Mampukah Kerajaan MADANI memerangi rasuah? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 5 July 2023

Mampukah Kerajaan MADANI memerangi rasuah?

 

 

KORUPSI? Rasuah? Ini adalah antara isu yang takkan pernah habis dibicarakan kerana ia sentiasa berlaku selagi tidak ada usaha kolektif yang kuat untuk melawannya.

 

Terbaru kita dikejutkan dengan satu ‘insiden kontroversi’ di mana, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing membuat dakwaan berhubung ‘budaya rasuah’ yang berlaku dalam kalangan pegawai Imigresen di pintu masuk utama negara.

 

Dakwaan tersebut, jika benar, menunjukkan perlunya tindakan segera untuk menyiasat dan menangani isu ini. Tetapi! Bagaimana jika dakwaan itu salah?

 

Jika dakwaan tersebut ternyata salah setelah dilakukan penyiasatan yang teliti, adalah penting untuk memberikan keadilan kepada pegawai Imigresen yang terlibat.

 

Isu ini juga menyebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan tinjauan mengejut ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Memetik laporan media, katanya;

"Saya ke sana dan memutuskan untuk mempertahankan integriti dan kuasa Jabatan Imigresen secara keseluruhan dan kita harus mengelak daripada memberi persepsi umum bahawa terdapat isu-isu dalam jabatan”.


 

parafrasa

 


Anwar juga menggesa ketua-ketua agensi kerajaan dan badan penguat kuasa turun padang dan mengambil tindakan terhadap penjawat awam yang masih selesa dan leka dengan 'sistem dan amalan lama' ketika menjalankan tugas.

 

Adakah ‘sistem dan amalan lama’ ini merujuk kepada budaya korupsi dan rasuah?

 

Korupsi dan Rasuah Merosakkan Kuasa

Korupsi merupakan isu yang kompleks dan meluas melibatkan penyalahgunaan kuasa yang diamanahkan untuk kepentingan peribadi. Ia merujuk kepada tingkah laku individu atau institusi yang tidak jujur atau tidak beretika, biasanya melibatkan rasuah, penyelewengan, penipuan, nepotisme, atau amalan lain.

 

Rasuah adalah amalan yang tidak beretika dan menyalahi undang-undang yang melibatkan tawaran, memberi, menerima, atau meminta sesuatu yang bernilai dengan niat untuk mempengaruhi tindakan atau keputusan individu dalam kedudukan kuasa yang berlaku dalam pelbagai sektor dan industri, termasuk kerajaan, perniagaan, politik dan juga dalam kehidupan seharian.

 

Pada terasnya, rasuah berkisar pada pertukaran nikmat atau faedah, menerima apa-apa suapan atau ganjaran berbentuk wang tunai atau sesuatu yang berharga sebagai dorongan untuk melakukan perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasminya. Perbuatan ini seringkali menjejaskan keadilan, kesaksamaan dan ketelusan.

 

Kebiasaannya, rasuah bertujuan untuk mendapatkan kelebihan yang tidak adil atau memperoleh hasil yang diinginkan secara haram dengan mengeksploitasi kelemahan mereka yang disogok.

 

Sebagai contoh, ini termasuk mendapatkan jawatan yang diinginkan, mendapatkan kontrak, mendapatkan rawatan dan layanan istimewa atau cuba mengelak dari dikenakan tindakan undang-undang.


 

parafrasa

 


Jelas sekali, rasuah mempunyai kesan negatif yang meluas kepada masyarakat dan ekonomi secara keseluruhannya. Ia menghakis kepercayaan orang ramai terhadap institusi dan menjejaskan kedaulatan undang-undang.

 

Apabila sistem keadilan dicabuli oleh rasuah, proses keadilan menjadi tidak adil dan berat sebelah. Ini mengancam prinsip keadilan dan membahayakan mereka yang harus dilindungi oleh undang-undang. Ketidakadilan sedemikian boleh menimbulkan rasa tidak puas hati sosial dan mengganggu struktur sosial.

 

Ekonomi juga turut terpalit akibat rasuah. Dana awam yang perlu diperuntukkan untuk pembangunan dan perkhidmatan awam boleh dialihkan secara tidak sah oleh individu yang korup. Ini menghalang pertumbuhan ekonomi dan pembangunan mampan.

 

Selain itu, rasuah boleh menghalang pelaburan asing dan kerjasama antarabangsa kerana pelabur dan rakan niaga tidak mahu terlibat dengan negara atau institusi yang korup.

 

Pendidikan dan Kesedaran Awam Tentang Rasuah

Memerangi rasuah memerlukan pendekatan pelbagai aspek yang melibatkan langkah pencegahan, rangka kerja undang-undang yang kukuh, penguatkuasaan yang mantap serta budaya yang berorientasikan ketelusan dan akauntabiliti.

 

Dalam memerangi rasuah, usaha kolektif diperlukan baik dari kerajaan, organisasi, masyarakat mahupun badan antarabangsa. Ini penting kerana tanpa usaha kolektif, rasuah akan menjadi kanser kepada negara.

 

Salah satu cara memerangi korupsi dan amalan rasuah di Malaysia adalah melalui pendidikan dan kesedaran awam. Integrasi pendidikan antirasuah dan etika ke dalam kurikulum sekolah kebangsaan adalah salah satu usaha yang mencerminkan komitmen kerajaan untuk memupuk budaya integriti dan memerangi rasuah sejak kecil.

 

Melalui inisiatif ini, ia dapat mendidik anak muda dan melengkapkan mereka dengan pengetahuan serta nilai-nilai yang diperlukan untuk menghindari rasuah dan kesan negatif akibat rasuah.


 

SPRM

 


Tidak cukup dengan itu, Universiti dan kolej di Malaysia juga memainkan peranan penting dalam mempromosikan integriti dan etika. Dengan menggabungkan pendidikan antirasuah dan etika ke dalam kurikulum mereka, institusi pendidikan boleh mendidik, memberi pendedahan serta menekankan kepentingan integriti dan tingkah laku beretika dalam pelbagai bidang dan sektor.

 

Melalui pendidikan dengan menyasarkan minda muda, ini adalah salah satu usaha dari kerajaan untuk menggalakkan mereka menjadi ejen perubahan dan menyumbang kepada usaha kolektif membasmi rasuah. Tambahan, ia mampu melahirkan dan membentuk generasi MADANI akan datang dengan asas etika serta moral yang kukuh dan yang mementingkan integriti.

 

Manakala, kempen kesedaran secara agresif perlu dilakukan oleh kerajaan untuk memberi informasi kepada masyarakat tentang hak-hak dan perlindungan mereka di bawah undang-undang ‘whistleblower’. Masyarakat perlu diberi pendedahan dan pengetahuan tentang pentingnya melaporkan rasuah, risiko yang terlibat dan langkah-langkah yang boleh diambil untuk melindungi diri mereka.

 

Selain itu, kerjasama dengan media massa juga penting dalam usaha memerangi rasuah. Media memainkan peranan penting dalam memberi liputan kepada kes rasuah, memaparkan kisah kes berjaya dalam menindak rasuah dan menyampaikan mesej anti-rasuah kepada masyarakat.

 

Media yang bebas dan berintegriti dapat meningkatkan kesedaran awam dan secara tidak langsung memberi tekanan kepada institusi dan individu yang terlibat dalam rasuah.


 

parafrasa

 


Mampukah Anwar Melalui Kerajaan MADANI Memerangi Rasuah?

Ini soalan yang perlu ditanya dan dijawab oleh Anwar sendiri.

 

Ia sebenarnya tidak perlu dijawab melalui jawapan yang panjang lebar dengan perkataan yang ‘bombastic’ tetapi cukuplah dengan TINDAKAN.

 

Tindakan tanpa memilih bulu! - DagangNews.com

 

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN

Portfolio Tags