Projek kalendar 2023 'We Share the Same Moon' kumpul 365 karya artis tempatan | DagangNews Skip to main content

Projek kalendar 2023 'We Share the Same Moon' kumpul 365 karya artis tempatan

Mesran Mohd Yusop (kanan) ketika melihat pameran seni sempena majlis pelancaran kalendar tahun 2023 We Share the Same Moon.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Okt - Seramai 365 artis tempatan dari seluruh negara terlibat dalam menjayakan projek Kalendar 2023 'We Share the Same Moon' ketika pandemik COVID-19 melanda negara.

 

Ini termasuk daripada Persatuan Alumni Akademi Seni Halus Nanyang ( Malaysia), Persatuan Seni Lukis Perak, Persatuan Seni Rupa Malaysia (PERUPA), Persatuan Artis Dayak Sarawak (SADAS), Persatuan Pelukis Cat Air Malaysia (MWS), 180 Pelukis Introvert Maya, Persatuan Pelukis Terengganu (PETER), Persatuan Artis Asia, Persatuan Artis Klang dan Persatuan Pelukis Negeri Sembilan.

 

Selain itu, pelajar dan pensyarah Institut Seni Kreatif dan Reka Bentuk (ICAD), Universiti UCSI turut menyumbang dalam inisiatif yang mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) ini. 

 

Ketua Pengarah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Malaysia (JKKN) MOTAC, Mesran Mohd Yusop berkata, program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Dasar Kebudayaan Kebangsaan 2021.

 

"Saya gembira melihat ICAD UCSI giat meneruskan usaha berkaitan seni yang melibatkan pelajar-pelajarnya dalam pelbagai projek komuniti untuk membantu mengembangkan seni di negara ini.

 

"Dengan mengumpul karya 365 artis dari seluruh negara dan pamerkan karya mereka di Universiti UCSI, anda memberi peluang baharu kepada pelajar untuk belajar daripada senior dan ‘master’ seni ini, malah mereka berpeluang merasai pengalaman bekerja dengan komuniti dan industri seni itu secara langsung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Naib Canselor Universiti UCSI dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UCSI, Prof Datuk Ir Ts Dr Siti Hamisah Tapsir berkata, pelancaran kalendar itu sebagai simbol kejayaan kerjasama semua pihak terutama para artis yang terlibat menyumbangkan karya hebat mereka.

 

 

ucsi

 

 

“Kami berbesar hati berkongsi kejayaan Kalendar 2023 "We Share the Same Moon" yang unik dan jarang kita jumpa hasil karya 365 artis hebat dari seluruh pelosok negara,” katanya. 

 

Dalam pada itu, Siti Hamisah berkata, COVID-19 menjadi penghalang daripada kekal berhubung antara sama lain namun seni mampu menjadi jambatan yang menghubungkan banyak jiwa.

 

Tambahnya lagi, UCSI akan meneruskan aspirasi untuk menjadi universiti swasta terbaik dalam seni dan reka bentuk yang mana ICAD bakal terus-terusan mencipta ruang untuk pelajarnya terlibat dengan pelbagai projek bagi membantu membangunkan seni Malaysia.

 

Beliau juga berharap pada masa akan datang lebih banyak pihak industri tampil untuk mencipta peluang dan ruang kepada pelajar ICAD UCSI.

 

Universiti UCSI berada di kedudukan 230 terbaik dunia dalam kategori Seni dan Reka Bentuk menurut QS World University Rankings 2022 mengikut Subjek. Sejak 15 tahun lalu, kurikulum ICAD dalam seni, reka bentuk, fesyen dan media digital memastikan graduannya menerima peluang terbaik dalam bidang masing-masing. 

 

Malah ICAD juga menerima skor 100% bagi kebolehpasaran graduan daripada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia pada tahun 2021. Sebagai antara tiga universiti swasta terbaik dalam seni dan reka bentuk di Malaysia, ICAD destinasi tepat untuk meneroka seni visual, sejarah seni dan pendidikan seni. - DagangNews.com