Gagasan Nadi Cergas sertai tender pembinaan lebih RM1.7 bilion | DagangNews Skip to main content

Gagasan Nadi Cergas sertai tender pembinaan lebih RM1.7 bilion

Pengarah Urusan Kumpulan Gagasan Nadi Cergas, Wan Azman Wan Kamal

 

 


KUALA LUMPUR 13 Sept. - Gagasan Nadi Cergas Bhd. menyasarkan untuk meraih lebih banyak kerja-kerja pembinaan dengan mennyertai tender lebih RM1.7 bilion untuk tahun-tahun akan datang. 

 

Projek yang dibida kumpulan terdiri daripada sektor awam dan swasta termasuk projek penting seperti hospital dan kemudahan penjagaan kesihatan.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Gagasan Nadi Cergas, Wan Azman Wan Kamal berkata, terdapat lebih banyak permintaan untuk membina projek penting seperti hospital dan penjagaan kesihatan bagi memelihara kesejahteraan rakyat terutama apabila negara beralih daripada situasi pandemik kepada endemik. 

 

"Sehubungan itu, kami percaya dengan kepakaran meluas dalam mereka bentuk dan membina pelbagai bangunan penting selama lebih 26 tahun lalu dapat menjamin kedudukan kami dalam tender ketika ini," katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) hari ini. 

 

Hasil daripada tender tersebut akan melengkapkan nilai projek kumpulan berjumlah RM1.6 bilion setakat 31 Mac 2021, yang terdiri daripada 6 projek sedang berjalan dan beberapa projek akan bermula tidak lama lagi.

 

Projek semasa kumpulan termasuklah pembinaan kampus Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Bagan Datuk, Perak dan Dungun, Terengganu; Pusat Kardiologi Hospital Serdang, Selangor; pangsapuri awam di Presint 11, Putrajaya; pembangunan bercampur Selindung di Ulu Yam dan Kondominium Antara Residence di Presint 5, Putrajaya. 

 

Kumpulan memperoleh kelulusan dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk memulakan kembali operasi dengan mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang ketat ditetapkan Kementerian Kesihatan. 

 

Wan Azman berkata, kumpulan kini berada dalam landasan tepat untuk mencapai kadar vaksinasi penuh dalam kalangan pekerja menjelang akhir September ini. 

 

"Ini secara tidak langsung akan membantu mempercepatkan kemajuan pembinaan bagi projek yang sedang berjalan dan memulakan projek akan datang," katanya.

 

Projek akan datang ini termasuklah projek perumahan Rumah Selangorku di Serendah; Rumah Idaman di Bukit Jelutong dan Elmina Shah Alam serta 2 projek rumah mampu milik berkediaman tinggi bagi Paramount Corp. Bhd. di Selangor.

 

Secara keseluruhan, Gagasan Nadi Cergas akan membina lebih 7,000 unit rumah mampu milik mulai tahun ini sehingga 2026.

 

Bagi segmen pembangunan hartanah, Antara Residence merekodkan kadar ambilan hampir 70% dengan pembangunan projek dijangka siap pada 2022 manakala bagi projek Selindung Ulu Yam pula mempunyai kadar ambilan sehingga 90%. - DagangNews.com