Pernas peruntuk RM360,000 bangunkan jenama He & She Coffee ke arah francais | DagangNews Skip to main content

Pernas peruntuk RM360,000 bangunkan jenama He & She Coffee ke arah francais

Datuk Hazimah Zainuddin (dua, kiri) ketika Majlis Soft-Launching Cawangan He & She Coffee yang ke-30 di UIAM, Gombak, Selangor pada 21 Mac 2023.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Mac - Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) terus giat membantu usahawan-usahawan membangunkan perniagaan ke arah francais selari dengan peranannya selaku Peneraju Francais Malaysia dengan aspirasi Memperkukuh Pertumbuhan, Menghubungkan Peluang. 

 

Terbaharu, jenama He & She Coffee iaitu salah satu jenama yang berpotensi difrancaiskan telah mendapat bimbingan dan bantuan pembiayaan daripada Pernas.   

 

Melalui Program Be Your Own Boss (BYOB) dan Projek Excelerator, jenama He & She Coffee bakal menerima peruntukan berjumlah RM360,000 iaitu pembiayaan sebanyak RM300,000 melalui Program BYOB manakala peruntukan sebanyak RM60,000 melalui projek Xcelerator.

 

Jenama ini kini telah didaftarkan di Malaysia Franchise Express (MyFEX), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Kos Sara Hidup (KPDN) dan dijangka mencapai status francais pada Julai tahun ini.
 


Pengerusi Pernas, Datuk Hazimah Zainuddin berkata, program-program Pernas seperti Projek Xcelerator bertujuan meningkatkan bilangan penglibatan usahawan siswa siswi dan gradúan dalam keusahawanan francais. 

 

Katanya, sebanyak 34 jenama telah terlibat dalam Projek Xcelerator sejak diperkenalkan pada 2021.

 

"He & She Coffee merupakan jenama kopi kampus menawarkan pakej pra-francais mampu milik serendah RM250,000 sehingga RM580,000. 

 

 

pernas

 

 

"Kini, jenama ini telah memiliki 30 cawangan di seluruh Malaysia dan bakal membuka lima cawangan baharu pada tahun ini. Jenama ini menyasarkan 50 cawangan kampus di IPTA dan IPTS seluruh Malaysia dalam tempoh lima tahun," katanya ketika berucap pada Majlis Soft-Launching Cawangan He & She Coffee yang ke-30 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, baru-baru ini.

 

Turut hadir, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif He & She Coffee, Zulkiflee Yusof dan Alumni UIAM dan Lisensi He & She Coffee UIAM Gombak, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak.

 

Menurut Hazimah, berbeza dengan jenama kopi lain, dengan mengetengahkan konsep kopi gaya hidup kampus, He & She Coffee juga membuka peluang keusahawanan kepada siswazah daripada golong kurang berkemampuan. 

 

Secara tidak langsung katanya, inisiatif ini mampu membuka peluang pekerjaan yang lebih luas dan melahirkan usahawan francais muda dalam kalangan siswazah. 

 

Mengulas mengenai industri kopi di Malaysia, beliau berkata, budaya minum kopi yang semakin meluas dalam kalangan masyarakat negara ini perlu diteliti secara kritis. 

 

"Usahawan perlu bijak mengambil peluang dan melihat senario ini sebagai peluang yang baik sekali gus merancakkan lagi industri makanan dan minuman (F&B) kopi negara," ujar Hazimah. - DagangNews.com