Memperkenalkan ChatGPT: merevolusikan kecerdasan buatan (AI) | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 11 January 2023

Memperkenalkan ChatGPT: merevolusikan kecerdasan buatan (AI)

 

 

 

SEBAIK ChatGPT diperkenalkan pada bulan November tahun lepas, chabot kecerdasan buatan ini terus menjadi tular dalam kalangan pengguna internet.

 

Ini kerana, ia bukan sahaja mampu memberikan respons serta jawapan yang berkualiti untuk setiap pertanyaan yang diajukan tetapi lebih daripada itu!

 

Ini amatlah mengejutkan penggunanya! Kenapa?

 

Bayangkan Siri, Google atau Alexa mampu menulis dan menghasilkan satu penulisan panjang berkenaan sesuatu topik atau isu yang sedia ada mahupun baharu, lengkap dengan fakta berserta rujukan mengikut apa yang diinginkan oleh penggunanya.

 

Tidak terhad dengan itu, keupayaan ChatGPT adalah lebih daripada sekadar penulisan. Ia dikatakan mampu menghasilkan pelbagai tugasan seperti apa yang diinginkan oleh penggunanya seperti menghasilkan logo, menulis puisi malah boleh digunakan dalam membangunkan perisian.


 

ChatGPT

 


Apa itu ChatGPT?

ChatGPT adalah chatbot kecerdasan buatan yang telah dibangunkan oleh syarikat pemula yang berpangkalan di San Francisco iaitu OpenAI, yang meningkatkan keupayaan chatbot kecerdasan buatan yang sedia ada.

 

ChatGPT mempunyai keupayaan yang luar biasa untuk berinteraksi dengan pengguna dengan cara yang meyakinkan dalam bentuk dialog perbualan dan memberikan respons berdasarkan apa yang ditanya dan diinginkan oleh penggunanya.

 

Keupayaan ChatGPT memberikan respons yang panjang, bijaksana dan secara menyeluruh kepada soalan dan pertanyaan telah mengejutkan penggunanya, termasuk ahli akademik dan beberapa pakar dalam industri teknologi.

 

Ia juga telah mengundang kebimbangan meluas terutamanya dalam dunia akademik kerana keupayaannya menghasilkan penulisan yang sukar dibezakan kerana ia mirip atau seakan-akan penulisan yang ditulis oleh manusia – ia mampu menulis puisi, menghasilkan kertas kerja teknikal, menulis novel, menulis karangan atau artikel yang berkaitan mengikut arahan seperti mana yang diinginkan atau yang ditulis oleh pengguna.

 

Yang paling membimbangkan adalah salah guna ChatGPT ini dikalangan pelajar untuk menyiapkan sesuatu tugasan yang diberikan dengan cara tidak jujur!

 

ChatGPT Mirip Manusia

Adakah betul ChatGPT ini boleh menghasilkan penulisan mirip kepada penulisan manusia?

 

Jawapannya adalah YA!


 

parafrasa

 


Ini kerana ChatGPT telah dilatih dengan sejumlah data dan maklumat yang besar berkaitan dari internet. Data dan maklumat yang diperoleh di internet ini datang daripada pelbagai sumber seperti forum perbincangan popular antara pengguna, pangkalan data dan sumber lain yang relevan.

 

Berdasarkan data dan maklumat yang diperoleh, ia telah membantu ChatGPT memberikan respons yang berkualiti terhadap setiap pertanyaan (dialog) yang diajukan oleh penggunanya.

 

ChatGPT juga dilatih dengan menggunakan maklum balas manusia melalui teknik yang dipanggil sebagai Pengukuhan Pembelajaran dengan Maklum Balas Manusia.

 

Teknik Pengukuhan Pembelajaran dengan Maklum Balas Manusia telah meningkatkan lagi keupayaan ChatGPT ini untuk mengikuti arahan, mempelajari apa yang diharapkan oleh pengguna apabila mereka bertanya soalan dan memberikan maklum balas atau jawapan yang memuaskan kepada penggunanya.

 

Telah Diharamkan di Sekolah

Sekolah-sekolah di New York telah mengharamkan penggunaan ChatGPT di semua peranti dan rangkaian internet sekolah kerana wujudnya kebimbangan meluas mengenai kesan negatif terhadap pembelajaran pelajar – tidak membina pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah.

 

Keputusan untuk mengharamkan ChatGPT ini juga adalah kerana ia boleh menjadi salah satu platform yang menggalakkan pelajar untuk menipu dalam menghasilkan tugasan dengan menggunakan program kecerdasan buatan untuk menjawab soalan, menyiapkan tugasan atau menulis karangan mahupun artikel serta wujudnya kebimbangan mengenai keselamatan dan ketepatan kandungannya.


 

ChatGPT

 


Pengharaman ChatGPT ini juga mendapat maklum balas bercampur-campur daripada orang ramai. Ini kerana ada yang berpendapat bahawa ChatGPT harus diperkenalkan di sekolah dengan memberi tumpuan bagaimana ia boleh digunakan untuk membantu pelajar dalam pelajaran mereka dan mengajar pelajar agar tidak menyalahguna dan terlalu bergantung padanya untuk menyiapkan tugasan.

 

Contohnya, dalam menghasilkan sesuatu karangan ataupun artikel, pelajar perlu menjalankan penyelidikan mengenai topik, menilai sumber yang dirujuk samada maklumat yang dipaparkan sahih ataupun tidak, kemudian memproses dapatan maklumat sebelum menterjemahkan dengan cara yang jelas, koheren dan meyakinkan melalui penulisan.

 

Penggunaan ChatGPT ini juga dilihat mampu mengubah cara serta dapat membantu pelajar mengembangkan idea asal mereka dalam menyiapkan tugasan yang diberikan

 

Ini sama seperti apabila pelajar dibenarkan menggunakan kalkulator dalam subjek matematik dan matematik lanjutan untuk menyelesaikan masalah atau persamaan yang kompleks tanpa mengikuti jalan kerja yang panjang dan membosankan.

 

Contoh Penulisan dan Respons dari ChatGPT

Saya mencuba ChatGPT ini dan meminta ia menulis penjelasan yang ringkas tentangnya dalam bahasa Melayu. Hasilnya memang menarik dan mengejutkan!

 

“ChatGPT adalah model pembelajaran mesin yang dikembangkan oleh OpenAI yang dapat digunakan untuk menghasilkan ucapan atau teks yang realistik dan membuat percakapan dengan manusia. Model ini didasarkan pada model pembelajaran mesin GPT-3 yang terkenal, yang memiliki kemampuan yang sangat luas untuk memahami dan menghasilkan teks dalam bahasa manusia. ChatGPT dapat digunakan dalam berbagai aplikasi, seperti chatbot, pembuatan konten, atau sebagai penterjemahan bahasa.”

 

Kemudian saya meminta untuk ChatGPT untuk membuat ramalan tentang ekonomi Malaysia pada tahun 2023. Hasilnya adalah seperti berikut:

 

“Maaf, saya tidak dapat memberikan ramalan tentang ekonomi Malaysia di tahun 2023 karena saya tidak memiliki informasi terkini dan saya tidak dapat melakukan pencarian untuk mengumpulkan data serta maklumat terbaru. Saya hanya dapat memberikan maklumat berdasarkan pengetahuan yang saya miliki sampai tahun 2021 sahaja. Sebagai model pembelajaran mesin, saya tidak memiliki kemampuan untuk meramalkan masa depan atau membuat ramalan tentang keadaan ekonomi suatu negara.”

 

Dan saya juga meminta untuk ChatGPT menulis satu puisi dalam bahasa Melayu mengenai Malaysia.

 

Tanah air Ku, Malaysia
Bertuah dengan pelbagai budaya
Dengan segala kemajuan
Dan kekayaan alam yang luas

Bersatu padu di bawah bendera merah
Kita hidup damai dan sakinah
Dengan rakyat yang berbilang kaum
Kita saling memahami dan bersahabat

Pulau-pulau yang indah
Dan lautan yang luas
Menyimpan pelbagai kejutan
Yang menanti untuk ditemui

Tanah air Ku, Malaysia
Negaraku yang tercinta
Akan Ku sayangi selama-lamanya
Dan akan Ku jaga sebaik mungkin.

 

Setelah mencuba berulang kali dengan pelbagai pertanyaan, disini dapat disimpulkan bahawa kualiti jawapan atau penulisan yang dihasilkan oleh ChatGPT ini bergantung kepada pertanyaan serta kualiti arahan dari penggunanya – memberi arahan dan butiran secara lebih terperinci.

 

Dengan kata lain, semakin terperinci butiran yang diberikan, ia akan menghasilkan jawapan yang lebih baik dan berkualiti.


 

ChatGPT

 


ChatGPT juga mempunyai kelemahan dalam memberi jawapan kerana ada masanya ia memberikan jawapan yang salah, termasuk mengambil maklumat yang salah dan membentangkannya sebagai fakta.

 

Jadi pengguna perlu berhati-hati dalam menggunakan ChatGPT ini dan pastikan melakukan penyelidikan atau kajian tambahan untuk memastikan sama ada jawapan yang diberikan adalah betul atau salah.

 

Jika Malas Membaca, Baca Ini!

Jika penulisan di atas adalah terlalu panjang, saya telah memberi arahan pada ChatGPT untuk meringkaskan apa yang saya tulis supaya pembaca boleh memahami keseluruhan artikel secara ringkas.

 

“ChatGPT, sebuah chatbot kecerdasan buatan yang dikembangkan oleh syarikat OpenAI di San Francisco, telah mengejutkan penggunanya dengan keupayaannya untuk memberikan respons yang panjang, bijaksana, dan secara menyeluruh terhadap pertanyaan yang diajukan. ChatGPT dilatih dengan sejumlah data yang besar dari internet dan menggunakan teknik Pengukuhan Pembelajaran dengan Maklum Balas Manusia untuk meningkatkan keupayaannya. Keupayaan ChatGPT ini telah menimbulkan kebimbangan di kalangan ahli akademik, terutama dengan kemungkinan salah guna oleh pelajar untuk menyiapkan tugasan dengan tidak jujur. Walaupun demikian, ChatGPT juga dianggap sebagai kemajuan besar dalam teknologi kecerdasan buatan dan membuka peluang baru dalam industri teknologi.”

 

Menarik bukan?

 

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN

Portfolio Tags