KUALA LUMPUR 28 Feb - Kekangan terhadap aliran tunai Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dijangka berkurangan pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) secara beransur-ansur apabila mekanisme pelepasan kos tidak seimbang (ICPT) semakin mereda sejajar dengan penurunan harga arang batu, demikian menurut MIDF Research.
Firma itu mendapati penghutang meningkat sedikit kepada RM22.8 bilion dan sudah mencapai paras tertingginya sebelum mula berkurangan pada suku pertama 2023 dan seterusnya.
Ini berikutan surcaj ICPT yang lebih tinggi (20sen/kwj daripada 3.7sen/kwj untuk pengguna komersial dan industri voltan tinggi) dan subsidi yang lebih tinggi (subsidi separuh pertama 2023) dinaikkan kepada RM10.8 bilion daripada RM5.8 bilion pada separuh kedua 2022) mengikut pengumuman Suruhanjaya Tenaga pada Disember 2022.
Pada masa sama, kejatuhan mendadak harga arang batu global (daripada kemuncak AS$450 satu tan metrik pada suku ketiga 2022 kepada AS$200 satu tan metrik ketika ini), menyaksikan ICPT kurang pulih dari suku pertama 2023 dan seterusnya dijangka berkurangan dengan ketara.
"Selaras dengan prospek aliran tunai yang lebih baik, kami menjangkakan penambahbaikan dalam pelancaran perbelanjaan modal (capex) yang terkawal dan akan mempercepatkan semula pengembangan asas terkawal (RAB) TNB.
"Malah, ia akan terus meningkatkan pengiktirafan pendapatan terkawal. Di samping itu, kadar cukai berkesan dijangka berkurangan memandangkan ketiadaan Cukai Makmur (yang memberi kesan sebanyak RM340.8 juta pada FY22)," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : TNB akhiri FY22 dengan pendapatan lebih tinggi berjumlah RM50.87 bilion
Bagi FY22, pendapatan TNB meningkat kepada RM50.87 bilion daripada RM48.12 bilion, terutamanya disebabkan jualan elektrik yang 5.6% lebih tinggi iaitu sebanyak RM2.65 bilion di tengah-tengah pertumbuhan permintaan sebanyak 5.2%.
ICPT berada pada kedudukan yang kurang pulih lebih tinggi iaitu RM22.32 bilion daripada RM4.51 bilion pada tahun yang sama sebelumnya, terutama disebabkan oleh harga bahan api yang lebih tinggi.
Tetapi, keuntungan bersihnya dalam tempoh itu susut 5.4% kepada RM3.46 bilion daripada RM3.66 bilion pada tahun sebelumnya.
Walaupun keuntungan operasi adalah 16.5% lebih tinggi, tetapi pendapatan lebih rendah disebabkan oleh kos kewangan dan perbelanjaan cukai yang lebih tinggi, termasuk cukai tambahan dalam bentuk Cukai Makmur berjumlah RM340.8 juta untuk tahun berkenaan.
MIDF Research percaya faktor positif telah diambil kira dalam harga sahamnya pada paras semasa, di sebalik prospek kumpulan yang lebih menggalakkan.
"Oleh itu, kami menyemak turun penarafan saham TNB kepada 'neutral' daripada 'beli' sebelum ini dengan harga sasaran tidak berubah pada RM10 sesaham," katanya.
Setakat 12.16 tengah hari, harga sahamnya susut 18 sen atau 1.87% kepada RM9.46 dengan 1.48 juta saham diniagakan. -DagangNews.com








