Pembiayaan Ar-Rahnu Co-opbank Pertama tawar mata ganjaran Mesra kepada pelanggan  | DagangNews Skip to main content

Pembiayaan Ar-Rahnu Co-opbank Pertama tawar mata ganjaran Mesra kepada pelanggan 

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Jan - Para pelanggan yang mendapatkan pembiayaan Ar-Rahnu Co-opbank Pertama (CBP) akan menerima mata ganjaran Petronas Mesra menerusi kerjasama strategik yang telah dimeterai antara CBP dan Petronas bermula 16 Januari 2023.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohamad Anuar berkata, menerusi kerjasama ini, ahli program kesetiaan Petronas Mesra layak menebus mata ganjaran yang terkumpul di stesen minyak tersebut termasuk Kedai Mesra, atau melalui aplikasi Setel yang menawarkan pelbagai barangan dalam katalog penebusan Mesra.

 

Beliau berkata, kerjasama strategik CBP dan Petronas ini adalah bagi menarik minat pelanggan untuk mendapatkan pembiayaan Ar-Rahnu CBP disamping untuk mereka mendapatkan mata ganjaran Mesra melalui program kesetiaan Petronas Mesra bagi setiap gadaian emas mereka di CBP.

 

“Selain itu, ia secara tidak langsung dapat meningkatkan kesedaran jenama CBP dengan penyenaraian CBP di dalam portal www.mymesra.com selaku rakan kerjasama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Khairil Anuar, ahli Mesra yang juga merupakan pelanggan Ar-Rahnu CBP akan menerima mata ganjaran Mesra bagi setiap penyelesaian pembiayaan Ar-Rahnu. 

 

Katanya, pelanggan Ar-Rahnu CBP akan menerima satu mata ganjaran Mesra bagi setiap RM300 nilai gadaian yang dilakukan di Ar-Rahnu CBP.

 

"Bagi pelanggan CBP yang belum menjadi ahli program kesetiaan Mesra, mereka boleh mendaftar menerusi aplikasi Setel dan mata ganjaran Mesra akan dikreditkan ke akaun Mesra pelanggan," katanya.

 

 

cbp
                                                 Khairil Anuar Mohamad Anuar

 

 

Tambahnya, kerjasama itu merupakan satu nilai tambah yang diberikan kepada pelanggan dan CBP turut merancang menjalinkan kerjasama strategik dengan pihak lain untuk memberi manfaat kepada mereka. - DagangNews.com