MIDF Research anggar kerugian Capital A akan terus meningkat pada FY22 disebabkan kos operasi lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

MIDF Research anggar kerugian Capital A akan terus meningkat pada FY22 disebabkan kos operasi lebih tinggi

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 1 Dis - MIDF Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap Capital A Bhd. dengan harga sasaran lebih rendah pada 59 sen daripada 61 sen selepas kumpulan merekodkan kerugian yang lebih tinggi bagi tempoh kumulatif sembilan bulan berakhir 30 September 2022. 

 

Kerugian bersih teras kumpulan melebar kepada RM2.34 bilion dalam tempoh itu, sekali gus melebihi anggaran firma dan konsensus masing-masing merangkumi 15% dan 25% daripada tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2022 (FY22) disebabkan kos operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan. 

 

Susulan itu, ia menyemak turun anggaran kerugian bagi FY22, FY23 dan FY24 masing-masing kepada RM2.79 bilion, RM885.7 juta dan RM353.7 juta daripada sebelum itu, RM2.04 bilion, RM286 juta dan RM787 juta selepas mengambil kira kos penyelenggaraan dan kakitangan yang lebih tinggi.

 

Menurutnya, kumpulan akan dijenamakan semula sebagai penyedia perkhidmatan penerbangan dan digital berikutan cadangan pelupusan cabang penerbangannya (AirAsia Malaysia, AirAsia Thailand, AirAsia Indonesia dan AirAsia Filipina) kepada AirAsia X Bhd. sebagai sebahagian daripada strateginya menangani status Nota Amalan 17 (PN17).

 

Malah, katanya, Capital A turut membayangkan penyenaraian yang berasingan untuk entiti ini dalam masa terdekat.

 

"Pertimbangan saham, di mana penilaian akan dipersetujui, akan diagihkan semula kepada pemegang saham Capital A berikutan penstrukturan semula.

 

"Kumpulan menjangkakan untuk mengumumkan pelan penyelarasan yang dimuktamadkan kepada Bursa Malaysia pada Januari ini diikuti dengan penyerahan untuk kelulusan yang disasarkan pada Februari dan pelaksanaan pelan penyusunan semula menjelang Julai 2023," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada Selasa, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pihaknya sudah di penghujung kesan pandemik COVID-19, sama seperti kebanyakan syarikat penerbangan lain di seluruh dunia, dan ingin kembali bersaing dengan lebih kukuh daripada sebelumnya.

 

Menurutnya, biarpun status PN17 kekal sebagai satu isu perakaunan dan tidak menggambarkan daya maju perniagaan dan prospek Capital A secara tepat, kumpulan tetap bekerja keras untuk merangka pelan bagi menangani status PN17 sebagai bahagian penting dalam proses pemulihan pasca pandemik.

 

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022, kerugian bersih Capital A meningkat kepada RM901.3 juta daripada RM887 juta pada suku yang sama tahun lalu disebabkan item sekali sahaja dan kerugian pertukaran asing tidak direalisasi.

 

Ini termasuk susut nilai pesawat bukan operasi dan perbelanjaan faedah sebanyak RM239 juta, kerugian pertukaran asing sebanyak RM364 juta (di mana RM349 juta tidak direalisasikan), 76% bahagian kerugian daripada syarikat bersekutu sebanyak RM227 juta yang dikaitkan dengan kerugian forex dan perbelanjaan penyelenggaraan sekali sahaja sebanyak RM62 juta.

 

Bagaimanapun, pendapatan pada suku berkenaan melonjak kepada RM1.96 bilion berbanding RM295.9 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

MIDF Research berkata, di bawah cabang penerbangan, sebanyak 125 pesawat beroperasi dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berbanding 49 pesawat bagi tempoh sama tahun sebelumnya yang membawa 16.4 juta penumpang atau hampir lapan kali ganda memandangkan faktor muatan lebih tinggi pada 83%.

 

Katanya, kumpulan sedang berusaha untuk mendapatkan 140 pesawat operasi menjelang akhir FY22 dan menyasarkan untuk mencapai penggunaan armada penuh menjelang suku kedua FY23.

 

"Antara faktor yang akan meningkatkan semula sektor penerbangan ialah bergantung kepada harga bahan api pesawat yang rendah, pengukuhan mata wang di rantau ASEAN dan pembukaan semula pasaran China," jelasnya.

 

Setakat 10.43 pagi, harga saham Capital A susut 2.5 sen atau 4.24% kepada 56.5 sen dengan 5.26 juta saham diniagakan. - DagangNews.com