Hartasuma sedia lengkapkan bekalan 108 gerabak LRT bagi laluan Kelana Jaya | DagangNews Skip to main content

Hartasuma sedia lengkapkan bekalan 108 gerabak LRT bagi laluan Kelana Jaya

Pengarah Eksekutif Hartasuma, Tan Sri Ravindran Menon (dari kiri) bersama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam lawatan ke kilang pengeluaran Hartasuma di Pulau Indah, Klang, hari ini.

KUALA LUMPUR 20 Julai - Sebanyak 19 tren baharu yang memiliki 4 gerabak akan diterima Prasarana Malaysia Bhd. bagi kegunaan transit aliran ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya secara berperingkat sehingga Disember 2024.

 

Tren baharu itu adalah di bawah projek Kenderaan Tambahan Kuala Lumpur (KLAV 27) bernilai RM1.72 bilion yang dilaksanakan pada 2017.

 

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, melalui KLAV 27, kerajaan melalui Prasarana telah menganugerahkan kontrak pembekalan kepada Hartasuma Sdn. Bhd.

 

Katanya, Hartasuma telah menyerahkan 8 tren baharu 4 gerabak pada tahun lalu dan bakinya akan diserahkan bermula Julai 2023 sehingga Disember 2024.

 

"Hartasuma adalah syarikat tempatan yang telah membuktikan kejayaan memasang gerabak kereta api sejak bertahun-tahun lalu.

 

"Mereka telah meningkatkan kepakaran tempatan dan projek ini 45% adalah daripada kepakaran dan sumber tempatan," katanya selepas mengadakan lawatan ke kilang Hartasuma di Pulau Indah, Klang, hari ini seperti dilapor Berita Harian.

 

Hartasuma merupakan syarikat kenderaan dan perkhidmatan rel bersepadu terkemuka di rantau ini dengan Kepakaran terasnya dalam kejuruteraan inovatif, pengubahsuaian, baik pulih, operasi dan penyelenggaraan, pemasangan, dan pembekalan kenderaan rel.

 

Ia adalah syarikat pertama membekalkan koc penumpang dan LRT pemasangan tempatan pertama Malaysia kepada Prasarana dan Keretapi Tanah Melayu Bhd.

 

Sehingga kini, ia telah menyerahkan lebih 400 gerabak untuk memenuhi keperluan pengangkutan sektor rel dan penerbangan negara.

 

Sementara itu, dalam kenyataan, Pengasas Bersama dan Pengarah Eksekutif Hartasuma, Tan Sri Ravindran Menon berkata, syarikat kini bersedia untuk melengkapkan pembekalan 108 gerabak transit aliran ringan (LRT) baharu untuk laluan Kelana Jaya.

 

"Ia sedang dilaksanakan menerusi konsortium dengan Alstom S.A, peneraju global dalam pembuatan kenderaan rel," katanya.

 

Konsortium Alstom-Hartasuma telah dianugerahkan kontrak ini pada 2017, di bawah peruntukan KLAV 27.

 

Lebih ketara, Hartasuma sedang dalam proses memasang komponen bawah gerabak atau ‘bogie’ untuk gerabak LRT di Malaysia.

 

Sebelum ini, rakan kongsi konsortiumnya iaitu Alstom S.A, di Mexico, yang memiliki keupayaan pemasangan tersebut telah melaksanakan pemasangan itu. 

 

Ravindran memberitahu, Hartasuma kini berkembang untuk menjadi sebuah kilang pengajar yang membangunkan dan memupuk bakat tempatan dalam pelbagai bidang kepakaran dalam industri kereta api.

 

"Kami telah bekerjasama dengan institusi akademik seperti Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), dan akan menjadi sebahagian daripada ekosistem yang menghasilkan tenaga kerja mahir," tambahnya. - DagangNews.com