Disyaki guna buruh paksa, lagi RM10.5 juta minyak sawit Malaysia dirampas di AS  | DagangNews Skip to main content

Disyaki guna buruh paksa, lagi RM10.5 juta minyak sawit Malaysia dirampas di AS 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 9 Mac - Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS telah merampas 4 penghantaran minyak sawit Malaysia di Baltimore sejak 11 Februari lalu mencecah AS$2.5 juta (RM10.5 juta) berikutan maklumat yang menunjukkan bahawa komoditi itu dikeluarkan menggunakan buruh paksa.

 

Menerusi kenyataan di laman webnya, CBP berkata, rampasan terbaharu itu membabitkan 108 pek super asid palmitik pada 1 Mac manakala 3 penghantaran awal merangkumi 270 pek super asid palmitik pada 11 Februari lalu.

 

Jelasnya, pek super ialah guni fleksibel besar yang digunakan untuk mengangkut kargo pukal, seperti pasir, bijirin, biji kopi atau bahan serbuk.

 

Bagaimanapun, agensi antarabangsa itu itu tidak mengenalpasti syarikat Malaysia yang mengeluarkan asid palmitik tersebut dalam kenyataan berkenaan.

 

"Kesemua 4 penghantaran asid palmitik itu dihasilkan di Malaysia dan dihantar ke kemudahan pemprosesan di Delaware.

 

"Gabungan berat 4 penghantaran asid palmitik itu mencecah 544,176 paun dan mempunyai nilai yang dinilai kira-kira AS$2,466,500," katanya dalam kenyataan bertarikh 8 Mac 2022. 

 

Secara dasarnya, asid palmitik ialah minyak sawit yang ditapis menjadi serbuk yang boleh larut dengan mudah ke dalam makanan, minuman, dan produk penjagaan kulit dan kesihatan. Minyak penapisan juga menyingkirkan asid lemak bebas, gam dan lilin yang tidak diingini.

 

Pada 28 Januari lalu, CBP AS telah mengeluarkan Notis Penemuan kepada Pendaftar Persekutuan bahawa minyak sawit dan produk derivatif tertentu yang dibuat sepenuhnya atau sebahagiannya dengan minyak sawit yang dikeluarkan oleh Sime Darby Plantation Bhd., anak-anak syarikatnya, dan usaha sama dengan penggunaan banduan atau buruh paksa tidak boleh diterima kerana melanggar 19 USC 1307 dan 19 CFR 12.42.

 

Pemangku Pengarah Pelabuhan CBP di Baltimore, Marc Calixte berkata, tiada tempat bagi buruh paksa dalam dunia hari ini dan pihaknya bertindak tegas terhadap mana-mana syarikat yang mempergunakan golongan pekerja ini.

 

"CBP akan terus memastikan barangan yang diperbuat daripada buruh paksa tidak memasuki perdagangan negara dan akan membantu menghapuskan amalan tidak berperikemanusiaan ini daripada rantaian bekalan AS," tegasnya.

 

Berkuat kuasa 30 Disember 2020, CBP telah mengeluarkan perintah tahan pelepasan (WRO) yang mengarahkan kesemua kakitangan di pelabuhan masuk AS untuk menahan minyak sawit dan produk yang mengandungi minyak sawit yang dikeluarkan oleh Sime Darby Plantation dan anak syarikatnya, usaha sama dan entiti gabungannya di Malaysia.

 

WRO itu adalah berdasarkan maklumat yang secara munasabah menunjukkan kehadiran kesemua 11 penunjuk buruh paksa Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dalam proses pengeluaran Sime Darby Plantation.

 

Pegawai CBP AS pada mulanya menahan 3 penghantaran pertama pada 30 November 2021 diikuti penghantaran terbaharu pada 3 Disember 2021. - DagangNews.com