TRC Synergy menang proses timbang tara lebih RM60 juta dalam kes pertikaian projek Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei | DagangNews Skip to main content

TRC Synergy menang proses timbang tara lebih RM60 juta dalam kes pertikaian projek Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 30 Jan - Pusat Timbang Tara Antarabangsa Singapura telah mengarahkan Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) untuk membayar 18.67 juta dolar Brunei (kira-kira RM60.18 juta) kepada unit TRC Synergy Bhd. berhubung pertikaian kontrak untuk memodenkan Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, syarikat pembinaan dan pembangunan hartanah itu berkata, BEDB akan membayar anak syarikat milik penuhnya, Trans Resources Corp Sdn Bhd (TRC Corp) jumlah tersebut dalam tempoh 14 hari mulai 16 Januari 2023 – tarikh perintah tribunal.

 

BEDB diarah membayar sejumlah 13 juta dolar Brunei dengan faedah tahunan 5.33% mulai 23 Oktober 2017 dan 3.34 juta dengan faedah tahunan 5.33% mulai 23 Mei 2018.

 

Sementara itu, 2.25 juta dolar Brunei lagi perlu dibayar sebagai kos undang-undang dan lain-lain kos kepada TRC Corp dan 75,240 dolar untuk kos timbang tara unit itu.

 

“Tuntutan pihak yang menuntut (TRC Corp) untuk memanjangkan prosiding ditolak dan dengan ini, segala permintaan, pelepasan dan tuntutan ditolak,” katanya dalam makluman itu hari ini.

 

TRC Corp memulakan prosiding timbang tara terhadap BEDB berhubung pertikaian kontrak kerja terminal lapangan terbang pada Januari 2020.

 

Menurut pemfailan di Bursa Malaysia bertarikh 29 Januari 2020, TRC Corp menuntut pembayaran amaun yang ditolak secara salah oleh BEDB daripada jumlah terhutang kepada TRC di bawah kontrak dan pampasan untuk kerugian yang dialami oleh TRC akibat tindakan tertentu dan/atau peninggalan BEDB.

 

Sementara itu, TRC Synergy berkata, BEDB tidak mempunyai sebarang tuntutan balas terhadap TRC Corp dalam prosiding penimbangtaraan itu.

 

Setakat pukul 3.48 petang, saham TRC Synergy menokok 2 sen atau 6.25% kepada 34 sen sesaham, memberikan syarikat itu permodalan pasaran sebanyak RM163.37 juta. - DagangNews.com