YTL Communications meterai MoU dengan MBI sediakan liputan 5G | DagangNews Skip to main content

YTL Communications meterai MoU dengan MBI sediakan liputan 5G

Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communication, Lee Wing Ku
oleh ZAKI SALLEH

IPOH 28 Okt - Ipoh kini menjadi antara bandar raya yang mempunyai liputan 5G terluas di Malaysia sekali gus akan memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi digital. 

 

Ia juga membantu melahirkan warga kota yang celik internet pelbagai benda (IOT) serta mendedahkan warga Ipoh pada perkembangan teknologi mutakhir.

 

Penyediaan prasarana tersebut dibangunkan menerusi perjanjian persefahaman (MoU) yang dimeterai antara YTL Communications Sdn. Bhd. (YTL Communications) dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

 

Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, Lee Wing Kui berkata, liputan talian internet 5G yang luas dan pantas ini akan memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi negeri Perak. 

 

Menurut beliau, Ipoh khususnya Perak merupakan negeri kedua di luar Lembah Klang yang mendapat capaian 5G selepas Pulau Pinang.


 

MBI
Datuk Rumaizi Baharin (dua dari kiri) bersama Lee Wing Kui (dua dari kanan) disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bertukar-tukar dokumen selepas menandatangani MoU di Ipoh pada 27 Oktober 2022.

 


"Yes masih merupakan syarikat telco yang menawarkan capaian 5G bagi kedua-dua talian pascabayar dan prabayar.

 

"Bagi pascabayar, kita memperkenalkan pelan Infinite Postpaid yang menjanjikan capaian data internet 4G dan 5G tanpa had dan tiada kadar pro-rata.

 

"Pelan ini bermula pada harga RM58 sebulan dengan data hotspot 10GB sehingga pelan paling tinggi iaitu RM178 sebulan dengan data hotspot 100GB," katanya di sini Khamis.

 

Bagi pelanggan yang inginkan pelan prabayar, mereka boleh memilih Yes FT5G yang menawarkan data 4G tanpa had.

 

Data hotspot pula diberikan sebanyak 9GB pada had kelajuan 7Mbps dengan tambahan capaian  5G tanpa had. Turut ditawarkan ialah Yes Wireless Fibre 5G Plan.

 

MBI

 


Sementara itu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, sehingga kini terdapat 37 tapak rangkaian 5G di bandar raya ini, selain menjangkakan 106 lagi tapak dibina sehingga penghujung tahun ini.

 

"Pencapaian ini hasil Jawatankuasa Taskforce 5G Greater Ipoh. Diharapkan MoU ini dan dibantu oleh Digital Nasional Berhad (DNB) bakal percepatkan liputan 5G di sini.

 

"Setakat ini bandar raya Ipoh mempunyai rangkaian liputan cukup stabil, kita telah capai purata kelajuan 5G nasional iaitu 620 megabait per saat," kata beliau. - DagangNews.com