PRU-15 tidak wajar diadakan tahun ini disebabkan musim banjir - Muhyiddin | DagangNews.com Skip to main content

PRU-15 tidak wajar diadakan tahun ini disebabkan musim banjir - Muhyiddin

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 4 Okt - Perikatan Nasional berpendirian bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak wajar diadakan pada tahun ini memandangkan Monsun Timur Laut akan bermula tidak lama lagi dengan banjir dijangka melanda negara terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur.

 

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mengadakan pilihan raya semasa musim banjir tentunya akan menjejaskan perjalanan pilihan raya di samping menyusahkan rakyat.

 

Beliau berkata, kerajaan mesti memberi fokus kepada persiapan menghadapi musim banjir di samping terus memberi tumpuan kepada usaha mempercepatkan proses pemulihan negara pasca pandemik.

 

"Rakyat sedang terbeban dengan masalah inflasi, kenaikan harga barang dan kejatuhan nilai ringgit di samping proses pemulihan negara yang masih perlahan.

 

"Penyelesaian kepada permasalahan ini mesti diberikan tumpuan sepenuhnya oleh kerajaan terutama menerusi Bajet 2023," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, anggota Jemaah Menteri dari parti Perikatan Nasional telah diminta untuk mempertegaskan pendirian ini di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

 

 

muhyiddin
Tan Sri Muhyiddin Yassin

 

 

Semua Ahli Parlimen Perikatan Nasional juga diminta mengambil pendirian yang sama, katanya. - DagangNews.com