Perolehan kontrak baharu akan menyumbang 6% keuntungan kepada Ranhill pada FY23 - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Perolehan kontrak baharu akan menyumbang 6% keuntungan kepada Ranhill pada FY23 - MIDF Research

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 2 Dis - MIDF Research menjangkakan perolehan kontrak bernilai RM50 juta daripada Malaysia Marine and Heavy Engineering Bhd. (MHB) akan menyumbang 6% atau RM2.6 juta keuntungan kepada Ranhill Utilities Bhd. bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23). 

 

Ranhill menerusi anak syarikat tidak langsungnya, Perunding Ranhill Worley Sdn. Bhd. (PRW) memperoleh kontrak itu bagi melaksanakan reka bentuk kejuruteraan terperinci untuk projek pengawalan dan penyimpanan karbon (Kasawari CCS).

 

Menurut firma itu, anggaran tersebut berdasarkan kepada margin projek sekitar 9 hingga 10% dan pegangan Ranhill sebanyak 51% dalam Ranhill Worley Sdn. Bhd. (RWSB), yang juga memiliki 49% pegangan dalam PRW.

 

Katanya, dengan perolehan itu, nilai kontrak RWSB dijangka meningkat sehingga RM328 juta, bersamaan dengan lebih daripada setahun hasil tahunannya.

 

"Projek Kasawari CCS adalah antara Reka Bentuk Kejuruteraan Terperinci (DED) yang terbesar, selain daripada kontrak RM124 juta yang diumumkan baru-baru ini untuk DED bagi kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) P-82 baharu untuk Petrobras.

 

"Kami menjangkakan sebahagian besar projek ini akan menyumbang pada FY23. Memandangkan, ia merupakan sebahagian daripada andaian penambahan nilai kontrak ntuk RWSB, kami mengekalkan unjuran tidak berubah buat masa ini, dan melihat ini satu perkembangan positif dalam mengekalkan sumbangan RWSB kepada kumpulan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baca : Unit Ranhill raih kontrak kejuruteraan RM50 juta bagi projek Kasawari CCS

 

Projek Kasawari CCS akan menjadi projek CCS luar pesisir terbesar di dunia apabila siap kelak mengikut volum karbon dioksida (CO2) yang dikawal dengan keupayaan untuk mengawal sehingga 3.3 juta tan karbon dioksida (CO2) setahun.

 

Platform CCS baharu terletak bersebelahan kemudahan pemprosesan pusat Kasawari dan dihubungkan melalui jambatan.

 

CO2 akan dipindahkan dalam saluran paip sepanjang 138 kilometer dan disuntik ke dalam takungan gas luar pesisir yang telah habis.

 

Menurut Ranhill, tempoh projek itu adalah selama setahun dan dijangka selesai pada suku keempat 2023.

 

Secara keseluruhan, MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Ranhill dengan harga sasaran pada 67 sen sesaham. 

 

Setakat 11.19 pagi ini, harga sahamnya kekal tidak berubah pada 43 sen dengan 151,100 saham diniagakan. - DagangNews.com