MyEG : Sistem NIISe yang dicadangkan kerajaan tidak mungkin dapat disiapkan dalam masa terdekat, kata penganalisis ekonomi | DagangNews Skip to main content

MyEG : Sistem NIISe yang dicadangkan kerajaan tidak mungkin dapat disiapkan dalam masa terdekat, kata penganalisis ekonomi

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 Feb - Saham MyEG Services Bhd. muncul kaunter paling aktif diniagakan pagi ini di Bursa Malaysia setelah menjunam ke paras terendah sejak November 2020, susut 26.7% kepada 70 sen dalam penutupan petang semalam.

 

Ia berikutan laporan mengatakan bahawa kerajaan bercadang menyatukan semua perkhidmatan dan proses imigresen termasuk pembaharuan pasport, permohonan visa serta permohonan dan pembaharuan permit pekerja asing di bawah Sistem Imigresen Bersepadu Kebangsaan (NIISe) menjelang 2025.

 

Bagaimanapun, syarikat itu dalam makluman di Bursa Malaysia semalam menjelaskan ia tidak mengadakan sebarang pertemuan dengan kerajaan berhubung langkah untuk meletakkan semua transaksi berkaitan imigresen di bawah NIISe.

 

Setakat 9.09 pagi, harga sahamnya menokok 2.5 sen atau 3.57% kepada 72.5 sen menjadikan permodalan pasaran syarikat itu sebanyak RM5.39 bilion.

 

Penganalisis CGS-CIMB Research, Mohd. Shanaz Noor Azam berkata, pasaran telah memberi tindak balas berlebihan terhadap laporan mengenai NIISe (yang menyebabkan harga sahamnya susut sehingga 27%).

 

Sebaliknya, beliau berpendapat MyEG akan menerima satu lagi lanjutan konsesi perkhidmatan berkaitan imigresennya, yang akan tamat tempoh pada Mei 2023, memandangkan NIISe tidak akan siap dalam masa terdekat.

 

"Kami percaya ini adalah hasil yang optimum dalam tempoh terdekat memandangkan kami tidak menjangkakan kerajaan akan segera menggantikan penyedia perkhidmatan sedia ada dan berisiko mendapat reaksi negatif orang ramai jika sistem baharu itu gagal dilaksanakan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Beliau menganggarkan perkhidmatan konsesi imigresen menyumbang kira-kira RM70 juta kepada hasil tahunan MyEG, berdasarkan lanjutan terakhir bernilai RM208 juta selama tiga tahun yang ditandatangani pada 2020.

 

Urus niaga perkhidmatan imigresen pula diunjur menyumbang kira-kira 18 hingga 21% daripada hasil bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) hingga FY24 dan keuntungan selepas cukai MyEG.

 

"Dengan mengeluarkan sumbangan daripada perkhidmatan imigresen, harga sasaran (TP) kami akan jatuh kepada 82 sen, yang masih menawarkan peningkatan 17% daripada paras semasa.

 

"Namun, buat masa ini, kami mengekalkan saranan 'pegang' terhadap MyEG dengan TP lebih rendah pada RM1 daripada RM1.10 sesaham sebelum ini," jelasnya. 

 

 

myeg

 

 

NIISe yang dibangunkan Iris Corp Bhd dikatakan akan menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMS) semasa yang telah diguna pakai oleh Jabatan Imigresen Malaysia sejak 13 tahun lalu.

 

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dipetik berkata, Kementerian Dalam Negeri telah memperuntukkan RM900 juta untuk memperkenalkan NISSe dalam tempoh dua tahun akan datang.

 

Sistem baharu itu dijangka menjadi pencetus perubahan dalam meningkatkan kecekapan Jabatan Imigresen Malaysia dan pengalaman pelanggan.

 

Sementara itu, penganalisis Maybank Investment Bank (IB), Shafiq Kadir berkata, hasil syarikat hanya akan jatuh pada separuh kedua 2025, apabila sistem imigresen berhijrah sepenuhnya kepada NIISe.

 

Katanya, MyEG masih boleh meneruskan perniagaan jualan silangnya, walaupun tidak pasti sejauh mana keberkesanannya boleh memasarkan produk insurans melalui platform baharu itu nanti.

 

"Dalam hal ini, kami menjangkakan hasil akan menurun sekitar 6 hingga 7% pada FY25 manakala 8 hingga 10% menjelang FY26," katanya.

 

Bagaimanapun, beliau mengulangi saranan 'beli' terhadap MyEG dengan TP lebih rendah pada RM1.01 daripada RM1.37 sesaham sebelum itu. 

 

Affin Hwang Investment Bank dalam nota kajiannya pada Selasa berkata, laporan itu mungkin menjejaskan trajektori pendapatan MyEG dalam tempoh jangka masa panjang.

 

Ini mendorongnya menyemak turun penarafan saham MyEG kepada 'pegang' daripada 'beli' dengan TP dikurangkan kepada 93 sen daripada RM1.23 sesaham.

 

"Laporan berita dan risiko dasar dijangka melemahkan minat pelabur terhadap MyEG, memandangkan sumbangan hasil yang ketara daripada perniagaan berkaitan imigresennya. - DagangNews.com