Gunung Kinabalu ditutup 2 minggu bermula esok akibat COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Gunung Kinabalu ditutup 2 minggu bermula esok akibat COVID-19

Kompleks Taman Kinabalu

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah mengeluarkan notis penutupan Kompleks Taman Kinabalu selama dua minggu bermula 25 September sehingga 8 Oktober 2020.

Setiausaha Tetapnya, Dr. Jamili Nais berkata, keputusan penutupan tersebut dibuat susulan seorang pendaki dari Tawau yang dikesan mempunyai kontak rapat dengan individu yang didapati positif COVID-19.

"Semua kakitangan yang bertugas di pusat saringan, kaunter pendaftaran serta pintu masuk Kompleks Taman Kinabali dan Panalaban telah diminta untuk menjalani saringan kesihatan hari ini.

"Oleh itu, Jabatan Kesihatan mengesyorkan supaya Kompleks Kinabalu ditutup kepada orang awam termasuk pendaki ke Gunung Kinabalu selama 14 hari berkuat kuasa 25 September hingga 8 Oktober 2020," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau lagi, kesemua malim gunung dan porter yang bertugas pada 13 dan 14 September juga diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan.

Mereka akan dikuarantin selama 14 hari sekiranya didapati positif COVID-19.

Jamili turut berkata, kakitangan dan malim gunung rombongan pendaki yang dikenalpasti terdedah rapat dikehendaki menjalani kuarantin di rumah sehingga keputusan saringan kesihatan diperolehi.

Ujarnya lagi, kesemua kemudahan yang ada di kawasan tersebut juga akan dibersih dan dinyahkuman.

Pada 13 hingga 14 September lalu, seorang pendaki dari Tawau mempunyai kontak rapat dengan pesakit  yang disahkan positif COVID-19. - DagangNews.com