Dunia Melayu dan Khazanah Emas | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 4 March 2024

DUNIA MELAYU DAN KHAZANAH EMAS

 

 

BARU-BARU ini, seorang sejarawan dan pakar geneologi dari Pahang telah berkongsi petikan di atas dengan saya.

 

Dari situ saya mula terfikir, benar dunia Melayu ini sangat mewah dengan elemen emas dan seni penggunaannya. Betapa kayanya Dunia Melayu. Busana, Senibina, Kraf, Hiasan, Keris dan Manuskrip yang menggunakan emas. 

 

Adakah ini benar dan dari mana datangnya emas ini? 

 

“Maka bertambah-tambah di dalam takhta berkasih-kasihan suami isteri, membuat segala jenis pakaian kerajaan, emas, perak tiadalah dapat diperikan. 𝗦𝗲𝗸𝗮𝗹𝗶𝗮𝗻 𝘁𝘂𝗸𝗮𝗻𝗴-𝘁𝘂𝗸𝗮𝗻𝗴 𝗲𝗺𝗮𝘀 𝗱𝗮𝗻 𝗽𝗲𝗿𝗮𝗸 𝘀𝗲𝗺𝘂𝗮𝗻𝘆𝗮 𝘁𝗶𝗮𝗱𝗮 𝗽𝘂𝘁𝘂𝘀𝗮𝗻 𝗱𝗲𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗸𝗲𝗿𝗷𝗮 𝗿𝗮𝗷𝗮.Tambahan Yang Mulia Encik Puan Bongsu itu raja yang sangat-sangat bijaksana, maha arif bestari.” - Hikayat Pahang, 1880. 

 

Legenda Swarnabhumi dan Swarnadvipa

Beribu tahun yang lampau, legenda Swarnabhumi (Tanah Emas) dan Swarnadvipa (Pulau Emas) berasal dari kisah-kisah yang terdapat dalam kitab-kitab kuno India dan Asia Tenggara, khususnya dalam kitab-kitab suci Hindu dan Buddha.

 

 

hikayat
Crisa dan Aureia, Pulau Emas, dekat Aurea Chersonese, Semenanjung Emas, Jawa di Samudera Hindia, dalam peta dari Andreas Walsperger, tahun 1448

 

 

Swarnabhumi dan Swarnadvipa sering dianggap sebagai wilayah yang kaya dan aman makmur, sering kali dikaitkan dengan Kepulauan Melayu Nusantara yang kaya akan sumber daya alam, terutama emas.

 

Walaupun kekayaan ini sering dikaitkan dengan dunia emas, sebenarnya ia juga sebagai gambaran suatu tempat yang kaya dengan adat, ilmu dan budaya serumpun yang sangat indah.

 

Legenda Swarnabhumi dan Swarnadvipa selalunya dirujuk kepada Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera. Ini terus mewarnai pengaruh yang kuat dalam budaya dan sejarah Asia Tenggara, serta menjadi bagian penting dalam warisan sastra dan kepercayaan masyarakat di kedua lokasi ini. 

 

Malah Legenda Aurea Chernosese juga, yang diilhamkan oleh peta Ptolemy pada abad kedua Tahun Masihi dikenal dengan sebutan Golden Chersonese atau Semenanjung Emas. Legenda ini berasal dari kisah-kisah terdahulu yang berpusat di Semenanjung Tanah Melayu.

 

Menurut legenda, daerah ini dipercaya kaya akan kekayaan, emas, dan permata, sehingga mendorong orang-orang Eropah  pada masa lampau untuk mencari wilayah tersebut dalam upaya mencari kekayaan. 

 

Dengan dua kisah legenda ini, termaktub satu persepsi dunia yang mewah dengan emas, permata dan segala harta?

 

Dari Manuskrip Lama dan Hikayat

Dari hikayat lama, kita lihat betapa mewahnya penggunaan emas dalam Dunia Melayu. Contohnya dari Hikayat Merong Mahawangsa, Awang Sulong Merah Muda dan Hikayat Malim Deman. 

 

Bunga Emas

Menurut Hikayat Merong Mahawangsa, Bunga Emas merupakan hadiah dari Sultan Kedah Zamin Turan pada anak saudaranya Raja Siam dan anakandanya di Patani. Penghantaran bunga emas digambarkan sebagai tanda kasih antara raja raja Dunia Melayu. 

 

 

hikayat

 

 

Bunga Emas yang dihantar sebagai hadiah mencerminkan nuansa tanda kasih, diplomasi, dan hubungan kerajaan ratusan tahun dahulu. Pertukaran hadiah semacam ini sering kali digunakan sebagai sarana untuk memperkuat ikatan kesejahteraan bersama, serta menjaga kedamaian. Ia juga dilihat sebagai paksaan apabila dianggap sebagai ufti. 

 

Apapun, penghasilan bunga emas, pohon emas dan ada juga yang diperbuat pohon kelapa dihiasi buah dan haiwan seperti kijang dan tupai amat terperinci dan tinggi hasil seninya berleluasa di Alam Melayu. 

 

Dari Hukum Kanun Melaka

Dalam Hukum Kanun Melaka, terdapat huraian dan undang-undang yang mengatur pelbagai aspek kehidupan masyarakat pada zaman Kesultanan Melaka, termasuk berkenaan dengan hukuman dan denda yang dikenakan kepada pelanggar undang-undang. 

 

Sebagai contoh, dalam hukum kanun, denda dijatuhkan dalam bentuk tahil emas, menyebutkan bahawa tahil emas merupakan sejenis satu ukuran untuk emas pada masa itu.

 

Dari Perkara 44.10, kita lihat contoh denda yang dikenakan bab peri segala anak-anak raja,   “Sekati lima tahil, lantannya empat tahil emas, pemakannya tengah tiga puluh rial. Adapun faedah sekati itu ke bawah Duli Yang Dipertuan….”

 

Dan ada undang-undang khas pemakaian dan busana zaman irmtu tentang hiasan emas. 

 

Bermula adapun daripada zaman purbakala, adat segala anak keluaran atau anak orang besar sekalipun, tidak boleh memakai gelang kaki, melainkan anak raja juga boleh memakai. 

 

 

hikayat

 

 

Bayaran Emas

Dalam Sejarah Melayu ada diceritakan, Sultan Mansur ingin bertanyakan tentang neraka dan syurga. Lalu bertitah Bagunda pada Tun Bija Wangsa, “Tanyakan oleh Bija Wangsa kepada segala pendita di Pasai, “Segala isi di syurga dan isi di neraka itu kekallah ia dalam syurga dan kekallah ia dalam neraka atau tiadakah? Barang siapa dapat mengatakan dia, berikan Tun Bija Wangsa, emas urai tujuh tahil…”

 

Dalam Hikayat Awang Sulong Wira Merah Muda pula, terdapat satu kisah, apabila mencapai dewasa,  upacara mengasah gigi dilakukan dengan bayarannya: 

   Kurang dua, tiga puloh rial batu
   Emas tiga sejangka 
   Sehari sudah tukang dibunoh
   Jangan tertiri di Mengkasar

 

Apabila Awang Sulong Merah Muda meningkat dewasa, upacara mengasah gigi telah diadakan. Dalam konteks tradisi atau adat Melayu, upacara mengasah gigi (atau sunat gigi) dilakukan sebagai tanda peralihan dari masa kanak-kanak ke masa dewasa bagi seseorang. 

 

Ini merupakan contoh tradisi dalam masyarakat Melayu yang menggunakan emas. 

 

Dari gambaran ringkas sepintas lalu sebegini, jelas emas merupakan sesuatu yang biasa dalam masyarakat Melayu zaman silam. Dari busana Tuanku Malim Deman, kepada harta kekayaan Cik Siti Wan Kembang, kepada bayaran denda dan hadiah kerajaan, emas merupakan ‘pitis’ yang lumrah di kalangan raja raja Melayu. 

 

Realiti Hari Ini

Walaupun pembuatan dan budaya menyimpan dan meniagakan emas sangat sebati dengan masyarakat Kelantan hari ini, Raub di Pahang telah lama terkenal sebagai salah satu kawasan pengeluaran emas di Malaysia.

 

 

hikayat

 

 

Wilayah Raub di Pahang memiliki sejarah emas yang panjang, bahkan sejak zaman kuno lagi, di zaman Bendahara Pahang sebelum British lagi. Emas di Raub telah menjadi salah satu sumber pendapatan utama.

 

Emas yang diusahakan di Raub dianggap sebagai emas berkualiti baik dan memberikan nilai ekonomi yang penting bagi industri perlombongan Malaysia.

 

Hingga hari ini, Raub di Pahang, masih menghasilkan emas. Kawasan Raub masih aktif dalam industri perlombongan emas sejak berzaman, meskipun hasil emasnya mungkin tidak sebesar pengeluaran terkemuka seperti Cina dan Rusia.

 

Malaysia masih mempertahankan keberadaan industri perlombongan emasnya terutama di daerah-daerah yang memiliki potensi di Pahang. 

 

Hari ini, tidak mengira bangsa, dan lapisan masyarakat  warga Malaysia ada menyimpan dan memakai emas walaupun sedikit.

 

Diharap penggunaan emas akan kembali menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita, menandakan pemulihan ekonomi dan kayanya bangsa di muka bumi ini. - DagangNews.com

 

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : ninotaziz@gmail.com
 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

tnb

 

Portfolio Tags