Pergiatkan amal soleh di bulan Sya’ban | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 3 March 2023

Pergiatkan amal soleh di bulan Sya’ban

 

 

 

BULAN Sya’ban berada antara bulan Rejab dan Ramadan iaitu di susunan turutan kelapan dalam kalendar Hijrah yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan.

 

Istilah Sya’ban diambil dari kata ‘Sya’bun’ yang bermaksud kelompok atau golongan. Disebut Sya’ban kerana masyarakat jahiliyah berpecah kelompok untuk mencari sumber air atau ada juga pendapat menyatakan berpecah menjadi kelompok untuk melakukan peperangan.

 

Sya’ban juga bermaksud ‘bulan pemisah’ kerana memisahkan antara bulan Rejab dan Ramadan. Rejab dianggap sebagai bulan ujian, Ramadan pula sebagai bulan latihan, maka Sya’ban adalah sebagai bulan persediaan dan persiapan melakukan kebaikan sebanyak mungkin termasuk memerangi nafsu.

 

Selain memohon doa, digalakkan juga untuk bertaubat dan memohon keampunan di atas keterlanjuran di sepanjang bulan ini. Sambutlah Syaaban dengan penuh keinsafan dan kesedaran serta peringatan bahawa perjuangan sebagai seorang insan masih belum berakhir. 


 

irsyad

 


Keistimewaan bulan Sya’ban adalah dikenali sebagai bulan diangkat semua amalan ke sisi Allah SWT dan Nabi SAW melazimi dan memperbanyakkan ibadah puasa sunnah dalam bulan ini berbanding bulan-bulan selainnya.

 

Usamah ibn Zaid RA pernah bertanya kepada Nabi SAW, “Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa pada satu bulan sebagaimana engkau berpuasa pada bulan Sya’ban?” Rasulullah menjawab: Itu adalah bulan yang manusia sering lalai padanya iaitu bulan yang berada di antara Rejab dan Ramadan. Bulan tersebut adalah bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Tuhan semesta alam, maka aku suka ketika amalanku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa” (Riwayat Ahmad no. 21753 dan an-Nasa’i no. 2317).

 

Dalam riwayat yang lain ‘Aisyah RA pernah mengkhabarkan dengan katanya: “Nabi SAW biasanya berpuasa sehingga kami katakan bahawa baginda tidak akan berbuka (berpuasa terus). Seterusnya Nabi SAW apabila berbuka sehingga kami katakan bahawa beliau akan terus berbuka (tidak berpuasa terus). Aku tidak melihat baginda SAW menyempurnakan puasanya sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan. Aku juga tidak pernah melihat baginda SAW berpuasa (puasa sunat) dalam sebulan yang lebih banyak melainkan ketika baginda SAW berpuasa pada bulan Sya’ban” (Riwayat al-Bukhari no. 1833 dan Muslim no. 1956).

 

Berdasarkan hadis pertama yang diriwayatkan oleh Usamah bin Zaid menunjukkan bahawa Nabi SAW berpuasa penuh dalam bulan Sya’ban dan lebih suka amalannya diangkat ketika dalam keadaan berpuasa. Selain itu, hadis ini juga menunjukkan bahawa umat Islam digalakkan untuk beramal dan melakukan ketaatan ketika manusia sedang lalai.

 

Hadis kedua yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah RA pula menunjukkan bahawa Nabi SAW banyak berpuasa di dalam bulan Sya’ban. Ini menggambarkan bilangan hari Nabi SAW berpuasa dalam bulan ini adalah banyak.

 

Namun, terdapat juga sebuah riwayat yang lain dilihat seolah-olah bertentangan atau bercanggah dengan dua hadis di atas iaitu “Adapun Rasulullah SAW berpuasa pada bulan Sya’ban melainkan sedikit” (Riwayat Muslim, no.1957). Hadis ini pula memberi gambaran bilangan hari Nabi SAW berpuasa adalah sedikit.


 

irsyad

 


Berkaitan riwayat-riwayat hadis yang dilihat saling bertentangan atau bercanggah, para ulama hadis mempunyai beberapa kaedah atau teknik untuk berinteraksi dengan riwayat hadis sedemikian. Pertama, melalui kaedah “menghimpunkan antara dua hadis tersebut”. Jika kaedah ini tidak berhasil, maka para ulama hadis akan menggunakan kaedah kedua iaitu dengan melihat pada “nasikh dan mansukh”. Jika masih tidak berhasil, maka mereka akan menggunakan kaedah ketiga iaitu “tarjih” (pemilihan). Jika masih tidak berhasil juga, maka yang terakhir adalah kaedah keempat iaitu “tawaqquf” (tinggalkan).

 

Pandangan pertama:

Sebahagian ulama menyatakan bahawa Nabi SAW berpuasa di bulan Sya’ban secara penuh di sebahagian tahun sahaja, manakala di sebahagian tahun lain Nabi SAW berpuasa sedikit sahaja. Ini menggambarkan Nabi SAW tidak berpuasa secara penuh dalam bulan Sya’ban di setiap tahun.

 

Pandangan kedua:

Sebahagian ulama menyatakan bahawa Nabi SAW tidak pernah berpuasa sebulan penuh pada bulan Sya’ban kecuali di bulan Ramadhan sahaja. Sementara hadis yang menyatakan bahawa Nabi SAW berpuasa pada bulan Sya’ban melainkan sedikit, boleh difahami bahawa dari sudut bahasa jika seseorang yang sering berpuasa boleh dikatakan telah berpuasa sebulan penuh disebabkan kelazimannya terhadap perbuatan tersebut ataupun telah berpuasa sebahagian besar daripada bulan tersebut.

 

Setelah diteliti dua pandangan tersebut, maka boleh dikatakan bahawa pandangan yang kedua adalah lebih tepat iaitu yang menyatakan bahawa Nabi SAW tidak pernah berpuasa sebulan penuh pada bulan Sya’ban kecuali di bulan Ramadhan sahaja.


 

irsyad

 


Kesimpulannya, umat Islam digalakkan dan dianjurkan untuk berpuasa sunat, memperbanyakkan amalan soleh dan memohon keampunan kepada Allah SWT dalam bulan Sya’ban berdasarkan hadis yang telah dihuraikan di atas.

 

Nabi SAW sangat menyukai kerana pada ketika itu amalan tahunan berpeluang diangkat dan dipersembahkan oleh Malaikat kepada Allah SWT dalam keadaan sedang berpuasa.

 

Puasa sunat juga adalah sebagai persediaan dan persiapan membiasakan diri bagi masyarakat Islam untuk beramal dalm bulan Ramadan yang akan menyusul setelah bulan Sya’ban. 

 

Perbanyakkan juga amal soleh lain seperti solat sunat, bersedekah serta menolong meringankan penderitaan fakir dan miskin serta anak-anak yatim. - DagangNews.com

 

 

DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.
Portfolio Tags