Skip to main content

Harga minyak sawit mentah dijangka lemah dalam jangka terdekat

Sektor perladangan, juga tidak mempunyai pemangkin, dengan harga MSM dijangka kekal lemah dalam jangka terdekat, berikutan penyambungan semula eksport oleh Indonesia.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Harga minyak sawit mentah (MSM) boleh didagangkan dalam paras terikat selepas pembetulan besar daripada harga puncak pada Jun, kata firma penyelidikan UOB Kay Hian Research (UOBKH).

 

Sektor perladangan, juga tidak mempunyai pemangkin, dengan harga MSM dijangka kekal lemah dalam jangka terdekat, berikutan penyambungan semula eksport oleh Indonesia, kata firma itu lagi.

 

"Ini adalah ramalannya kerana ia menyatakan, Indonesia nampaknya mengekang inventori tinggi semasanya.

 

“Kami berpendapat harga MSM akan kekal disokong sehingga akhir tahun berikutan permintaan, pemulihan dan pengeluaran yang berpotensi lebih lemah daripada jangkaan, disebabkan kerugian tanaman semasa yang tinggi di Indonesia dan Malaysia,” kata firma penyelidikan itu.

 

Peningkatan permintaan dari India dijangka dalam beberapa bulan akan datang, didorong oleh harga MSM semasa dan musim perayaan.

 

Permintaan minyak sayuran India kembali ke tahap pra-COVID-19 dengan operasi segmen hotel, restoran dan kafe kembali ke paras normal, menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia.

 

Tambahan pula, pemangkin jangka panjang bagi sektor perladangan boleh datang daripada keputusan India untuk menyemak semula duti import jika harga MSM terus lemah, kata UOBKH Research.

 

Mengenai prospek hadapan bagi syarikat, UOBKH Research berkata mungkin terdapat sedikit kekecewaan ke atas hasil pendapatan kerana syarikat yang beroperasi di Indonesia boleh diseret oleh kesan dasar di negara itu.

 

"Kami tidak akan terkejut jika terdapat keuntungan operasi negatif bagi sesetengah syarikat pada suku kedua atau ketiga," kata firma penyelidikan itu.

 

“Walaupun jangkaan volum jualan lebih kukuh suku ke suku pada suku ketiga, kami menganggap margin syarikat perladangan Indonesia akan kekal lemah kerana harga MSM domestik Indonesia sangat hampir dengan kos pengeluaran syarikat,” tambah UOBKH Research.

 

Firma ini juga mengutamakan pemain perladangan Malaysia yang akan terus mendapat manfaat daripada harga komoditi yang tinggi.

 

Pilihan utama UOBKH Research ialah IOI Corp Bhd yang mana ia mempunyai panggilan ‘beli’ dengan harga sasaran RM5.15 disebabkan pendedahannya yang tinggi kepada Malaysia serta margin penapisan tinggi yang stabil berbanding rakan sebayanya.

 

"Kami juga mengesyorkan Hap Seng Plantations Bhd dengan panggilan "beli" dan harga sasaran RM2.80 berdasarkan hasil dividennya yang tinggi sebanyak 7.9% disokong oleh pendapatan yang lebih kukuh daripada rakan sebayanya," katanya. - DagangNews.com