Gamuda muktamadkan draf perjanjian pelupusan 4 lebuh raya kepada ALR bernilai RM4.48 bilion | DagangNews Skip to main content

Gamuda muktamadkan draf perjanjian pelupusan 4 lebuh raya kepada ALR bernilai RM4.48 bilion

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 Jun – Gamuda Bhd., Kumpulan Perangsang Selangor Bhd. (KPS) dan Lingkaran Trans Kota Holdings Bhd. (Litrak Holdings) mengumumkan bahawa draf perjanjian bagi terma dan syarat jual beli saham untuk cadangan penjualan syarikat konsesi lebuh raya kepada Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd. (ALR) telah dimuktamadkan.

 

Ini menyaksikan dagangan saham ketiga-tiga syarikat ini digantung sementara mulai 3.20 hingga 4.20 petang tadi.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, Gamuda yang merupakan pemegang konsesi 4 syarikat lebuh raya di Lembah Klang telah bersetuju dan memuktamadkan terma dan syarat draf perjanjian jual beli saham dengan ALR.

 

Di bawah draf perjanjian yang dimuktamadkan itu, 4 lebuh raya tersebut akan dilupuskan kepada ALR pada agregat RM4.477 bilion, dengan bahagian Gamuda berjumlah RM2.347 bilion. 

 

"Perjanjian yang dimuktamadkan hanya akan dilaksanakan apabila memenuhi semua syarat yang ditetapkan dalam surat tawaran bersyarat masing-masing daripada ALR.

 

"Ini termasuk kelulusan daripada pemegang saham syarikat pemegangan konsesi masing-masing," katanya dalam makluman itu hari ini.

 

Empat syarikat pegangan konsesi lebuh raya itu ialah Kesas Holdings Bhd., Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Holdings Sdn. Bhd. (Sprint), Lingkaran Trans Kota Holdings Bhd. dan Projek Smart Holdings Sdn. Bhd. (SMART). 

 

Baca : Amanat Lebuhraya Rakyat tawarkan RM5.5 bilion ambil alih 4 konsesi lebuh raya

 

Pada 4 April lalu, Menteri Kanan (Kerja Raya), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ALR akan mengambil alih Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (Smart), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint) dan Lebuhraya Damasara-Puchong (LDP).

 

Penstrukturan semula menerusi kaedah itu menyaksikan tiada lagi pemegang saham dalam apa juga bentuk seperti dividen.

 

Pemegang saham sedia ada dalam konsesi semasa 4 lebuh raya berkenaan, antaranya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Pekerja (KWAP), Permodalan Nasional Bhd. (PNB) dan Lembaga Tabung Haji akan mendapat pulangan pelaburan lebih awal daripada sepatutnya.

 

ALR ialah syarikat persendirian bukan berasaskan keuntungan yang dipengerusikan Tan Sri Azlan Mohd Zainol ditubuhkan pada 2021 diberi mandat oleh kerajaan untuk membantu melaksanakan penstrukturan semula lebuh raya. 

 

Gamuda memiliki 70% pegangan dalam Kesas manakala selebihnya dimiliki Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

 

Selain itu, Gamuda juga memiliki 42.8% pegangan dalam Litrak dan 50% dalam SMART (usaha sama Gamuda dan MMC Corp. Bhd. 50:50).

 

Bagi Sprint pula, Gamuda memiliki pegangan langsung 30% manakala Litrak (50%) dan Kumpulan Perangsang Selangor Bhd. (KPS) pula 20%. Ini memberikan Gamuda pegangan efektif sebanyak 51.4% dalam Sprint.

 

Dalam penutupan petang ini, selepas dagangan kembali semula, Gamuda menokok 8 sen kepada RM3.60 manakala KPS meningkat 0.5 sen kepada 76.5 sen.

 

Litrak pula muncul antara kaunter paling menguntungkan petang ini dengan ditutup 19 sen lebih tinggi kepada RM4.87. - DagangNews.com