Semakan harga akses cetuskan kebimbangan terhadap prospek TM | DagangNews Skip to main content

Semakan harga akses cetuskan kebimbangan terhadap prospek TM

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 7 Okt - CGS-CIMB Research bimbang dengan semakan harga akses yang dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memberi kesan kepada Telekom Malaysia Bhd. (TM). 

 

Dalam Kertas Siasatan Awam (PI) yang diterbitkan MCMC mengenai Kajian Semula Harga Akses pada Rabu lalu, menyatakan pandangan awalnya dan mengalu-alukan maklum balas daripada pihak yang berminat sebelum 21 November ini. 

 

Ia akan menerbitkan pandangan terakhirnya selewat-lewatnya pada 21 Disember 2022, dengan Penentuan Suruhanjaya berkemungkinan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023.

 

Firma itu berkata, kebimbangan utamanya ialah harga capaian terkawal yang dicadangkan pada 2023 hingga 2025 untuk rangkaian Jalur Lebar Kelajuan Tinggi (HSBB) Lapisan 3 TM, iaitu 41% hingga 52% lebih rendah berbanding tahap semasa.

 

"Jika dilaksanakan, ia akan menjadi satu kejutan negatif bagi TM kerana MCMC kelihatan gembira dengan harga jalur lebar gentian runcit semasa dan menyedari keperluan untuk mendorong pelancaran infrastruktur.

 

"Bagaimanapun, terdapat kemungkinan harga akses akhir lebih tinggi daripada yang dicadangkan. Dalam Semakan Harga Akses 2017, harga akhir adalah kira-kira 159% hingga 283% lebih tinggi berbanding kadar yang dicadangkan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

MCMC juga memulakan semakan itu dengan harga cadangan yang lebih tinggi daripada harga pada 2017.

 

TM percaya terdapat justifikasi kos (dan akan mengemukakannya dalam penyerahan cadangan) untuk menyokong pandangannya bahawa harga akses HSBB terkawal tidak sepatutnya dipotong.

 

Menurut CGS-CIMB, berdasarkan kadar yang dicadangkan itu, dianggarkan kos borong bagi pelan 100Mbps adalah RM69 hingga RM76 sebulan. 

 

"Dengan mengandaikan kos tambahan 20% lagi dan margin keuntungan 10%, penyedia perkhidmatan runcit boleh menetapkan harga pelan 100Mbps pada RM90 hingga RM99 sebulan, 23% hingga 30% lebih murah berbanding harga semasa TM pada RM129 sebulan.

 

"Dalam kes ini, kami melihat TM memberikan peningkatan kelajuan percuma (seperti pada 2018), dan bukannya mengurangkan harga," katanya.

 

Jelasnya, jika hasil borong HSBB dan purata hasil setiap pengguna (ARPU) unifi masing-masing terjejas sebanyak 10% dan 5%, pendapatan sesaham TM dianggar lebih rendah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) hingga FY25 antara 6% hingga 12% dan 12% hingga 23%.

 

Bagaimanapun, buat masa ini, firma itu mengekalkan saranan 'tambah' terhadap TM dengan harga sasaran pada RM7.30 sesaham.

 

Setakat 9.14 pagi ini, harga sahamnya susut 2 sen atau 0.37% kepada RM5.43 dengan 400 saham diniagakan. - DagangNews.com