Rangka Kerja TBL HSBC Amanah sesuai digunakan sebagai kaedah untuk mengklasifikasikan asetnya sebagai memenuhi objektif kemampanannya.

 

hsbc

 

"Rangka kerja itu menetapkan amalan terbaik untuk industri bagi membantu mencapai sifar bersih untuk Malaysia menjelang 2050," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Amanah, Raja Amir Shah Raja Azwa berkata, rangka kerja itu membantu mencapai aspirasi TBL HSBC Amanah selain bertujuan menjadi pendekatan klasifikasi, tadbir urus selain pelaksanaan proses berhubung dengan aset pembiayaan yang berasal dan/atau diuruskan oleh bank itu.

 

"Menerusi penjelasan itu, HSBC Amanah berusaha untuk menjadi pengamal VBI terkemuka di Malaysia," katanya.

 

Dengan Malaysia terus berada di hadapan dalam industri kewangan Islam, adalah penting bagi institusi global memainkan peranan dalam menerajui pasaran dari segi mengamalkan amalan yang membantu memudahkan pertumbuhan. - DagangNews.com