PM terima kunjungan hormat delegasi Westar, Leonardo Helicopter  | DagangNews Skip to main content

PM terima kunjungan hormat delegasi Westar, Leonardo Helicopter 

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menerima kunjungan hormat delegasi Westar dan Leonardo Helicopter di Putrajaya.
Oleh ZAKI SALLEH 

KUALA LUMPUR 7 Dis - Pemilik yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Weststar, Tan Sri Dr. Syed Azman Syed Ibrahim telah melakukan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di pejabatnya di Putrajaya, Sabtu lalu.

 

Berita beserta gambar mengenai kunjungan tersebut telah dimuat naik pada laman Facebook rasmi Kumpulan Weststar.

 

Turut bersama pada kunjungan itu ialah Pengarah Urusan Leonardo Helicopter Division, Gian Piero Cutillo serta pegawai-pegawai kanan daripada kedua-dua syarikat.

 

Menerusi kenyataan yang ditulis pada paparan tersebut, antara dibincangkan semasa kunjungan hormat itu ialah mengenai pelaburan luar ke dalam negara.

 

Ia termasuk kerjasama antara kerajaan dan swasta dalam memperkukuhkan industri penerbangan helikopter.

 

Kumpulan Westar merupakan syarikat induk kepada Weststar Aviation Services Sdn. Bhd. (Weststar Aviation) iaitu penyedia perkhidmatan helikopter luar pesisir terbesar di Asia Tenggara.

 

Leonardo Helicopter Division pula adalah cabang pada firma Leonardo dari Itali iaitu antara peneraju industri aeroangkasa di Eropah.

 

 

pm
Perkara mengenai pelaburan luar dalam industri helikopter antara yang dibincangkan semasa kunjungan ke pejabat Perdana Menteri.

 

 

Kerajaan sebelum ini menyewa empat helikopter Leonardo AW139 untuk kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi menggantikan Sikorsky S-61 Nuri.

 

Helikopter tersebut diperoleh menerusi kaedah sewaan berkonsepkan ‘Government Operate, Company Own and Maintain’ (GOCOM) daripada pihak Westar Aviation.

 

Ia untuk tempoh diantara empat hingga lima tahun sebagai langkah jangka pendek sementara melaksanakan perolehan 24 buah helikopter baru menggantikan Nuri.

 

Model AW139 merupakan helikopter saiz sederhana yang terbaik dalam kelasnya turut digunakan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Polis Diraja Malaysia dengan lebih 900 pesawat telah dibina.

 

Terbaru, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengoperasikan tiga helikopter operasi maritim jenis Leonardo AW139 bagi kegunaan Markas Armada Timur.  - DagangNews.com