UPM ambil inisiatif anjur program Putra Tuition B40 serendah RM5 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UPM ambil inisiatif anjur program Putra Tuition B40 serendah RM5

Antara pelajar sekolah rendah yang mengikuti program Putra Tuition B40 bersama tenaga pengajar yang terdiri daripada pelajar KMB UPM.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

SERDANG 19 Jan - Seramai 12 pelajar Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KMB), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan program Putra Tuition B40 dengan bayaran serendah RM5 bagi setiap mata pelajaran baru-baru ini.

 

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu berkata, pihak universiti wajar mengambil inisiatif untuk membantu masyarakat berpendapatan rendah dengan perspektif pendidikan yang kondusif di UPM.

 

“Usaha pelajar UPM dan KMB ini selaras dengan amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Membangun Malaysia Madani dari aspek pendidikan di mana reformasi pendidikan menuntut penerapan pemikiran kritis dan kreatif termasuk konsep ihsan.

 

Seorang pelajar KMB UPM bersama pelajar sekolah rendah yang dibimbingnya.
Seorang pelajar KMB UPM bersama pelajar sekolah rendah yang dibimbingnya.

 

“Program tuisyen ini walaupun kecil, ia menyokong pembinaan sebuah masyarakat madani yang bersifat ihsan, peduli dan merasai keperitan orang miskin seperti yang terkandung dalam gagasan Malaysia Madani, “ katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Sementara itu, Pengetua KMB, Prof. Madya Dr. Jasronita Jasni berkata, program tuisyen tersebut dibuat untuk pelajar sekolah rendah di sekitar kawasan Serdang yang berhampiran dengan UPM.

 

Katanya, program ini diharapkan dapat meringankan beban ibu bapa dari golongan B40 dalam menyediakan kos pembiayaan tuisyen yang rendah dan berpatutan kepada anak-anak mereka. 

 

Dr. Jasnorita memantau tuisyen yang dikendalikan oleh pelajar-pelajar KMB UPM.
Dr. Jasnorita memantau tuisyen yang dikendalikan oleh pelajar-pelajar KMB UPM.

 

“Program ini juga dapat membantu pelajar KMB yang bertugas sebagai pengajar untuk meraih sedikit wang saku perbelanjaan mereka di kampus melalui pembayaran yuran tuisyen.

 

Di samping itu dapat mengasah bakat kemahiran insaniah mereka dalam menyampaikan ilmu dengan lebih efektif dan efisien,” katanya. 

 

Program tersebut dijalankan pada setiap hari Jumaat hingga Sabtu di KMB dan dianjurkan oleh kelab Putra Tuition di bawah Sekretariat Keusahawanan, Majlis Perwakilan Kolej KMB. - DagangNews.com