Isu Tapak Warisan UNESCO: Pemimpin Melayu patut tampil cadangkan, bukan bantah saja | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 19 February 2024

Isu Tapak Warisan UNESCO: Pemimpin Melayu patut tampil cadangkan, bukan bantah saja

 

 

 

KEBELAKANGAN ini, kita terasa begitu terasing antara satu sama lain. Terasa berjauhan dan terasa hati memandang dan mendengar isu semasa.

 

Tapi sebenarnya, kita di Malaysia ini, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula jiran dan taulan. Apatah lagi apabila berlainan bangsa, mahupun agama. 

 

Namun, perpaduan amat penting untuk keharmonian negara. Tidak ada gunanya melaungkan Malaysia Madani jika isu ini terus dibiarkan. Hati terbakar. Jiwa memberontak. Dan kenegaraan tercabar. 

 

Isu Pengiktirafan UNESCO untuk Kampung Cina dilihat sebagai mencabar orang Melayu. Mungkin kerana, untuk Kampung Melayu, tiada siapa pun memikirkan pengiktirafan sedemikian.

 

Bukan salah YB Nga, tapi salah pemimpin Melayu juga. Namun, YB Nga mempunyai tanggungjawab pada semua lapisan penduduk, bukan penduduk Kampung Cina saja. Sebagaimana Perdana Menteri mempunyai tanggungjawab pada SEMUA lapisan masyarakat, bukannya pada Melayu saja….

 

Mungkin elok pada pandangan saya, pemimpin Melayu pula memikirkan kampung Melayu yang boleh diiktiraf.

 

Saya orang Pahang, saya cadangkan 
1. Kampung Chenor (yang termahsyur dalam Hikayat Pahang)
2. Kampung Lurah Bilut yang menyaksikan terlahirnya Felda
3. Pekan, Pahang, bandar diRaja yang lebih tua dari Melaka. 

 

Di negeri-negeri lain pun banyak - Kampung Laut. Muar. Santubong. Langkawi.  Dan banyak lagi. Sungai Batu. Lembah Bujang. Lenggong. Bukit Melaka yang disebut dalam Sejarah Melayu itu. 

 

Masjid-masjid yang beratus tahun seperti Masjid Kampung Laut dan Masjid Tengkera  lebih lama dari kampung kampung yang dicadangkan. 

 

Mungkin YB Nga Kor Ming boleh usahakan jika tiada pemimpin Melayu yang berkaliber menguruskan hal ini. 

 

Tidak mungkin adil segala anugerah UNESCO ini pada kawasan yang majoritinya Cina seperti di Georgetown, Melaka, dan tujuh kampung Cina ini. Perlu difikirkan semula.

 

Nama asal Semenanjung ini pun Semenanjung Tanah Melayu. Tentulah ada kawasan yang patut kita usahakan pengiktirafannya.

 

Hentikan kecelaruan

Apakah yang perlu diutamakan untuk menghentikan kecelaruan dan syak wasangka? Rambut sama hitam. Hati di dalam siapa yang tahu. 

 

Hal ini bukan sekadar masalah Kampung Cina. Sekolah Jenis Cina. Atau Bahasa Cina. Atau masalah orang Melayu. Ini masalah negara kita. 

 

Justeru, kita kembali ke pangkal jalan. 

 

Perpaduan Yang Bermakna

Perpaduan antara etnik merupakan satu elemen penting dalam membangunkan sebuah masyarakat yang berdaya maju dan bersatu padu.

 

Salah satu aspek penting dalam memupuk perpaduan ini ialah melalui penyatuan bahasa. Bahasa merupakan tali yang mengikat dan menghubungkan silaturrahim yang mampu memudahkan interaksi antara pelbagai etnik.

 

Dalam konteks kebudayaan Nusantara, kita dapat melihat betapa kepelbagaian bahasa di rantau ini disatukan di bawah satu bahasa.

 

Panggillah bahasa dengan nama seribu bahasa, apabila kita dengar, kita faham bahasanya, perkataan Melayunya, lenggok dan kiasannya. 

 

Selain daripada bahasa, kisah-kisah legenda, kearifan dan peribahasa, serta pantun juga mempunyai peranan penting dalam membina perpaduan antara etnik.

 

Melalui kisah-kisah tersebut, kita dapat memahami sejarah dan nilai-nilai yang dipegang oleh masyarakat tempatan.

 

Sastera juga turut memainkan peranan dalam menyatukan bangsa, di mana Sasterawan  hebat seperti Keris Mas, Pak Sako, Prof Muhammad Haji Salleh, Dato Anwar Ridhwan, Pendita Baha Zain, Dr Zurinah, Dr Siti Zainon dan ramai lagi telah menyumbang dalam memartabatkan sastera Melayu.

 

Kenapa kita agungkan Three Kingdom dan bukannya Sejarah Melayu? Tidak hebatkah Sejarah Melayu yang diiktiraf UNESCO? Makyung juga digelar Masterpiece of the Oral and Intangible Heritage of Humanity pada tahun 2005. Apakah yang telah kita lakukan untuk memartabatkan Makyung?

 

Di peringkat sekolah, keindahan lagu dan ritma sering digunakan untuk membelai jiwa anak-anak, sama ada dalam proses pembelajaran mahupun untuk menghiburkan. Sekolah kebangsaan yang pelbagai bangsa turut memperkukuhkan perpaduan antara etnik.

 

Padang sekolah pula menjadi tempat di mana pelajar pelbagai etnik berkumpul untuk bermain bola, badminton dan catur, mencipta suasana muhibah di kalangan generasi muda.

 

Dengan itu, perpaduan antara etnik melalui penyatuan bahasa, kisah legenda, kearifan dan peribahasa, pantun, serta budaya Nusantara adalah kunci kejayaan dalam mewujudkan masyarakat yang harmoni dan bersatu padu.

 

Keindahan lagu, sastera dan aktiviti sekolah juga merupakan elemen penting dalam usaha memupuk kefahaman dan kasih sayang antara pelbagai etnik. 

 

Saya cintakan budaya Melayu, pantun dan hikayat, Makyung dan Zapin. Randai dan Silat. Tetapi saya juga menghayati budaya dan puisi dunia. Kisah Naga dan puisi Li Bai. Pengaruh Ramayana ke atas seluruh Nusantara. 

 

Jangan asyik tuduh menuduh. Jangan bergaduh. Bangkit dan bangunkan negara kita bersama. 

 

Melalui kesedaran dan usaha bersama, generasi muda boleh terus mengukuhkan perpaduan dalam negara melalui seni dan budaya, sastera dan bahasa demi masa depan yang lebih baik. - DagangNews.com

 

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : ninotaziz@gmail.com
 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

tnb

 

Portfolio Tags