Haily raih kontrak RM40.67 juta bina pejabat kedai 3 tingkat di Tebrau | DagangNews Skip to main content

Haily raih kontrak RM40.67 juta bina pejabat kedai 3 tingkat di Tebrau

 

JOHOR BAHRU 20 Dis – Syarikat pembinaan yang berpangkalan di Johor, Haily Group Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya Haily Construction Sdn Bhd (Haily Construction) telah memperoleh kontrak RM40.67 juta daripada Austin Senibong Development Sdn Bhd.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Haily memberitahu, kontrak itu membabitkan cadangan pembinaan dan penyiapan 99 unit pejabat kedai 3 tingkat, 1 unit pencawang TNB dan 4 unit pencawang kompak TNB di Tebrau, Johor Bahru.

 

Pengarah Eksekutif Haily, See Tin Hai berkata, tempoh keseluruhan projek adalah 20 bulan dan kerja-kerja dijangka dimulakan dalam tempoh 3 bulan dari tarikh surat anugerah.

 

Menurutnya, kontrak terbaharu ini akan meningkatkan nilai projek syarikat yang kini berjumlah RM557.89 juta, melibatkan 22 projek pembinaan bangunan dan 2 projek pembinaan berkaitan kejuruteraan awam yang sedang dijalankan.

 

“Industri pembinaan di Malaysia terjejas akibat pandemik COVID-19. Bagaimanapun, kami optimis dengan pemulihan industri pembinaan dengan lebih banyak projek disambung semula selepas Perintah Kawalan Pergerakan di Malaysia ditarik balik.

 

‘’Buku pesanan kami akan membuatkan kami sibuk untuk masa terdekat dan menyumbang kepada pendapatan serta aset bersih kumpulan syarikat milik Hail untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 dan 31 Disember 2023,” katanya dalam kenyataan di sini.

 

Menyingkap kembali, Haily telah memenangi tender untuk projek pembinaan berjumlah lebih RM100 juta pada suku semasa berakhir 31 Disember 2021 (Q4FY2021) dalam beberapa pengumuman.


 

See Tin Hai
                                      See Tin Hai

 


Haily Construction pada 12 November telah menerima Surat Anugerah daripada Nice Frontier Sdn Bhd untuk projek perumahan komuniti di Kulai, Johor bernilai RM14.57 juta.

 

Syarikat pada 5 November 2021 telah menerima anugerah untuk projek kediaman oleh Factor Synergy Sdn Bhd bernilai RM23.70 juta.

 

Haily Construction juga, pada 2 November 2021, telah menerima anugerah bagi projek perumahan kediaman oleh Gunung Impian Development Sdn Bhd yang terletak di Tebrau, Johor bernilai RM27.21 juta.

 

“Kejayaan baru-baru ini yang kami perolehi adalah berlandaskan pengalaman kami dalam industri pembinaan dan keupayaan sebagai kontraktor Gred G7 yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

 

‘’Ini juga selaras dengan rancangan Kumpulan untuk penyenaraiannya, iaitu menumpukan kepada kecekapan teras kami dalam pembinaan bangunan kediaman dan bukan kediaman di Johor, dan meluaskan capaian kami ke daerah lain,” tambahnya.

 

Haily membuat penampilan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities pada 21 Julai 2021.

 

Kumpulan ini pada dasarnya merupakan kontraktor utama yang terlibat dalam pembinaan bangunan kediaman dan bukan kediaman di Wilayah Selatan Semenanjung Malaysia, khususnya Johor. Ia juga menyediakan jentera pembinaan untuk tujuan penyewaan. – DagangNews.com