Saham Pharmaniaga merosot lebih 50% selepas jatuh dalam kategori PN17, firma penyelidikan turunkan penarafan dan TP | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham Pharmaniaga merosot lebih 50% selepas jatuh dalam kategori PN17, firma penyelidikan turunkan penarafan dan TP

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 28 Feb - Firma-firma penyelidikan menurunkan penarafan saham Pharmaniaga Bhd. selepas syarikat farmaseutikal itu mengalami kerugian besar pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22).

 

Dalam dagangan pagi ini, saham Pharmaniaga muncul antara kaunter paling aktif diniagakan di Bursa Malaysia. Setakat 9.25 pagi, harga sahamnya susut 19.5 sen atau 44.32% kepada 24.5 sen dengan 36.26 juta saham diniagakan.

 

Bagi tempoh berkenaan, syarikat farmaseutikal itu mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM607.32 juta berbanding keuntungan bersih RM172.15 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya, dengan peruntukan RM552 juta untuk 'stok vaksin COVID-19 yang bergerak perlahan' sehingga mendorong syarikat bermasalah kewangan itu berada di bawah kategori PN17.

 

Pendapatan juga merosot 27.1% kepada RM3.51 bilion daripada RM4.82 bilion berikutan terdapat permintaan yang lebih rendah daripada kerajaan untuk pembelian vaksin COVID-19

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menyemak turun penarafan Pharmaniaga kepada 'jual' daripada 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada 31 sen daripada 63 sen sebelum ini.

 

Berikutan prospeknya yang tidak menentu, firma itu dalam nota kajiannya hari ini turut mengurangkan unjuran bagi FY23 dan FY24 sebanyak 51% selepas mengambil kira anggaran perbelanjaan operasi dan kos kewangan yang lebih tinggi. 

 

Menurutnya, selaras dengan keperluan MFRS102, Pharmaniaga telah membuat peruntukan sebanyak RM552 juta untuk stok vaksin COVID-19 yang bergerak perlahan, mengakibatkan kedudukan ekuiti pemegang saham negatif sebanyak -RM248.7 juta dan seterusnya mencetuskan kriteria untuk PN17.

 

"Kami dapati kemungkinan terdapat pembalikan dalam peruntukan rosot nilai sekiranya Pharmaniaga dapat menjual lebih banyak stok COVID-19 sedia ada.

 

"Buat masa ini, kumpulan sedang bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Bank Pembangunan Islam (IDB) dan Kementerian Kesihatan untuk menjual stok simpanannya," katanya.

 

 

Baca : Pharmaniaga catat kerugian bersih RM644.39 juta pada 4Q FY2022; terjerumus ke dalam PN17

 

 

Pharmaniaga mengalami cabaran pada FY22 disebabkan penyediaan stok vaksin COVID-19 yang bergerak perlahan dengan jangka hayat tertentu dalam inventorinya.

 

Ini mengakibatkan kerugian sebelum cukai dan zakat serta kerugian selepas cukai dan zakat masing-masing sebanyak RM580.8 juta dan RM605 juta.

 

Sementara itu, MIDF Research turut menyemak turun penarafan Pharmaniaga kepada 'neutral' daripada 'beli' dengan TP lebih rendah pada 48 sen daripada 77 sen sesaham. 

 

Malah, unjuran keuntungannya bagi FY23 dan FY24 juga masing-masing dikurangkan sebanyak 79% dan 87% setelah kumpulan itu merekodkan prestasi kewangan FY22 di bawah unjurannya.

 

Firma itu berkata, di sebalik peruntukan RM552.3 juta disebabkan inventori vaksin COVID-19 yang perlahan, prestasi Pharmaniaga akan menyaksikan penambahbaikan pada FY23.

 

"Kumpulan itu akan terus berusaha untuk merundingkan penjualan vaksin dengan pihak lain. Selain itu, kerajaan telah menangguhkan rundingan perjanjian konsesi dengan kumpulan itu sehingga Jun 2023.

 

"Pada masa sama, kami juga yakin kumpulan akan kekal fokus dalam pasaran Indonesia sebagai sebahagian daripada pertumbuhan masa depan," katanya. - DagangNews.com