Faraid dan Tanggungjawab | DagangNews.com Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 9 January 2021

WasiyyahShoppe

FARAID DAN TANGGUNGJAWAB

 

 

BANYAK kali sebenarnya telah saya menyentuh tentang tajuk ini di pelbagai seminar, bengkel, kolum penulisan dan juga laman Faceook saya. Tetapi masih ramai lagi yang bertanya membuatkan saya rasa terpanggil untuk sekali lagi menyentuh subjek yang sangat jarang disentuh ini.

 

Saya juga dengan ini akan menjadikan tajuk ini sebagai salah satu dari perjuangan saya dalam menyebarkan ilmu fiqh mawarith (feqah pewarisan) di bumi bertuah ini. Saya akan sentuh topik tanggungjawab ini berulang-ulang kali untuk secara istiqomah mengingatkan masyarakat. Cita-cita saya ialah saya tidak mahu lagi melihat ada anak yatim yang teraniaya, ada balu yang dinafikan hak mereka, ada waris yang diketepikan dalam konteks harta pusaka. 

 

Kenapa saya nak perjuangkan topik ini? Kerana saya percaya dan yakin faraid itu adil, faraid itu indah. Tetapi kegagalan masyarakat Islam menghayati hikmah sebenar faraid menyebabkan ia dianggap tidak adil dan bersifat diskriminasi.

 

Waris-waris yang berhak sibuk  berebut dan memastikan mereka menerima ‘hak’ itu dengan mengenepikan terus elemen tangungjawab dan ihsan terhadap waris-waris yang lebih berkeperluan terutamanya anak-anak yatim (anak simati) dan balu yang hilang tempat bergantung.

 

Semasa saya bermula di dalam industri ini pada 1998, majoriti umat Islam Malaysia tidak faham langsung tentang faraid. Ketika itu di Malaysia, hanya ada saya dan beberapa rakan-rakan lain yang tidak sampai 10 orang pun yang sibuk ke hulu ke hilir bergerak dalam masyarakat untuk mendidik ilmu ini.

 

Ilmu ini walau mungkin ada kita pelajari ketika di sekolah agama peringkat rendah, tetapi menjelang dewasa, kita tidak lagi bertemu dengan ilmu faraid ini kecuali bagi mereka yang memang belajar ilmu syariah sehingga ke peringkat universiti.

 

Jadi kebanyakan dari kita sudah lupa tentang ilmu ini. Walaupun hari ini, ada ramai guru yang mulai bergiat aktif mengajar faraid dalam masyarakat, namun saya dapati pembelajaran ilmu faraid ini hanya bertumpu kepada mengenal pasti siapa waris yang layak, berapa bahagian mereka dan bagaimana kaedah mengira faraid harta pusaka simati.

 

Ramai guru yang mengajar faraid hari  ini lebih berbangga dengan pencapaian mereka mengira faraid berlapis-lapis dari kejayaan mereka mendidik masyarakat mengenai hikmah dan kecantikan faraid yang berpaksikan tanggungjawab.  

 

Sangat jarang sekali guru-guru yang mengajar topik faraid ini menyentuh mengenai tanggungjawab yang datang bersama bahagian faraid ini. Malah ada sesetengah pihak menolak isu tanggungjawab ini apabila saya mengenengahkannya. Mereka kata tiada kena mengena hak faraid dengan persoalan tanggungjawab. Bahagian faraid itu hak kata mereka dan kalau yang menerima itu tidak menjalankan apa-apa tanggungjawab sekalipun, ia tidak membatalkan bahagian faraid mereka. Pada pandangan mereka ilmu faraid itu memang ilmu matematik tulin membahagikan harta pusaka sahaja dan tidak lebih dari itu.

 

Pihak-pihak ini mentafsirkan pandangan mereka itu kepada ayat 11 Surah An-Nisa’ yang bermaksud “ibu bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak tahu siapakah dari mereka yang lebih bermanfaat kepada kamu.” Pada mereka hak-hak itu memang secara literalnya telah diberikan oleh Allah SWT kepada waris-waris, maka tak perlulah kita kaitkan hak ini dengan perlaksanaan tanggungjawab.

 

Saya tidak mempertikaikan hak yang telah diberikan Allah kepada waris-waris berkenaan. Kedudukan itu jelas. Saya hanya mohon pejuang-pejuang ilmu faraid di Malaysia baik para asatizah yang bergerak di dalam masyarakat mahupun pensyarah yang mengajar di universiti supaya membawa elemen tanggungjawab waris yang menerima bahagian ini.

 

Saya percaya Islam yang syumul ini mahukan supaya faraid itu dilihat sebagai ilmu yang berkaitan dengan kemaslahatan ummah secara keseluruhan dan bukan hak individualistik semata-mata.

 

WasiyyahShoppe

 

 

Perbincangan saya dengan beberapa orang sahabat termasuk penasihat Wasiyyah Shoppe Berhad, Dr Afifi Al-Akiti yang merupakan seorang pakar falsafah Islam dan ilmu teologi, selepas mengupas hampir semua aspek berkaitan faraid, kami sampai kepada kesimpulan bahawa ilmu faraid ini adalah ilmu yang bersifat ‘tribal’ bukan ‘individualistik’.

 

Jauh melangkaui perbincangan mengenai hak faraid individu semata-mata, ilmu faraid juga membawa bersamanya tanggungjawab pihak yang menerima harta pusaka. Walaupun tidak disyaratkan bahawa individu yang menerima bahagian harta pusaka ini mesti menjalankan tanggungjawab tertentu, bagi orang yang dapat berfikir dan melihat perspektif dengan lebih jelas, dia akan dapat melihat bahawa ada tanggungjawab tertentu yang digalasnya.

 

Contoh mudah ialah ibadah berpuasa yang kita jalani di bulan Ramadhan. Ia adalah fardu yang wajib dilaksanakan. Tiada siapa mempertikaikan kewajibannya. Namun berbeza dengan ilmu faraid yang fokus pembelajarannya hanyalah siapa waris, berapa bahagian dan bagaimana mengira, untuk ibadah puasa kita dididik dengan hikmah berpuasa seperti mendekatkan diri kepada Allah, menyihatkan tubuh badan, membuat kita merasa belas kasihan kepada orang miskin yang kelaparan dan banyak hikmah yang lain. Kefahaman kita tentang hikmah ibadah puasa ini menyebabkan kita bersungguh-sungguh melaksanakannya di dalam kapasiti kita yang termampu.

 

Malangnya bagi ilmu faraid, hikmah tidak ditekankan. Yang balik-balik disebut dan diajar ialah hak, hak dan hak. Setakat ini, saya sangat jarang mendengar masyarakat dididik tentang hikmah ilmu faraid. Betapa abang yang menerima bahagian yang lebih dari adik perempuannya, mempunyai tanggungjawab besar sebagai ketua keluarga dan wali kepada adik perempuannya untuk menjaga kebajikan, keselamatan, kesihatan dan bertanggungjawab mencarikan jodoh yang sesuai untuknya. Betapa anak lelaki mempunyai tanggungjawab berat menjaga ibunya apabila ayahnya meninggal dunia.

 

Betapa bapa saudara kepada anak yatim (bapa saudara yang menerima bahagian faraid dari harta pusaka simati) bertanggungjawab memastikan segala keperluan dan kepentingan anak yatim itu terjaga. Bapa saudara ini sebagai wali mesti memastikan dia mengambil tanggungjawab ke atas kebajikan, kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan anak yatim itu sehingga mereka dewasa dan boleh menguruskan diri sendiri. Ini tanggungjawab yang berpanjangan dan berat.   

 

Adik beradik lelaki yang menerima bahagian faraid dari harta pusaka simati juga perlu memastikan hak balu (isteri allahyarham) untuk mendapat perlindungan di rumah simati selama tempoh edah terpelihara dan kerana balu ini menjaga anak yatim, maka faktor nafkah juga perlu diambil perhatian.

 

Tetapi apa yang berlaku dalam masyarakat hari ini adalah terbalik dari situasi ideal di atas. Bapa saudara / adik beradik lelaki simati pula yang bersungguh-sungguh menghalau balu dan anak yatim keluar dari rumah simati ! Rasa tanggungjawab dan ihsan tidak wujud langsung dalam hati mereka. Apa yang mereka nampak ialah ‘aku ada HAK ke atas harta pusaka simati’.

 

Inilah sebenarnya yang menyebabkan faraid itu nampak tidak adil dan diskriminasi. Bukan salah faraid itu, tetapi salah masyarakat yang tidak memahami bahawa faraid itu datang dengan tanggungjawab. Bayangkan betapa harmoninya ummah dan institusi kekeluargaan Islam jika keseluruhan masyarakat faham dan menjalangkan tanggungjawab masing-masing. Sangat indah sebenarnya ilmu faraid itu.          

 

ariffinsabirin
Ariffin Sabirin adalah pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Berhad​​​

 

ariffinsabirin

Nota Pengarang: Tarikh siaran artikel Faraid dan Tanggungjawab ini ialah pada 4 Januari 2021 tetapi disebabkan masalah teknikal, ia disiar semula pada tarikh 9 Januari 2021. Pihak kami memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku.

 

KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH

Kenapa penting untuk hibahkan rumah kita yang masih ada pinjaman bank – Bahagian Pertama

KENAPA PENTING UNTUK HIBAHKAN RUMAH KITA YANG MASIH ADA PINJAMAN BANK – Bahagian Kedua

Kenapa penting untuk hibahkan rumah kita yang masih ada pinjaman bank - Bahagian Ketiga

BAGAIMANA CARA WARIS TIDAK PERLU BAYAR FI KHIDMAT PENGURUSAN PUSAKA?

ORANG MALAYSIA TIDAK TAHU KOS URUS HARTA PUSAKA MAHAL!

ALTRUISME DAN  HARTA PUSAKA

COVID-19 dan perancangan harta

INTEGRITI DALAM INDUSTRI PERANCANGAN HARTA

Tak semua orang perlu wasiat?

Jangan lupa rancang harta untuk manfaat diri sendiri dulu

 

 

Portfolio Tags