Eksport Malaysia ke China berkembang 11.1%, China kekal pelabur tertinggi negara sejak 2016 | DagangNews Skip to main content

Eksport Malaysia ke China berkembang 11.1%, China kekal pelabur tertinggi negara sejak 2016

PUTRAJAYA 14 Okt - Eksport Malaysia ke China pada tahun lalu berkembang sebanyak 11.1% merangkumi AS$37.77 bilion (RM156.9 bilion), manakala China menjadi pelabur tertinggi di Malaysia dengan jumlah pelaburan sebanyak AS$4.41 bilion (RM18.32 bilion) tahun lalu dan kedudukan itu kekal sejak 2016.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 71 projek pembuatan dengan penyertaan China diluluskan pada tahun lalu dan dijangka menjana lebih 10,000 peluang pekerjaan di Malaysia.

 

''Sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Malaysia menyokong semangat kerjasama kedua-dua negara untuk masa depan yang lebih baik,'' katanya dalam ucaptama majlis pembukaan Pameran Import dan Eksport China (Canton Fair) ke-130 secara maya hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, ekonomi digital, Revolusi Perindustrian 4.0 (4IR) dan pembangunan lestari antara potensi ekonomi yang boleh dimanfaatkan dalam hubungan dua hala di antara Malaysia dan China.

 

Ismail Sabri berkata, tiga bidang terbabit antara potensi yang belum diterokai sepenuhnya walaupun pelaburan dan perdagangan dua negara semakin berkembang sejak 2009.

 

Katanya, China terus menjadi rakan perdagangan terbesar negara merangkumi 18.6% daripada jumlah keseluruhan pada tahun lalu.

 

"Bagi memacu transformasi digital, Malaysia pada awal tahun ini melancarkan inisiatif MyDIGITAL yang menjadi sebahagian perancangan kerajaan meningkatkan kemajuan negara dalam ekonomi teknologi berdaya tinggi menjelang 2030.

 

"Inisiatif ini dilaksanakan menerusi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia. Antara lain MyDIGITAL menyasarkan untuk menarik kira-kira AS$17.32 bilion pelaburan digital tempatan dan luar negara," katanya.

 

 

PM
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucaptama pada majlis pembukaan Pameran Import dan Eksport China (Canton Fair) ke-130 secara maya hari ini.

 

 

Ismail Sabri berkata, Malaysia turut melancarkan Dasar 4IR sebagai platform menuju ke arah digitalisasi yang lebih luas dalam mengimbangi sinergi dunia digital dan fizikal, untuk menjadikan Malaysia lebih berdaya saing berdasarkan pendekatan menyeluruh perkongsian masyarakat, swasta dan awam.

 

"Ia termasuk membangunkan infrastruktur berasaskan 4IR bagi penggunaan teknologi yang lebih luas. Semua ini untuk memenuhi keperluan perniagaan dalam ekonomi digital, selain memacu inovasi dan adaptasi teknologi.

 

"Ketiga ialah mengadaptasi pembangunan lestari. Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kelestarian sumber tenaga dikenal pasti sebagai satu faktor utama dalam dimensi pemerkasaan ekonomi. Dimensi ini merangkumi tumpuan ekonomi, teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui dan mitigasi perubahan iklim," katanya.

 

 

PM

 

 

Perdana Menteri berkata, tiga bidang terbabit menjadi dasar perdagangan dan pelaburan China sejak dahulu dan termaktub dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

 

"Malaysia antara negara pertama yang menyokong BRI dan kami menegaskan keyakinan ini inisitif strategik dan berpandangan ke hadapan," katanya.  - DagangNews.com