Pembukaan semula China dijangka tingkatkan pertumbuhan Westports pada separuh kedua 2023 – RHB Invest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pembukaan semula China dijangka tingkatkan pertumbuhan Westports pada separuh kedua 2023 – RHB Invest

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 6 April - Aliran perdagangan dijangka meningkat pada separuh kedua tahun 2023 (2H23) sekali gus memberi manfaat kepada Westports Holdings Berhad.

 

Firma penyelidikan itu berkata sedemikian berikutan impak ketara pembukaan semula China setelah ditutup sepanjang pandemik COVID-19, yang turut berkemungkinan memberi manfaat kepada Westports.

 

Bagi separuh pertama tahun 2023 (1H23), firma tersebut kekal berhati-hati terhadap prospek perdagangan Malaysia, sejajar dengan pandangan ahli-ahli ekonomi terhadap aktiviti perdagangan dan menjangkakan baki akaun semasa Malaysia pada tahun ini mencecah 2.7% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

 

Ini adalah berikutan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menjangkakan pertumbuhan ekonomi global menyederhana kepada 2.9% pada 2023 berbanding 3.4% tahun sebelumnya.

 

Selain itu, China menyaksikan pertumbuhan pelabuhan yang sederhana pada 2022 walaupun terdapat tanda-tanda kelembapan menjelang akhir tahun lepas.

 

RHB Investment berpendapat pemulihan dalam beberapa saluran perdagangan, kapasiti normalisasi di pelabuhan dan peralihan fokus dasar untuk mencapai sifar COVID-19 kepada melaksanakan langkah rangsangan ekonomi, seterusnya, akan meningkatkan aliran perdagangan dalam Asia Pasifik.

 

“Kami percaya China adalah kunci penting untuk pertumbuhan pelabuhan kerana peningkatan positif volum pemprosesan untuk 30 pelabuhan kontena global teratas didorong hampir keseluruhannya oleh gergasi Asia Timur ini.

 

Menurut kemas kini pasaran pengangkutan laut DHL, baki 30 pelabuhan teratas (kecuali China) akan mencatatkan penurunan 2% dalam jumlah sepanjang tahun tanpa pertumbuhan di pelabuhan utama China,” tambahnya.

 

Mengulas berkenaan pertumbuhan volum pemprosesan di pelabuhan utama Malaysia iaitu Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas, ia merosot sedikit pada tahun kewangan 2022 (FY22) kepada kadar -0.1% dan -0.6% walaupun telah mencatatkan pertumbuhan terpantas dalam jumlah perdagangan (eksport dan import) sebanyak 27.8%.

 

Firma itu percaya ia mungkin disebabkan oleh pengurangan kesesakan di pelabuhan negara

 

Firma itu mengekalkan anggaran pendapatan memandangkan mereka terus menjangkakan pertumbuhan sederhana selepas mengambil kira faktor yang disebutkan di atas.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘neutral’ dengan harga sasaran RM3.78 sesaham. -DagangNews.com