KUALA LUMPUR 1 Mac - Panasonic Manufacturing Malaysia Bhd dijangka berhadapan dengan cabaran berterusan untuk jangka masa terdekat hingga sederhana, menurut CGS-CIMB.
Menurut firma penyelidikan itu, prospek pendapatan kumpulan itu dijangka kekal lemah berikutan peningkatan kos input, portfolio produk yang berkurangan dan kuasa pembeli untuk perbelanjaan barangan tidak perlu yang rendah.
“Pada pandangan kami, pemulihan dalam jualan boleh terjejas oleh perbelanjaan pengguna terhadap barangan tidak perlu yang lemah dan portfolio produk syarikat berkurangan berikutan pemberhentian perniagaan periuk nasinya (6% daripada pendapatan tahun kewangan 2022(FY22)) dan peralatan dapur tertentu (pengisar, pemproses makanan dan periuk perlahan sebanyak 7% daripada pendapatan FY22),” katanya.
Firma itu menambah, margin akan kekal tertekan disebabkan kos input yang tinggi ekoran kekurangan bekalan yang berkala serta kenaikan gaji minimum dan skala ekonomi yang lebih rendah.
Keuntungan bersih untuk sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23) kumpulan itu juga di bawah jangkaan firma tersebut iaitu 68.7% daripada anggaran FY23 namun dalam konsensus Bloomberg 73.5%.
Pendapatan suku ke suku (QoQ) Panasonic Manufacturing juga rendah akibat permintaan domestic yang lemah, di mana kemerosotan sebanyak 11.4% direkodkan walaupun biasanya hasil suku lebih kukuh mengikut musim.
“Ini mungkin disebabkan permintaan jualan yang rendah kuasa perbelanjaan barangan tidak perlu yang juga rendah di kala peningkatan tekanan inflasi,” katanya.
Kemerosotan jualan didorong oleh jualan domestik yang lemah sebanyak 40.3% QoQ atau RM66.1 juta namun dibantu oleh peningkatan jualan eksport sebanyak 6.3% atau RM193.4 juta dalam pasaran di Vietnam dan Asia Barat.
“Bagaimanapun, margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) 3QFY23 meningkat 2.3% pada skala ekonomi yang lebih tinggi akibat pemulihan operasi daripada banjir, mendorong untung bersih suku itu naik 4.2%,” tambahnya.
Oleh itu, CGS-CIMB mengekalkan saranan kurang dengan pengurangan harga sasaran (TP) pada RM20.10. -DagangNews.com








