MYNIC perkenal COOP.MY kepada 15,000 koperasi berdaftar | DagangNews Skip to main content

MYNIC perkenal COOP.MY kepada 15,000 koperasi berdaftar

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 5 Nov - Koperasi yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bakal menerima manfaat dalam mendigitalkan premis perniagaan mereka melalui perjanjian persefahaman (MoU) yang dimeterai bersama MYNIC Berhad pada 1 November 2022.

 

MYNIC Berhad, agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) yang merupakan pendaftar dan pentadbir tunggal rasmi nama domain.MY telah memperkenalkan inisiatif Program Realisasi Impian Ekonomi Digital (PRIME) dan pengenalan nama domain COOP.MY sebagai identiti digital khas kepada hampir 15,000 koperasi yang berdaftar dengan SKM.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC Berhad, Datuk Hasnul Fadhly Hasan berkata, MoU tersebut merupakan salah satu inisiatif bersama untuk membantu koperasi yang berdaftar dalam meningkatkan kapasiti serta keupayaan perniagaan mereka dari ‘offline’ ke ‘online’.

 

Beliau berkata, sejajar dengan tema sambutan 100 tahun gerakan koperasi Malaysia iaitu Gerakan Koperasi Membangun Keluarga Malaysia, COOP.MY yang diperkenalkan bakal menjadi platform kepada mereka untuk meningkatkan daya saing, kompetitif serta kekal relevan selain merangsang pertumbuhan aktiviti ekonomi digital negara.

 

“Insya-Allah dengan termeterainya MoU di antara MYNIC, SKM dan IKMa ini, matlamat kami adalah untuk terus memainkan peranan yang sewajarnya sebagai salah satu pembolehupaya di dalam ekosistem ekonomi digital dengan memperkasa mereka melalui pelbagai inisiatif yang dirancang.

 

“Pendigitalan merupakan salah satu strategi yang penting di era ekonomi kini, transformasi pendigitalan premis perniagaan mampu berfungsi sebagai penyambung hayat sesebuah perniagaan terutamanya ketika di dalam fasa peralihan pendemik ini. 

 

"Melalui asset digital negara iaitu COOP.MY, ia dapat membantu mereka mengembangkan perniagaan serta menaik taraf perniagaan agar sesuai dengan perubahan landskap ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

mynic
Pertukaran dokumen antara Datuk Hasnul Fadhly Hasan (kiri) bersama Datuk Mohd Ali Mansor sambil disaksikan oleh Ma Sivanesan Marimuthu dan Dr. Mohamed Awang Lah.

 

Program Berasaskan Teknologi

 

MYNIC, SKM dan juga IKMa merancang untuk menganjurkan latihan-latihan transformasi pendigitalan kepada koperasi berdaftar seluruh negara.

 

“MYNIC akan menyediakan program bimbingan berasaskan keperluan teknologi terkini serta platform komuniti selepas sesi latihan bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada kumpulan sasar.

 

“Kami akan berkerjasama dengan IKMa dari segi penggunaan kemudahan fasiliti dan infrastruktur bilik kuliah serta dewan untuk penganjuran Latihan nanti,” tambah Hasnul.

 

Katanya, MYNIC sentiasa komited dalam merealisasikan aspirasi negara untuk memperkasa ekonomi digital dalam kalangan usahawan dan juga koperasi-koperasi seluruh negara.

 

MoU tersebut ditandatangani oleh Hasnul Fadhly, Ketua bersama YBhg. Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Zazali Haron dan Ketua Pengarah IKMa, Datuk Mohd Ali Mansor, sambil disaksikan oleh  (TKSU (T)) K-KOMM, Ma Sivanesan Marimuthu dan Pengerusi MYNIC Berhad, Dr Mohamed Awang Lah. - DagangNews.com