UPM, Ladang Konjak bekerjasama laksana penyelidikan tanaman ubi konjak di Malaysia | DagangNews Skip to main content

UPM, Ladang Konjak bekerjasama laksana penyelidikan tanaman ubi konjak di Malaysia

KUALA LUMPUR 16 Mac - Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama Ladang Konjak Sdn Bhd memeterai memorandum perjanjian (MoA) bagi melaksanakan penyelidikan bersama untuk tanaman ubi konjak di Malaysia.

 

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Prof Dr Ismi Arif Ismail berkata, MoA ini dapat menjadikan UPM sebagai perintis dalam pengeluaran ubi konjak yang berpotensi tinggi sebagai sumber makanan dan penghasilan pelbagai produk hiliran. 

 

“Tanaman ubi konjak merupakan salah satu jenis tanaman yang akan membantu negara di dalam isu keterjaminan makanan dalam mencari alternatif lain dan mengurangkan kebergantungan kepada negara luar," katanya dalam kenyataan.

 

Terdahulu, pemeteraian MoA turut disaksikan oleh Dekan Fakulti Pertanian UPM, Prof Dr Loh Teck Chwen; Ketua Eksekutif Majlis Profesor Negara, Prof Emeritus Datuk Dr Raduan Che Ros; Setiausaha Politik Menteri Ekonomi, Zam Hamzah dan Pengarah Pemasaran Ladang Konjak, Abdul Latif Shaaru. 

 

Sementara itu, Ketua Projek dari Fakulti Pertanian UPM, Dr Martini Mohammad Yusoff pula berkata, MoA ini akan melaksanakan kajian perbandingan varieti, kajian fitokimia konjak, kajian keupayaan konjak sebagai pengganti makanan ruji serta apa-apa bidang kerjasama lain yang memberi manfaat bersama. 

 

“Kita akan melaksanakan kajian kadar baja yang diperlukan termasuklah kesesuaian baja sama ada baja kimia mahupun baja organik, perubahan cuaca yang akan memberi kesan pada pertumbuhan ubi konjak serta pengairan dan sebagainya,” katanya. 

 

Menurut Martini, perkara paling utama yang perlu diberi perhatian ialah amalan agronomi terhadap tanaman ubi konjak khasnya penilaian varieti memandangkan tanaman ini merupakan tanaman baharu di Malaysia dan memerlukan banyak penyelidikan. 

 

 

upm

 

 

“Kita juga perlu membuat kajian masa yang sesuai untuk menuai ubi konjak kerana akan mempengaruhi kandungan glukomanan iaitu serat semula jadi yang larut dalam air dan memberi pelbagai khasiat kesihatan serta membantu menurunkan kandungan gula dalam darah," katanya.

 

 

upm

 

 

Katanya, beliau bersama kumpulan penyelidik akan segera melakukan penyelidikan pada tanaman ubi konjak bagi mencapai setiap objektif kajian yang dilakukan terutamanya dalam menghasilkan ubi konjak yang berkhasiat tinggi.

 

Beliau juga mengharapkan agar lebih banyak bidang kerjasama dalam industri ini yang boleh diterokai di masa hadapan dan meningkatkan lagi fungsi amalan agronomi. - DagangNews.com