Ekonomi MADANI: Melangkaui retorik politik | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 2 August 2023

Ekonomi MADANI: Melangkaui retorik politik

 

 

PELANCARAN Ekonomi MADANI oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Julai 2023, menjadi tumpuan kerana setelah hampir lapan bulan lamanya menunggu, ramai ternanti-nanti apa naratif ekonomi yang akan dibawa oleh beliau.

 

Ketika Malaysia berusaha untuk mengemudi landskap ekonomi global yang pesat berubah, Naratif Ekonomi MADANI muncul sebagai pelan hala tuju komprehensif yang menggariskan hala tuju ekonomi negara untuk dekad yang akan datang.

 

Ramai teruja dengan naratif ekonomi yang dibawa beliau tetapi tidak kurangnya ramai juga menyatakan keraguan tentang apa yang direncanakan. Adakah ini boleh dilaksanakan dan boleh dicapai dalam tempoh masa yang ditetapkan?

 

Mana tidaknya, dengan menetapkan penanda aras yang tinggi, Ekonomi MADANI ini menggariskan tujuh sasaran yang merangkumi aspek kritikal pertumbuhan dan pembangunan ekonomi.

 

Pada terasnya, naratif ini bertujuan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang kukuh, meningkatkan daya saing negara di peringkat global, menggalakkan kesaksamaan pendapatan, meningkatkan penyertaan tenaga kerja wanita, memupuk pembangunan manusia, dan memerangi rasuah.

 

Meskipun ramai beranggapan ini hanyalah sekadar retorik politik sempena pilihan raya negeri yang bakal berlangsung, sekurang-kuranya buat masa sekarang, Malaysia mempunyai pelan hala tuju ekonomi yang jelas untuk masa hadapan.


 

parafrasa

 


Mengubah Visi menjadi Realiti

Antara objektif yang menarik seperti digarapkan dalam Naratif Ekonomi MADANI ini adalah untuk meletakkan Malaysia dalam kalangan 30 ekonomi terbaik dunia, berada dalam kedudukan 12 teratas dalam Indeks Daya Saing Global, dan berada dalam 25 teratas Indeks Persepsi Rasuah.

 

Ia mungkin kelihatan berani, tetapi, dengan strategi yang betul dan usaha bersepadu, semua ini tidak mustahil dapat dicapai dalam masa sedekad. Untuk berjaya dalam kerangka ekonomi bercita-cita tinggi ini, usaha kolaboratif daripada semua pihak berkepentingan adalah perlu.

 

Industri dan institusi penyelidikan perlu berganding bahu bersama kerajaan untuk merangka pelan tindakan khusus yang disesuaikan untuk setiap sektor. Pelan tindakan ini harus mengutamakan peningkatan produktiviti, memupuk inovasi, dan meningkatkan daya saing sambil memanfaatkan kekuatan unik negara.

 

Tahun 2022, ekonomi Malaysia telah merekodkan prestasi memberangsangkan dengan mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 8.7%. Ia juga merupakan pencapaian terbaik dalam kalangan negara Asia Tenggara.

 

Namun, adakah tahun 2023 ini, Malaysia boleh menyamai pencapaian ini ataupun mencatat pertumbuhan lebih tinggi?

 

Berdasarkan unjuran Bank Dunia dan pakar ekonomi, tahun ini pertumbuhan akan menyederhana dan perlahan dengan ketara kerana inflasi yang meliar, kadar faedah yang lebih tinggi, pelaburan yang berkurangan serta ketegangan antara Rusia dan Ukraine.

 

Walau bagaimanapun, ini tidak akan menjadi masalah sama sekali kerana Malaysia mempunyai peluang untuk memanfaatkan kekuatan uniknya, terutama dengan menumpukan KDNK ke arah sektor yang lebih strategik.

 

Dengan mengenal pasti dan memberi tumpuan kepada bidang utama ini, Malaysia boleh membuka potensi ekonomi sepenuhnya dan mencapai pertumbuhan yang mampan.

 

Satu daripada kekuatan utama Malaysia terletak pada sumber aslinya yang kaya, termasuk minyak sawit, getah, dan mineral.

 

Dengan melabur dalam pembangunan mampan dan pengurusan yang bertanggungjawab bagi sumber-sumber ini, Malaysia bukan sahaja boleh meningkatkan eksportnya tetapi juga memupuk industri domestik yang berkembang maju. Ini seterusnya, akan mewujudkan peluang pekerjaan dan merangsang aktiviti ekonomi merentasi pelbagai sektor.


 

parafrasa

 


Manfaatkan Lokasi Strategik dan Ekonomi Digital

Tambahan pula, kedudukan strategik Malaysia di sepanjang laluan perkapalan utama serta berhampiran dengan pasaran global utama perlu digunakan sepenuhnya. Infrastruktur negara yang maju boleh dijadikan sebagai daya tarikan sebagai hab perdagangan serantau dan global.

 

Malaysia mempunyai pelabuhan seperti Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Pulau Pinang yang mampu mengendalikan jumlah kargo yang besar dengan cekap. Pelabuhan-pelabuhan ini adalah di antara pelabuhan yang paling sibuk dan yang paling maju di rantau ini.

 

Untuk Malaysia berada dalam kalangan 30 ekonomi terbaik dunia,  infrastruktur logistik sedia ada perlu diperkemaskan lagi dan kerajaan juga perlu mempertimbangkan untuk mewujudkan bandar aerotropolis yang akan menyokong pertumbuhan dagangan serantau dan juga global.

 

Tidak terhad dengan itu, pembangunan infrastruktur fizikal perlu diselarikan dengan digital. Malaysia perlu beralih kepada ekonomi yang berpaksikan digital.

 

Pendigitalan ekonomi  bakal memacu pengurusan rantaian bekalan dan jangkauan pasaran yang lebih cekap serta mendukung pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan. Dengan teknologi digital, ia bakal membuka pintu baharu kepada peluang dalam ekonomi global yang sentiasa berubah dan berkembang.

 

Ini sebenarnya tidak sukar dilaksanakan kerana kemajuan Malaysia dalam konteks transformasi digital terbukti apabila negara berada pada kedudukan ke-27 daripada 152 negara dalam Indeks Pembangunan e-Kerajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2022.

 

Pendigitalan telah menjadi penggerak di sebalik peningkatan produktiviti serta inovasi dalam pelbagai sektor dan membolehkan Malaysia kekal relevan untuk berdaya saing dalam era digital.

 

Di samping itu, memupuk persekitaran makroekonomi yang stabil dan rangka kerja pengawalseliaan yang mesra perniagaan adalah penting untuk memupuk keyakinan pelabur dan menggalakkan aktiviti keusahawanan.

 

Dengan memperkemaskan proses birokrasi, mengurangkan ‘red tape’ serta menambahbaik kemudahan menjalankan perniagaan, ia akan menarik pelaburan domestik dan asing melabur di Malaysia. Usaha ini akan meningkatkan lagi daya saing global Malaysia di arena ekonomi global.


 

parafrasa

 


Memerangi Rasuah Sepenuhnya

Komitmen untuk meletakkan Malaysia berada pada tangga 25 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah menunjukkan kesungguhan negara untuk memerangi rasuah. Usaha ini perlu menjadi keutamaan, kerana rasuah boleh menjejaskan kemajuan dalam mencapai semua matlamat lain yang telah digarapkan dalam Naratif Ekonomi MADANI.

 

Menangani rasuah menuntut pendekatan pelbagai aspek, dengan perlunya toleransi sifar terhadap berat sebelah. Tidak kira siapa yang terlibat dalam amalan rasuah - sama ada individu yang memegang jawatan tinggi dalam kerajaan, penjawat awam, atau mana-mana individu pun – tindakan tegas perlu diambil.

 

Malaysia telah lama terhimpit dengan isu rasuah sehingga merencatkan pertumbuhannya. Justeru, penguatkuasaan antirasuah yang berkesan, ditambah dengan tadbir urus yang telus dan bertanggungjawab, boleh menjadi penghalang yang kuat terhadap amalan rasuah.

 

Pendekatan lain yang perlu diambil adalah dengan mereformasi institusi kehakiman dan penguatkuasaan undang-undang. Ini amatlah penting kerana badan kehakiman boleh bertindak secara bebas – bebas daripada sebarang campur tangan dan pengaruh politik – supaya keadilan dapat ditegakkan.

 

Tambahan pula, mengutamakan integriti dalam sektor awam dan menggalakkan tingkah laku beretika adalah penting. Melaksanakan langkah-langkah tadbir urus yang ketat untuk pegawai awam dan memupuk rangka kerja perlindungan pemberi maklumat boleh mewujudkan persekitaran di mana rasuah tidak boleh diterima.

 

Selain itu, pelaksanaan inisiatif digital dan e-kerajaan juga dilihat mampu untuk meminimumkan peluang untuk rasuah berlaku dengan mengurangkan karenah birokrasi serta memperkemaskan proses sedia ada.

 

Ini boleh dilakukan dengan menggalakkan ketelusan dalam operasi kerajaan – mendedahkan maklumat yang berkaitan dengan perbelanjaan awam, kontrak, dan proses membuat keputusan, serta melaksanakan inisiatif data terbuka yang membolehkan orang ramai mengakses data kerajaan.

 

Ia menggalakkan prinsip ketelusan dan akauntabiliti di samping mengurangkan peluang untuk berlakunya rasuah.

 

Janganlah isu rasuah ini hanya dijadikan sebagai retorik. Selagi mana isu rasuah ini ada, selagi itu Malaysia akan kehilangan peluang untuk berkembang dan maju dalam ekonomi.


 

parafrasa

 


Melangkah Ke Hadapan dengan Tekad

Tidak dinafikan, merealisasikan Naratif Ekonomi MADANI adalah satu cabaran pada masa sekarang kerana perubahan ekonomi global yang tidak dijangka serta dinamik geopolitik.

 

Malaysia memerlukan pendekatan yang dinamik dan tangkas untuk menyesuaikan diri serta bertahan untuk mencapai naratif ekonomi yang telah direncanakan.

 

Sekiranya Naratif Ekonomi MADANI  berjaya direalisasikan, ia berpotensi untuk mentakrifkan semula trajektori ekonomi Malaysia dan boleh mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam ekonomi global. – DagangNews.com

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN

Portfolio Tags